Monday, August 8, 2011

Wanita pekerja kilang roti Libya


RATA-RATA wanita yang bekerja di kilang roti di Libya bertujuan membantu keluarga.


SAMA ada perang saudara atau tidak, setiap tahun bulan penuh keberkatan dalam Islam, Ramadan harus dihormati. Di kubu kuat pemberontak Libya, Benghazi wanita pembakar roti akan bekerja lebih masa untuk memenuhi permintaan sepanjang bulan tersebut.

Berpuluh-puluh wanita menguli doh bagi membentuk acuan, membuat manisan dan pai masin di kilang roti ikonik, al-Harabi tanpa rasa gentar dengan konflik yang berlaku, suhu panas terik dan bajet yang terhad.

Ramadan merupakan bulan yang mewajibkan seluruh penganut agama Islam berpuasa. Mereka bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga, bahkan menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang bermula terbitnya fajar subuh hingga terbenamnya matahari.

Sepanjang bulan tersebut, kaum keluarga akan berkumpul untuk berbuka puasa bersama dengan pelbagai hidangan istimewa termasuklah pai keju dan buah zaitun serta manisan.

Bagaimanapun, revolusi yang dilancarkan pada bulan Februari lalu untuk menjatuhkan Presiden Libya, Muammar Gadhafi telah menghuru-harakan kehidupan rakyat di negara tersebut.

Ramai dalam kalangan kaum lelaki yang juga pencari nafkah untuk menyara keluarga kehilangan pekerjaan apabila universiti dan sekolah terpaksa ditutup, perniagaan rugi dan banyak rumah yang musnah akibat situasi tersebut.

Keadaan itu menyebabkan para isteri dan wanita keluar rumah untuk mencari sumber pendapatan. Ironinya, al-Harabi menjadi tempat untuk mereka mencari rezeki.

"Kami tiada wang tetapi saya mempunyai banyak masa lapang. Jadi, saya mula bekerja mengadun roti di sini," kata Iman al-Jihani, 22, seorang pelajar jurusan perubatan yang juga merupakan sukarelawan selama dua kali seminggu di Jabatan Pembedahan Hospital al-Jalaa di Benghazi.

Di kedai roti itu, dia memperoleh pendapatan sebanyak 275 dinar Libya sebulan iaitu kira-kira AS$230 (RM679) yang dibayar tepat pada masanya. Tidak seperti gaji ayahnya yang bekerja sebagai anggota polis sering dibayar lewat.

Pendapatan Jihani sedikit sebanyak dapat membantu menyara kehidupan lima ahli keluarganya.

Bagi Ghada Ali, 20, pula bekerja di kilang roti itu dapat meneruskan survival dalam kehidupan. Ayah dan dua abangnya sedang berjuang di wilayah Brega dan Misrata, meninggalkan dirinya untuk menjaga ibu yang sedang sakit dan tiga adik perempuannya.


MENCARI rezeki di Libya kini menjadi tanggungjawab wanita selepas revolusi berlaku di negara itu.


Perniagaan menguntungkan

"Kini, saya bertanggungjawab terhadap segala-galanya termasuklah sewa rumah. Setiap masa saya sentiasa memikirkan keselamatan mereka," ujar Ali sambil menguli dengan penuh ketakutan dan hanya berhenti untuk mengelap peluh dan air mata pada mukanya.

Dalam keadaan negara itu aman, perniagaan kedai roti itu sangat berjaya dan menguntungkan. Ia mula dibuka pada tahun 2006 dengan hanya empat wanita pembakar roti. Sekarang terdapat kira-kira 70 pekerja wanita bekerja di kilang setinggi tiga tingkat itu.

"Menyediakan manisan adalah kepakaran kaum wanita," tutur Selma Abdelsalam, 50, sambil membalut kurma Tunisia di dalam doh.

Kilang roti tersebut menjual sekurang-kurangnya 100 jenis manisan di kawasan bebas perang sehingga ke timur di wilayah Tobruk berhampiran sempadan Mesir dan ke selatan di Kufra berhampiran sempadan Chad.

"Kini, kami telah menghasilkan biskut dengan warna-warni revolusi untuk meraikan kebebasan Libya," beritahu Wisha Ibrahim yang telah bekerja di kilang roti tersebut sejak ia mula dibuka.

Tambahnya, kadang-kadang, kilang itu akan menghantar manisan kepada pejuang barisan hadapan agar mereka dapat merasai keenakan makanan seperti di rumah.

Dengan ketibaan Ramadan, semua pekerja wanita berharap untuk melihat peningkatan terhadap permintaan manisan dan roti masin serta pastri istimewa menjelang Aidilfitri.

Tetapi, pemilik kilang roti itu, Mohammed al-Harabi bimbang pengurangan terhadap permintaan tahun ini disebabkan kekurangan aliran tunai dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

"Masalahnya ialah wang. Rakyat tidak mempunyai pendapatan dan ini menyebabkan mereka lewat dalam pembayaran," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: