
Perjalanan karier Nattrah Mohd. Karim bermula lebih 22 tahun lalu sebaik usianya mencecah 19 tahun dan baru menamatkan pelajarannya di tingkatan enam di Sekolah Tinggi Melaka.
Berasal daripada keluarga yang kurang berada, Nattrah segera memohon kerja sebagai juruwang di Hotel Renaissance Melaka dengan gaji RM300 sebulan walaupun selepas itu keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysianya agak baik.
Hari pertama bekerja, Nattrah sudah mula menunjukkan komitmen dan dedikasi terhadap kerjaya tersebut.
Baginya, walaupun hanya bergelar juruwang, tanggung jawab yang diberikan perlu dijayakan sehabis baik.
Malah Nattrah sanggup memberikan lebih daripada itu termasuk menggantikan kawan-kawan yang tidak dapat hadir kerja.
Daripada situ kerajinannya dinilai hinggalah beliau mencuba meraih pengalaman di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur pula.
"Apabila Hotel Istana di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur mula beroperasi sekitar tahun 1992, saya menyertainya sebagai Assistant Front Office," jelasnya yang ditemui di Hotel Abadi, Melaka baru-baru ini.
Dari situ keyakinan wanita kecil molek ini makin bertambah untuk menonjolkan diri dalam industri perhotelan.
Hasil dedikasinya, beliau kemudian ditawarkan ke jawatan eksekutif jualan dan bermula dari situ satu demi satu jawatan didakinya.
Sehingga kini, Nattrah sendiri masih sukar untuk percaya dengan pencapaiannya, hasil daripada penat lelah, kerja keras dan pengorbanan.
Bayangkan daripada gaji RM300 sebulan sebagai juruwang, beliau kini memegang jawatan Pengarah Urusan Hotel Abadi, Melaka dengan pendapatan bulanan belasan ribu ringgit.
Nattrah berani mengatakan bahawa beliau memang layak mendapat semua itu kerana hasil usaha kerasnya.
Katanya, cabaran dalam bidang perhotelan selain menuntut waktu kerja yang panjang ialah pandangan serong masyarakat.
"Dulu kerjaya dalam industri perhotelan sering dipandang serong oleh sesetengah masyarakat, malah ibu saya sendiri pun takut kerana apabila saya cepat naik orang keliling mula mengata yang bukan-bukan.
"Pada saya, hanya Allah dan suami yang tahu apa yang saya buat. Untuk dapat hasil yang baik, kita kena buat sesuatu yang baik.
"Apa pun saya bersyukur kerana mendapat suami dan keluarga yang amat memahami," jelas wanita berusia 41 tahun ini.
Atas urusan kerja juga beliau kerap mengorbankan masa bersama anak-anak yang lebih banyak membesar di depan mata bapa berbanding ibu mereka.
"Namun saya akan pastikan mengambil cuti panjang setahun sekali untuk membawa mereka bercuti ke luar negara dan menghabiskan masa bersama," kata Nattrah yang mempunyai empat anak dari usia 14 hingga 18 tahun.
Sempat menitip pesan pada golongan muda yang bercita-cita mengikut jejaknya, kata Nattrah, tidak ada perkara yang mustahil untuk dicapai di dunia ini kalau kita bersedia untuk berkerja keras.
"Saya suka memerhati gelagat wanita muda lepasan sekolah yang bekerja di bahagian F&B, kerana dulu saya juga begitu.
"Satu selalu berpesan pada mereka, adalah tidak mustahil untuk kita yang berada di bawah ke posisi yang paling tinggi jika kita tekun berusaha dan mempunyai matlamat ke arah tersebut. Dalam kehidupan ini kita perlu ada objektif, kalau tidak umpama tiada arah tuju.
"Ketika pertama kali saya mengucapkan 'good morning sir' kepada pemilik Hotel Renaissaince lebih 20 tahun lalu, saya sudah meletakkan matlamat bahawa satu hari nanti orang akan mengatakan 'good morning puan' kepada saya. Alhamdulillah, akhirnya menjadi kenyataan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: