![]() |
| KEMANTAPAN lakonan Remy Ishak dan Umie Aida dapat ditonton dalam drama Airmata Nur Salina. |
SEPERTI mana yang diketahui ramai, penganjuran Anugerah Skrin sejak lebih sedekad yang lalu bertujuan untuk mengiktiraf karyawan seni tanah air yang telah memberikan hasil kerja terbaik menerusi penerbitan televisyen, drama dan filem tempatan.
Malah, Anugerah Skrin juga telah memberi ruang yang cukup luas kepada penggiat seni tempatan untuk mengembangkan lagi bakat masing-masing dan menggalakkan mereka berusaha lebih lebih gigih dalam menghasilkan produk bermutu tinggi sekali gus memartabatkan industri kreatif negara.
Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, Anugerah Skrin terus menyaksikan persaingan yang cukup hebat sehingga membuatkan juri pening kepala untuk memilih karya terbaik yang benar-benar layak untuk dijulang.
Rasa seperti semalam sahaja Anugerah Skrin 2010 melabuhkan tirainya dalam majlis yang telah diadakan dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Kini, selepas hampir setahun berlalu, Anugerah Skrin yang dianjurkan oleh TV3 itu kembali dengan memperlihatkan saingan yang bukan calang-calang menerusi drama tempatan yang telah ditayangkan sepanjang tahun lalu.
Selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad yang terdiri daripada TV3, ntv7, 8TV dan TV9, pihak penganjur juga turut menjemput stesen televisyen RTM dan Astro untuk sama-sama menyertai anugerah berprestij ini.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, Nurul Aini Abu Bakar, kesemua karya yang layak dicalonkan dan dipertandingkan dalam Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) adalah daripada tayangan drama yang telah memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu.
“Anugerah Skrin sudah pun memasuki tempoh usia matang dan ia cukup dinanti-nantikan oleh semua penggiat seni dan karyawan tempatan tanah air untuk diiktiraf selepas berhempas pulas memberikan yang terbaik untuk industri.
“Ingin juga saya tegaskan, Anugerah Skrin bukanlah pertandingan antara stesen televisyen sebaliknya pengiktirafan yang diberikan adalah kepada kualiti penerbitan sesebuah drama oleh syarikat produksi tanah air.
“Kami berasa bangga kerana ASK 2011 turut mendapat kerjasama serta sokongan positif stesen televisyen lain dan menerima banyak pencalonan yang menampilkan muka-muka baru dalam bidang ini.
“Ini merupakan satu petanda positif dalam meningkatkan mutu seni tanah air yang mana dengan adanya anugerah seperti ini, ia dapat menggalakkan penggiat-penggiat seni untuk berusaha lebih gigih lagi agar hasil karya mereka dihargai dan mendapat pengiktirafan,” ujarnya panjang lebar.
Menyentuh tentang pencalonan keseluruhan untuk ASK 2011 pula, Nurul Aini menjelaskan, pihaknya akan mengadakan satu sidang akhbar khas pada bulan Oktober nanti.
Ketika diminta mengulas tentang kriteria pemilihan drama yang layak dipertandingkan dalam ASK 2011, Nurul Aini memberitahu faktor utamanya sudah pasti garapan skrip yang baik.
“Bukan itu sahaja, jalan ceritanya juga perlulah sempurna dan ditambah dengan lakonan yang mantap selain mutu penerbitan yang baik serta mampu menyampaikan mesej positif kepada penonton.
“Kesemua calon yang layak dipertandingkan pula adalah berdasarkan tayangan drama, filem dan program televisyen beri 1 Julai 2010 hingga 30 Jun 2011.
“Sementara itu, pencalonan untuk drama pula akan berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian AGB Nielsen Media Research mengikut genre. Kemudiannya, kesemua karya tersebut akan dinilai oleh panel juri profesional yang dipilih,” ujar Nurul Aini lagi.
Bagi menyemarakkan lagi ASK 2011 yang akan berlangsung November nanti, TV3 akan menayangkan semula sebahagian daripada drama yang layak dipertandingkan kali ini.
Setiap satunya akan disiarkan setiap hari Ahad bermula 11 September hingga 30 Oktober ini pukul 10 malam di TV3.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: