
TIADA yang lebih indah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri selain dapat bersama-sama ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan di pagi 1 Syawal.
Suasana tersebut sukar digambarkan dengan kata-kata kerana hari kebesaran umat Islam itu datang hanya setahun sekali dan ia merupakan masa paling istimewa untuk berkumpul sekeluarga.
Namun, bagi pembaca berita Edisi 7, Fazilah Hani Harun atau lebih mesra disapa Hani, dia tidak kisah bekerja di pagi raya.
"Sebelum ini pun saya pernah berdepan dengan situasi yang sama sewaktu belum berkahwin. Lagi pun, tahun lalu saya sudah berpeluang bercuti selepas mendirikan rumah tangga.
"Tetapi, nampaknya kali ini giliran saya pula untuk bekerja di pagi raya. Perasaan itu tidaklah sedih sangat kerana bukan saya seorang yang bekerja. Sebaliknya ramai lagi teman-teman sepejabat yang turut sama beraya di bilik berita.
"Jadi, untuk memeriahkan suasana, kami akan membawa juadah raya masing-masing dan berkongsi bersama-sama sebelum memulakan tugas," jelas wanita berusia 32 tahun itu sambil ketawa kecil.
Hani dan Zizan ditemui pada sesi berbuka puasa di Prince Hotel & Residence, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menyambung bicara, isteri kepada aktor kacak, Zizan Nin itu memberitahu, selepas bergelar isteri pada 19 Mac tahun lalu, dia mengakui kehidupannya sudah banyak berubah.
Dengan penuh terbuka, Hani memberitahu, dia seorang yang cukup rapat dengan keluarganya dan baginya, Syawal tidak akan sempurna jika tidak meraikan bersama keluarga.
Tetapi, sebagai seorang anak, isteri dan menantu, dia cukup sedar akan tanggungjawabnya yang perlu membahagikan masa sebaik mungkin.
"Tradisi memakai pakaian warna sedondon itu tetap kami teruskan dan untuk tahun ini, kami memilih warna peach. Malah, segala kelengkapan semua sudah disiapkan.
"Selepas beraya di rumah keluarga, saya dan Zizan akan berkunjung ke pusara arwah ibunya yang terletak di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor," kata anak sulung daripada lima beradik ini yang akan bercuti selama tiga hari pada Syawal ini.
Menjadi isteri kepada seorang aktor popular seperti Zizan memang bukan mudah. Ia memerlukan kesabaran dan setiap gerak-geri serta tingkah laku pasti akan menjadi perhatian umum.
Pernah dihimpit kontroversi tidak berapa lama dulu, Hani mengakui dia sudah mula memahami dan mengadaptasi dengan cara kerja Zizan yang sentiasa sibuk di lokasi.
Dengan penuh terbuka, Hani menjelaskan di awal perkahwinannya, dia tidak boleh menerima hakikat apabila Zizan sering pulang lewat ke rumah.
"Namun, lama-kelamaan barulah saya faham cara dia bekerja apabila berpeluang mengikutnya ke lokasi. Daripada situ, saya sedar bahawa tugasnya sebagai seorang pelakon memang cukup besar.
"Setakat ini, saya cukup bahagia melayari bahtera perkahwinan yang sudah berusia lebih daripada setahun setengah ini. Apa yang membuatkan saya kagum dengan Zizan adalah skil memasak dan air tangannya yang cukup enak itu.
"Antara yang menjadi kegemaran saya adalah onde-onde, puding serta tiga jenis lepat iaitu pisang, labu dan ubi. Malah, Zizan juga pandai membuat kuih tart," kata Hani sambil mengerling manja ke arah suaminya.
Tidak terhad pada kuih tradisional, Hani juga memberitahu suaminya itu pandai memasak juadah wajib Hari Raya terutama rendang.
"Jadi, selalunya kami berdua akan 'beraya' dulu dengan menikmati juadah yang dimasak oleh Zizan pada malam terakhir berbuka puasa," katanya lagi.
Dalam kerancakan berbual itu, sempat juga Hani ditanya tentang cahaya mata dan ternyata wanita jelita itu begitu terbuka untuk menjawabnya.
Baginya, soal anak adalah rezeki dari Allah dan sebagai hamba-Nya, dia dan suaminya berserah segala-galanya.
"Kami pun tidak pernah merancang untuk memiliki cahaya mata. Malah, keluarga saya sendiri tidak pernah memberi tekanan bahawa kami perlu menimang anak dalam kadar segera," ujar Hani tanpa selindung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: