Saturday, August 6, 2011

Mentarang buat masak lemak


PENULIS terpaksa meredah selut untuk mencari mentarang di Sungai Berembang.


SELEPAS ke Kampung Sedim, Kedah, minggu lalu, saya menyusur pula ke Kuala Perlis, yang merupakan bandar kedua terbesar di Perlis selepas Kangar. Saya sangat teruja apabila menjejak kaki ke sana kerana saya melihat rimbunan hijau di sekeliling yang masih lagi terjaga.

Misi pertama saya dalam episod kedua ini adalah mencari mentarang iaitu sejenis siput yang hanya boleh didapati di tepian pantai yang berselut kerana hidupan yang bercangkerang itu suka air yang mempunyai suhu rendah. Mentarang juga mudah didapati di Sungai Berembang, Kuala Perlis.


MENTARANG yang menjadi bahan utama dalam menu pertama yang dimasak penulis.


Belum apa-apa lagi, saya terpaksa menempuhi halangan pertama iaitu terpaksa masuk ke selut yang dalamnya mencecah sehingga ke bahagian paha.

Ini pengalaman saya yang pertama masuk selut dan perasaan saya macam rasa mahu tenggelam dalam selut. Saya ditemani oleh Pak Hamid, seorang penjual mentarang yang selalu membekalkan mentarang kepada peniaga-peniaga kecil.

Pak Hamid mengajar saya selok-belok untuk mengambil mentarang dan kami memulakan pencarian itu seawal 7 pagi. Hasil tangkapan saya selama dua jam itu dibawa pula ke destinasi seterusnya iaitu di Empangan Tasik Timah Tasoh.


INILAH pasar unik di tengah-tengah ladang getah.


Di tasik itu, saya ditemani pula oleh Abang Min, seorang peniaga pulut ayam di Cafe Cindai Klasik. Untuk episod kedua itu, penerbit ingin mendapatkan suasana perkhemahan.

Ia sangat mendamaikan apatah lagi dengan suasana yang dikelilingi oleh bukit-bakau.

Sementara menunggu mereka menyiapkan khemah, saya dan Abang Min pergi mencari bahan-bahan untuk memasak lemak mentarang umbut pisang di pasar Beseri, Beseri, Perlis.

Selesai mendapatkan bahan-bahan itu, saya perlu pula mencari umbut pisang. Nasib baiklah tidak perlu meredah hutan seperti mencari umbut bayas dulu kerana pokok pisang mudah dijumpai di sekeliling kawasan tersebut.


Menyediakan makanan popular Perlis di tepi Tasik Timah Tasoh.


Misi memasak mentarang umbut pisang masak lemak berjaya dan mendapat pujian dan usaha saya setelah meredah selut memang berbaloi.

Nasi ulam utara

Kini misi kedua pula iaitu nasi ulam merupakan menu paling popular di Perlis. Kepelbagaian ulam yang digaulkan bersama nasi menjadikan menu misi yang kedua ini lebih mencabar.

Di samping itu, suasana di pasar pagi yang terletak di tengah-tengah ladang pokok getah menjadikan misi mencari bahan-bahan nasi ulam lebih menarik. Cabaran seterusnya adalah mengenal jenis-jenis ulam yang diperlukan sebanyak tujuh jenis. Ini memang susah sikit sebab saya tidak hafal nama-nama ulam, apatah lagi bentuk rupanya.


MENJAMU selera dengan hidangan yang disediakan sendiri dalam suasana perkhemahan yang mendamaikan di Tasik Timah Tasoh.


Resipi diberi oleh Abang Min, namun, usaha saya untuk menyediakan menu makan tengah hari untuk rakan-rakan akhirnya gagal. Bukan gagal kerana tidak cukup bahan untuk masak tetapi, gagal kerana tidak tahu macam mana nak makan nasi ulam. Ada yang kata ulam-ulam tersebut dicampur sekali dengan nasi dan ada juga kata asingkan ulam dan juga nasi.

Kecewa sedikit bila gagal, tetapi saya bangga sekurang-kurangnya dapat belajar jenis-jenis ulam yang ada. Untuk tenangkan fikiran, saya pun terus pergi ke tepi tasik untuk aktiviti seterusnya iaitu berkayak di tepi Empangan Tasik Timah Tasoh yang mempunyai pemandangan yang sangat cantik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: