
KERIANGAN dan kegembiraan jelas terpancar di wajah penyanyi Shidee, Siti Fairuz, Rozita Rohaizat, Halil Chik, Haris dan pendatang baru dunia hiburan tanah air Farazatul, Yasir, Abun dan Zainal ketika bersua di rumah terbuka sahabat mereka Wan Shamsiah.
Suasana meriah terus menyerikan rumah Wan Shamsiah yang terletak di Puncak Alam, Selangor itu apabila mereka semua mula berkumpul.
Lantas satu persatu kenangan indah yang pernah dilalui ketika bersama dahulu menjadi agenda yang dibualkan dalam pertemuan itu.
"Bukan mudah untuk kami berkumpul dan meraikan lebaran yang datang ini, maklumlah masing-masing sibuk dengan hal sendiri.
"Malah untuk bersua muka sekalipun sudah jarang dan tidak sekerap dahulu di mana ada juga undangan nyanyian yang kami terimai," kata penyanyi Halil Chik ketika ditemui pada majlis tersebut.
Tambah pemilik nama sebenar Abdul Halil Chek itu, berkumpul dan bertemu dengan rakan-rakan lama seperti itu dapat menghidup dan memeriahkan lagi sambutan Syawal yang hanya disambut setahun sekali.
Sementara itu, bagi pelantun lagu Bila Rindu Ku Sebut Nama Mu, Siti Fairuz, dia tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya apabila berpeluang untuk meraikan kehadiran Syawal bersama dengan rakan-rakan lamanya.
Jelas Siti Fairuz atau nama sebenarnya Siti Fairus Sheikh Mohamed, duduk berkumpul dengan rakan-rakan artis seangkatannya itu sedikit sebanyak dapat mengembalikan kenangan indah yang pernah dikecapi bersama.
"Biasalah apabila sudah berkumpul bersama, pastinya cerita-cerita lama menjadi topik utama yang dibualkan.
"Tidak cukup dengan itu, pertemuan sebegini juga dapat merapatkan lagi hubungan sesama kami dan berkongsi perkembangan terkini diri masing-masing," jelas penyanyi berusia 47 tahun itu yang bakal menamatkan zaman solonya pada penghujung Syawal ini.
Selain itu, bagi penyanyi yang pernah mencetuskan kontroversi berkenaan perkahwinannya pada awal tahun lepas, Shidee mengakui rindu yang bersarang di hatinya terhadap rakan-rakan lama sedikit sebanyak terubat.
"Hilanglah sedikit rindu terhadap rakan-rakan lama yang sudah jarang bersua muka dan meraikan Syawal ini bersama-sama.
"Lagipun dengan cara ini sahaja memudahkan kami untuk berkumpul dan bersama dalam mengembalikan kenangan lalu dan merapatkan lagi persahabatan yang telah terjalin," jelas pemilik nama sebenar Rashid Abdul Wahab itu lagi.
Manakala bagi pendatang baru Farazatul atau nama sebenarnya Noor Nazatul Farahin Mohd. Hussain, 22, kesempatan untuk meraikan Syawal bersama dengan artis senior merupakan pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan.
"Gembira rasanya apabila bersama dapat meraikan lebaran dengan mereka di mana dalam meraikan hari yang bermakna ini saya juga dapat mendengar pengalaman mereka.
"Jadi itu sedikit sebanyak memberikan saya semangat untuk terus mengejar impian dalam bidang seni," ujar anak kelahiran Kedah itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: