Saturday, August 6, 2011

Konflik buaya dan manusia


SEORANG penduduk kampung Mohd. Faizul Abu Bakar membawa bangkai buaya dengan bot untuk ditanam selepas dipercayai mati ditembak oleh pihak berkuasa di hulu Sungai Seblak.


KETIKA buaya di Sungai Seblak terlepas daripada langkah penakaian yang dibatalkan pada saat-saat akhir, kira-kira 1,000 penduduk Kampung Empelam di Kabong, kira-kira 60 kilometer dari Sarikei, Sarawak masih bimbang tentang keselamatan mereka.

Sejak empat tahun lalu, penduduk kampung itu dihantui ketakutan ekoran serangan maut ke atas dua penduduknya dan bilangan buaya yang terus meningkat di sungai tersebut.

Malah, sejak itu penduduk kampung berasa rimas dan cuba mengelakkan daripada sebarang aktiviti di sungai yang mengalir di belakang rumah mereka dan masalah itu secara tidak langsung menjejaskan kehidupan harian serta sumber pendapatan mereka.

"Sungai ini dipenuhi buaya termasuk ada yang boleh sampai saiz sehingga tujuh meter," kata Ketua Kampung Empelam, Johan Jok, 64.

Ketika ditemui di kediamannya, Johan, bekas kakitangan awam itu berkata, bulan Jun adalah bulan yang sangat berbahaya kerana buaya betina bertindak agresif dan ia adalah musim bertelur.

"Sehubungan itu, pada bulan Jun setiap tahun, saya akan menasihatkan penduduk kampung supaya elakkan menangkap ikan di sungai," kata beliau.

Mangsa reptilia


PENDUDUK kampung dibantu anggota Bomba dan Penyelamat menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Seblak di Kampung Mempelam, berikutan operasi memburu buaya giat dijalankan di sungai tersebut.


Mangsa pertama reptilia di kampung itu ialah Khamis Achong yang diserang pada bulan Ogos 2007 dan yang kedua ialah Mankay Goheh yang menjadi mangsa pada bulan Mei lalu.

Beliau berkata, mayat Khamis ditemui di Sungai Nyiar, kira-kira 13 kilometer dari kampung itu.

Walaupun jarang sekali manusia dibaham buaya, ketika air pasang pada sebelah petang reptilia itu sering menyambar ayam dan itik milik penduduk yang berada di bawah rumah, jelas Johan lagi.

"Saya takut untuk memikirkan apa yang akan berlaku jika seekor buaya besar turut terlanggar tiang kaki rumah dalam proses itu," katanya.

Johan berkata, mata pencarian 28 orang penduduk kampung yang rezeki mereka bergantung pada sungai itu terjejas akibat ancaman buaya. Sungai Seblak yang terkenal kerana udang galahnya yang mencecah harga sehingga RM40 sekilogram (kg). Jika rezeki murah, mereka boleh menangkap sehingga 50kg.

Namun, kerana ancaman buaya kebanyakannya tidak berani turun ke sungai.

Johan berkata, tinjauan yang dijalankan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 306 ekor buaya di sungai itu dari Roban hingga ke Sessang.

"Kami tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan. Kami tidak boleh menembaknya kerana ia adalah spesies yang dilindungi. Lagipun, kami tidak berminat membunuhnya kerana ada antara kami yang percaya reptilia ini bersifat pendendam.

"Saya tidak yakin penduduk tempatan boleh membunuhnya. Lagipun untuk membunuh seekor buaya yang besar, anda memerlukan senjata khas," katanya.

Pilihan lain ialah mendapatkan khidmat bomoh untuk mengusir reptilia itu tetapi pada hari ini agak sukar kerana bayaran yang dikenakan oleh bomoh mencapai sehingga RM5,000 atau lebih.

Operasi penakaian selama seminggu yang pertama seumpamanya di kawasan itu dicadangkan pada minggu ketiga bulan Julai. Operasi itu membabitkan anggota tentera, polis, Rela, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pejabat daerah kecil Roban dan penduduk tempatan.


MAYAT Mankay Goheh, 42, maut dibaham buaya dibawa oleh penduduk Kampung Empelam selepas ditemui di hulu Sungai Nyiar Roban, Kabong, Sarawak baru-baru ini.


Bagaimanapun operasi itu dibatalkan pada saat-saat akhir kerana kekurangan sumber dan kesukaran mengenal pasti buaya-buaya ganas.

Ketua Daerah Polis Saratok, Deputi Supritendan (DSP) Lee Phai Lien berkata, rancangan awal adalah untuk memburu sehingga 60 ekor buaya yang panjangnya tidak kurang daripada 2.5 meter dan berpotensi mengancam manusia. Sementara itu, pengurus besar SFC Wilfred Landong berkata, perbadanan itu sedang mempertimbangkan aktiviti pemburuan komersial untuk mendapatkan kulit dan daging buaya dalam usaha mengawal bilangannya.

Pemburuan komersial

Beliau berkata, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 yang melindungi reptilia harus dipinda bagi membolehkan pemburuan komersial dari semasa ke semasa.

Beliau berkata pada tahun 1961, Sarawak mengeksport 7,245kg kulit buaya yang bernilai RM148,000, sementara pada tahun 1970 ia mengeksport 692kg yang bernilai RM13,000.

"Berdasarkan tinjauan kami yang dilakukan sejak tahun 1995, populasi buaya tembaga (crocodylus porosus) di beberapa batang sungai telah meningkat dengan ketara.

"Kejadian serangan ke atas manusia juga meningkat seiring dengan bilangannya," kata beliau. Wilfred menunjukkan bahawa reptilia itu lazim ditemui di 22 lembangan sungai di negeri Sarawak. SFC sedang memantau lima batang sungai utama khasnya Batang Sadong, Batang Lupar, Sungai Sarawak, Batang Saribas dan Batang Samarahan.

Sungai-sungai itu paling banyak menyaksikan konflik buaya dan manusia dengan catatan 42 kematian manusia dilaporkan dari tahun 1980 hingga tahun 2009.

"Batang Lupar paling banyak menyaksikan insiden serangan buaya dengan catatan 16 kematian disusuli Sungai Sarawak dengan lima kematian dan empat di Sungai Saribas," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: