![]() |
| RUMAH api juga boleh membantu menandakan kawasan berbahaya dan dalam memandu arah udara. |
KATA pembantu laut di Rumah Api Permatang Sedepa, Nizam Bahari, 43, hari-hari yang dilalui mereka sememangnya sepi.
Tiada bunyi hingar-bingar kenderaan lalu lalang apatah lagi deretan kedai yang menjual makanan. Apa yang ada cuma alunan ombak yang kadangkala tenang dan ada kalanya sangat menggerunkan.
Cabaran berada di tengah-tengah laut kata Nizam hanyalah cuaca. Sekiranya cuaca tenang, ia satu perkara yang menyenangkan. Jika sebaliknya, mereka harus berwaspada.
Bertugas sebagai pembantu laut sejak tujuh tahun lalu, lelaki ini memberitahu, tiada insiden buruk yang pernah dilaluinya.
"Di laut, tiada sesiapa. Kita tengok kawan, kawan tengok kita," katanya.
![]() |
| PADA waktu senggang, aktiviti menangkap ikan akan dilakukan dan sekali gus menjadi menu tambahan para pekerja di rumah api. |
Beritahu Nizam, meskipun lokasi tempatnya bekerja terletak di tengah-tengah Selat Melaka dan terpisah sejauh 23 batu nautika dari daratan, keadaan itu membuatkan mereka lebih berdikari.
"Disebabkan kita berada selama 10 hari di samudera sebelum bertukar syif, kita akan bawa bahan mentah untuk dimasak secukupnya seperti minyak masak, gas, garam, gula, telur, ayam dan lain-lain.
"Sebenarnya dalam kalangan pembantu laut, ada yang berkebolehan memasak tapi masakannya tidaklah sesedap mana, asal boleh makan dan kenyang je lah," selorohnya ketika ditemui baru-baru ini.
Rakan sejawatnya, Mohd. Ridzuan Abd. Razak, 27, yang dikatakan antara yang mempunyai kepakaran memasak memberitahu, sebagai tambahan kepada juadah, mereka akan melakukan aktiviti memancing.
Ikan-ikan yang diperoleh seperti ikan tuna atau bawal akan dipanggang atau dimasak gulai.
"Ringkas saja masakan kami, lauk bujang katakan. Biasanya kami lauk gulai, sayur goreng, ikan goreng atau telur goreng, semuanya ala kadar saja tapi ia sudah memadai," katanya.
Erat silaturrahim

Antara pembantu laut yang ditemubual, Samsuri Miran, 52, menunjukkan reaksi syahdu ketika ditanya pengalamannya menyambut hari raya di rumah api.
"Sebenarnya tak banyak beza, cuma di sini kita memang tak boleh ulang-alik.
"Namun kita rasa sayu sedikit sebab kita tak dapat jumpa dan bersalaman dengan isteri dan anak-anak pada pagi raya, namun demi tugas kita harungi juga," kata Samsuri yang sebelum ini bertugas di Rumah Api Bukit Jugra sebelum berpindah ke Rumah Api Permatang Sedepa atau One Fathom Bank (OFB).
Penjaga Rumah Api OFB, Sujak Sukimi, 57, yang sudah berpuluh-puluh tahun berkhidmat berkata, dia sudah lali berbuka puasa dan bersahur di rumah api.

"Menariknya, kami lebih berdikari dan semua kerja di dapur dilakukan secara bersama dengan rela hati," katanya.
Bagaimanakah pula dengan solat tarawih? Sujak memberitahu, ketika bekerja di rumah api lama, mereka akan bertarawih beramai-ramai kerana terdapat 10 pembantu laut pada satu-satu ketika.
Namun, sejak Rumah Api OFB berfungsi pada tahun 1999, dua petugas saja yang ditempatkan. Keadaan itu menyebabkan para pekerja menunaikan solat secara sendirian kerana mereka perlu bertugas secara bergilir-gilir.
"Jika ada masa yang sesuai saja, kami akan solat bersama.
"Namun, bulan Ramadan sememangnya lebih merapatkan silaturrahim antara kami walaupun di sini kami tidak menikmati kemeriahan seperti orang lain," katanya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: