Monday, August 8, 2011

Debaran menaiki Charlie C-130 TUDM

Pesawat Charlie C-130 milik TUDM digunakan sebagai pengangkutan strategi untuk menjayakan sesuatu rancangan seperti misi menyelamat.

TERGAMAM, rasa kecut perut dan bermacam-macam perkara yang difikirkan sehingga terbayang-bayang dalam kepala penulis pada permulaannya.

Masakan tidak apabila mendengar kisah negatif segelintir rakan-rakan mengenai pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan antara disebut adalah Charlie C-130.

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang menaiki pesawat itu dalam Lawatan Editor Kanan dan wartawan media ke Pangkalan Hadapan Operasi (Op) Pasir di Sabah anjuran Kementerian Pertahanan baru-baru ini tidak segerun seperti yang dikhabarkan.

Sepanjang penerbangan selama kira-kira empat setengah jam dari TUDM Subang ke Lapangan Terbang Tawau berjalan lancar malah tidak keterlaluan menyifatkan keadaan sewaktu roda pesawat mencecah landasan lebih senyap berbanding pesawat komersial.

Penumpang keluar dari belakang pesawat.

Jujurnya, penulis sememangnya berdebar tatkala menaikinya pada pagi berawan mendung itu kerana peluang pertama disogokkan dengan kata-kata tidak membina.

Tambahan pula ia merupakan kali pertama penulis menjejakkan kaki ke Sabah, Negeri di Bawah Bayu dan pengalaman itu menerusi penerbangan Charlie C-130 milik TUDM.

Paling bertuah adalah salah seorang wartawan yang turut mengikuti lawatan tersebut apabila dia pertama kali menaiki pesawat dan sejarah itu dicatatkan menerusi C-130.

Penulis berpeluang meninjau ruang kokpit yang ketika itu dikemudi oleh juruterbang Leftenan Kolonel Ishak Ujang, 45, dan pembantu juruterbangnya, Kapten Mohd Syamsul Mohd Yusop, 27.

Kapten Mohd Syamsul bertindak sebagai pembantu juruterbang dalam penerbangan dari TUDM Subang ke Lapangan Terbang Tawau.

Misi menyelamat

Ishak berkata, pesawat Charlie C-130 adalah pesawat pengangkut yang digunakan sebagai pengangkutan strategik untuk menjayakan sesuatu rancangan.

C-130 mempunyai dua jenis tempat duduk dalam iaitu kapasiti 128 penumpang sekiranya penyusunan di bahagian tepi untuk tentera manakala 83 lagi bagi kegunaan komersial.

“Bagaimanapun, kami pernah membawa lebih 200 pelajar dalam satu pesawat bagi membawa mereka keluar dari Mesir ke Jeddah pada Mac lalu,” katanya yang mempunyai pengalaman dalam menerbangkan pesawat TUDM lebih 20 tahun sejak 1988.

Dalam Operasi (Ops) Piramid itu sebanyak tiga pesawat yang melakukan 18 penerbangan ulang-alik melibatkan laluan (Jeddah-Kaherah-Jeddah) dan (Jeddah-Iskandariah-Jeddah).

Jumlah keseluruhan penumpang yang dibawa ke kawasan selamat oleh pesawat C-130 TUDM di Lapangan Terbang Jeddah adalah seramai 3,482 orang.

Misi tersebut berikutan situasi keselamatan yang semakin meruncing di Mesir ekoran demonstrasi rakyat yang menuntut Presidennya ketika itu, Hosni Mubarak supaya meletakkan jawatan.

Leftenan Kolonel Ishak Ujang.

TUDM banyak melakukan misi menyelamat di mana antaranya membawa pulang seramai 400 penuntut dan warga Malaysia yang berada di Yogyakarta, Solo, Indonesia berikutan letusan Gunung Merapi di Jawa Tengah pada November tahun lalu.

Selain itu, C-130 turut ke Dubai pada Mac 2003 bagi menjalankan misi membawa keluar rakyat Malaysia dari beberapa negara bersempadan dengan Iraq ke zon selamat dalam serangan ke atas negara itu bagi menamatkan pemerintahan Presiden Saddam Hussein.

Berbeza dengan pesawat komersial yang mempunyai dua kru, C-130 mempunyai empat kru di ruang kokpit iaitu juruterbang, pembantu juruterbang, pemandu arah dan jurutera penerbangan.

Menurut Ishak, walaupun berpengalaman menerbangkan pesawat lebih dua dekad, namun masa penerbangannya setakat ini hanya 3,000 jam berikutan beliau ditugaskan di bahagian pentadbiran selama enam tahun dari 1997 sehingga 2002.

“Demi memenuhi aspek keselamatan dan kelancaran sepanjang operasi, seorang juruterbang tidak boleh menerbangkan pesawat melebihi 80 jam sebulan,” katanya yang pernah menyertai misi pengaman di Bosnia-Herzegovina pada 1995.

Nama ‘Charlie’ hanya digunakan dalam perkhidmatan TUDM dan ia sebenarnya adalah pesawat udara turboprop empat enjin Lockheed C-130 Hercules.

Ia merupakan pengangkut penumpang dan kargo selain turut berperanan sebagai pesawat pembedil, pemerhati cuaca, tangki udara, pesawat bomba udara dan ambulan udara.

Terdapat lebih 40 versi Hercules digunakan secara meluas di lebih 50 negara termasuk Malaysia sebagai negara pertama yang memperolehi pesawat itu bagi kegunaan TUDM.

Aset penyumbang

Sebagai pasukan udara di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), TUDM meneruskan keupayaannya untuk mempertahankan ruang angkasa dan kedaulatan negara.

Pesawat Charlie C-130 merupakan antara aset TUDM yang menyumbang kepada keupayaan pasukan itu pada tahun ini menyambut ulang tahun ke-53.

Menariknya, pengalaman pertama penerbangan C-130 dari TUDM Subang ke Tawau itu turut disertai oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Apa yang dikagumi penulis ialah beliau tidak menjadi VVIP yang hanya mahu menghabiskan masa dengan bersenang-lenang di tempat duduk sepanjang penerbangan.

Beliau beramah mesra dengan juruterbang dan anak kapal dari ruang kokpit sehingga ke segenap pesawat bersama editor-editor kanan dan rakan-rakan media.

Kenyataan Dr Ahmad Zahid mengenai pesawat Charlie C-130 yang dinaiki oleh para editor kanan dan wartawan menarik perhatian penulis.

“Aset ATM tidak akan dikongsi oleh orang awam. Kalau diberi sebanyak RM1 juta setiap seorang (penumpang) pun, saya tak akan benarkan,” katanya yang menunjukkan bahawa setiap aset ATM bukan untuk main-main atau mengaut keuntungan secara komersial tetapi bermatlamat untuk mempertahan dan memperjuangkan kedaulatan negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: