Saturday, August 6, 2011

Tumpuan mak bidan kampung




SEWAKTU penulis bersama dengan jurufoto, Amin Farij Hasan melewati Jalan Maharani, Muar, pandangan mata kami tertumpu ke arah sebuah kedai yang dikerumuni ramai orang.

Naluri ingin tahu akhirnya membuatkan kami melintas jalan dan menuju ke lot 126 & 127 milik Syarikat M.R.S. Kasia Pillai. Semakin dekat dengan lokasi, aroma bau rempah begitu menusuk rongga hidung.

“Ya, boleh saya tolong, adik mahu rempah apa, kat sini macam-macam ada,” tegur R. Muthu Kumar, 60, yang merupakan orang kuat syarikat yang terletak di tengah-tengah nadi Bandar Maharani itu.

Melihatkan kami yang sedikit canggung, dia mudah mengecam kehadiran kami adalah yang kali pertama ke premis tersebut. ketika itu, pemilik bisnes, V. Subramaniam, 70, tidak berada di kedai. Hanya Muthu menguruskan operasi bersama empat daripada lapan orang pekerjanya.

Daripada pemerhatian gaya para pelanggan ke kedai itu, rata-ratanya seperti sudah biasa ke sana. Seorang wanita yang baru saja tiba terus menuju ke sudut jualan untuk membeli sekilogram (kg) kacang parang.

Di sudut belakang kedai, sepasang suami isteri yang masih mengenakan topi keledar di kepala bertanya berapa harga rempah yang disebut sebagai anya-anya.

“Kedai Kasia Pillai memang jadi pilihan utama kalau nak beli rempah, kadang-kadang saya hantar barang untuk mereka proses,” ujar Nadia Sulaiman, 33, kepada Kosmo!.

Sementara itu, seorang lelaki Cina separuh abad umurnya, terus membeli dal putih yang terletak di sebelah kaunter, tempat Muthu menunggu pelanggan pada kebanyakan masa.

“Kawan saya kirim beli dal ini, nak masak kuah dal. Lepas tu boleh saya minta semangkuk,” seloroh pembeli itu yang mahu dikenali sebagai Uncle Lim, sambil dia melihat pembantu kedai menimbang bijian tersebut dengan menggunakan penimbang berat lama.


VARIASI rempah-ratus yang sukar ditemui sekarang terdapat di kedai M.R.S. Kasia Pillai.


Pelanggan yang datang semakin bertali arus. Muthu dan para pekerjanya tidak menang tangan melayan setiap daripada mereka dengan penuh hemah.

Lama beroperasi

“Inilah tempat kami berniaga. Daripada berdindingkan papan hinggalah kini ditukarkan kepada batu. Dulu ada satu lot, sekarang sudah dua lot.

“Di sinilah juga orang Muar membeli rempah. Mungkin dulu moyang atau datuk nenek mereka yang beli tapi sekarang yang datang ialah cucu cicit mereka pula,” kata Muthu bersungguh sambil memulangkan baki wang kepada seorang wanita yang dilihat membeli rempah beriani.

Barangkali Muthu segan untuk terlalu memuji-muji kedai tempat dia mencari rezeki itu. Begitupun, kebanjiran pelanggan ke kedai berkenaan jelas merumuskan bahawa syarikat yang sudah bertapak di Jalan Maharani lebih daripada seratus tahun itu dipercayai ramai kerana layanan baik dan kualiti produknya.

“Bisnes ini adalah bisnes warisan turun-temurun yang kini sudah masuk generasi kesembilan. Kami rasa gembira kerana dapat jalankan perniagaan sehingga ke hari ini.”

Sama seperti kukuhnya struktur kedai yang berada dalam deretan bangunan binaan tahun 1939 itu, riak wajah Muthu juga menunjukkan kesetiaannya terhadap perniagaan tersebut.

Proses rempah sendiri

Apakah tarikan keistimewaan rempah ratus hasil keluaran kedai itu berbanding puluhan kedai lain di Muar?

“Kita proses rempah sendiri, kalau kamu sanggup pergi ke belakang kedai dan tengok macam mana kita proses rempah, silakan,” pelawanya.

Namun penulis hanya menjengah dari luar pintu. Sembarangan orang tentu tidak sanggup berada lebih lama lantaran debu-debu rempah bertebaran dan aroma tajam memenuhi ruang udara di bilik proses berkenaan.


KAS-KAS juga antara rempah yang kerap dicari-cari oleh para pelanggan.


Namun, alasan itu bukan halangan bagi dua pekerja yang sibuk mengeringkan rempah yang baru dikisar. Mereka nampak bersahaja dan sempat melemparkan senyuman ke arah kami.

Ujar Muthu, legasi M.R.S Kasia Pillai sedikit pun tidak terpengaruh dengan ledakan teknologi terkini.

“Kami masih proses cara tradisional. Kami sukat, basuh, bersihkan, goreng dan baru masuk ke mesin untuk dikisar dan dibiarkan selama tiga hingga empat jam.

“Kemudian kita jemur, kalau kilang besar mereka ada mesin untuk sejukkan rempah itu tetapi untuk mengekalkan mutunya, kami tidak buat begitu,” terang Muthu ketika berkongsi cara pembuatan rempah di premisnya.

Bagaimanapun, lelaki itu berterus terang, dia tidak menggalakkan pengunjung menghantar bijian rempah ke kedainya untuk diproses.

“Kalau seseorang pelanggan hantar sekilogram bahan, dia hanya akan dapat 600 gram saja selepas dikisar. Itu terjadi sebab paip kami mempunyai ruang yang besar dan membuatkan serbuk melekat di bahagian dalamnya. Kami tidak mahu pelanggan rugi,” jelasnya.

Pernah satu ketika, beritahunya, mereka menyukat bahan-bahan kisaran dengan tangan tapi proses itu tidak lagi diguna pakai.

Rempah import

Secara ringkasnya, syarikat M.R.S. Kasia Pillai adalah pusat sehenti untuk mendapatkan rempah-ratus dalam bentuk serbuk atau bijian. Masakan tidak, di situ terdapat lebih daripada 100 jenis rempah.

Untuk mengekalkan momentum pasaran, pesanan akan dibuat dua minggu sekali. Ada produk yang diimport dari India, Kanada, Afrika dan beberapa buah negara lain.

“Kita ada macam-macam, yang susah hendak ditemui dalam pasaran pun kita ada jual,” katanya.

Ya, memang benar bagai dikata. beberapa nama rempah kedengarannya agak asing seperti buah tandi, ada padas, mercu polon, cabai sirih, daun cina maki, kayas angin, cuci atap, beras bali, kapas angin, pucho, ayarampoo, lilin lebah, kayu sedarang dan lada ekor.


GAYA susunan rempah mengikut jenis di dalam premis kedai.


“Hmm... orang lama tahulah, orang baru memang tak tahu. Di sini bukan sekadar rempah untuk memasak tapi banyak digunakan untuk tujuan kesihatan dan kecantikan,” katanya sambil memberitahu kedainya menjadi tumpuan golongan bidan untuk membeli bahan-bahan rempah tertentu.

Muthu sempat menjelaskan, cabai sirih dan cuci atap biasanya dibuat jamu. Sementara air daripada daun cina maki baik untuk membersihkan lemak di dalam tubuh badan.

Sementara beras bali yang dijual RM3.40 sekilogram adalah alternatif bagi mengelak sembelit, kolesterol dan diabetes. Tambah Muthu, kebanyakan pelanggan adalah terdiri daripada kaum Melayu yang rata-ratanya orang Johor, Kelantan dan Melaka.

Sebenarnya, selain Syarikat M.R.S Kasia Pillai, terdapat beberapa buah kedai menjual rempah di lorong yang sama. Bagaimanapun, premis itu menjadi pilihan pelanggan kerana keaslian dan standard produknya.

Ibu beriani

Daripada ratusan rempah-ratus yang dijual, Muthu tidak menafikan bahawa ibu beriani adalah bahan yang paling mendapat sambutan.

Selain berkualiti tinggi, adunan ibu beriani dari Syarikat M.R.S Kasia Pillai katanya, mampu membuatkan nasi ber iani yang dihasilkan lebih enak.

Apa rahsianya? “Kami menggunakan lebih 50 jenis rempah dan salah satunya ialah buah pala yang berharga RM120 sekilogram iaitu bahan yang sangat penting untuk jadikan ibu beriani kami lain daripada yang lain.”


SYARIKAT M.R.S. Kasia Pillai ini sudah lebih seabad membekalkan pelbagai rempah ratus kepada para pelanggannya di seluruh negara.


Maka, tidak hairanlah jika sebuah syarikat di Kluang meminta agar disediakan 100 kilogram rempah tersebut dalam satu pesanan. Malah, ada pengusaha lain yang sanggup datang ke Muar menaiki bas untuk mendapatkannya.

“Kami jual RM40 sekilogram. Walau mahal, orang tetap cari. Saya tidak boleh cerita lebih lanjut tentang ramuannya sebab resipi ini hanya diperturunkan dalam keluarga,” katanya sambil tertawa kecil.

Selain itu, jelas Muthu, buah pelaga yang dijual pada harga RM100 sekilogram juga antara yang dicari-cari di premisnya.

“Buah ini kalau tak digunakan, daging tidak akan masak dengan betul,” katanya menitipkan petua orang dulu-dulu. Dia juga berpesan, jangka hayat baik bagi satu-satu rempah hanya bertahan selama sebulan.

Kepada peminat mi bandung iaitu makanan signatur Muar, premis itu juga tidak ketinggalan dan menjadi medan terbaik untuk mendapatkan perencah mi bandung, soto atau mi rebus.

Selama hampir lebih seabad berniaga, Muthu berkata, keluarga dan sanak saudaranya tidak pernah bercadang untuk beranjak daripada mengusahakan perniagaan lain.

Soal saingan dengan mana-mana perusahaan bukan satu perkara kritikal bagi syarikat itu. Seperti kata Muthu, masing-masing ada kelebihan tersendiri.

“Rempah sudah sebati dengan jiwa kami, kalau awak nak tahu, ketua kami (V. Subramaniam), dia dapat cam jenis rempah yang diproses melalui bau saja,” katanya yang menyediakan lebih banyak bekalan menjelang Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menjelma tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: