
WANITA hari ini bukan lagi golongan yang dianggap lemah dan tidak mampu bersaing untuk mencipta kejayaan.
Malah hari ini, dapat dilihat bahawa wanita sudah mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan golongan lelaki dalam segala aspek.
Segala pencapaian yang membanggakan ini seharusnya diberikan anugerah mahupun penghargaan dalam usaha menghargai keringat serta kejayaan yang dikecapi.
Sehubungan itu, Anugerah Wanita Tun Dr. Siti Hasmah WIM Wanita Berinspirasi 2011, kini memulakan pencariannya.
Dianjurkan oleh Institut Pengurusan Wanita (WIM) sejak 2003, anugerah tersebut dilihat mampu memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada wanita yang pernah menempuh pelbagai cabaran sebelum berjaya dalam bidang masing-masing dan menyumbang kepada masyarakat.
Pengerusi WIM, Puan Sri Siew Yong Gnanalingam berkata, sejak anugerah itu dilancarkan pada tahun 2003, ia sememangnya satu anugerah unik kerana tumpuannya lebih kepada keupayaan pemenang melalui cabaran dan dapat mengatasinya dalam persekitaran yang serba kekurangan serta berjaya menjadi seorang warganegara contoh.
"Anugerah ini unik kerana kriteria-kriteria yang ditetapkan bagi pencalonan berbeza daripada anugerah yang sedia ada.
"Apa yang diharapkan mereka yang dicalonkan betul-betul merupakan seorang individu yang berusaha sendiri tanpa mendapat mana-mana bantuan.
"Lagipun, calon-calon seperti ini susah ditemui dan sudah pasti mereka yang menang betul-betul memenuhi kriteria yang telah ditetapkan," katanya pada majlis pelancaran anugerah tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau, calon yang bakal dinobatkan Anugerah Wanita Tun Dr. Siti Hasmah WIM Wanita Berinspirasi 2011 akan menjadi ikon untuk golongan wanita seluruh negara.
Pemenang akan menerima sebuah trofi beserta wang tunai RM10,000 daripada WIM selain wang tunai RM20,000 daripada Etiqa Insurans dan Takaful.
Selain itu, pemenang juga akan menerima satu set rantai mutiara bernilai RM15,000 tajaan Rafflesia Pearls; kristal dan tembikar daripada Tiffany & Co bernilai RM15,000; beg tangan berjenama bernilai RM8,000 serta jam daripada Jaeger-le Coultre bernilai RM2,000.
Sementara itu, pemenang dan empat finalis terakhir akan menerima anugerah daripada Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali sendiri pada majlis yang bakal diadakan 21 November ini.
Antara panel juri bagi anugerah tersebut tahun ini ialah Pengarah Institut Pengupayaan Wanita bagi Pergerakan Negara-negara Berkecuali NAM (NIEW), Tan Sri Rafiah Salim; Perunding WIM, Puan Sri T.D Ampikaipakan; Presiden Kechara Soup Kitchen, Datuk Ruby Khong dan Presiden Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak dan Pendidikan Malaysia, Datin Radziah Mohd. Daud.
Pencalonan anugerah ini akan ditutup pada 30 September ini manakala borang pencalonan boleh dimuat turun menerusi laman web www.wimnet.org.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: