Monday, August 8, 2011

Buruan gelaran dunia bermula




CABARAN barisan pemain negara pada Kejohanan Badminton Dunia 2011 yang berlangsung di Arena Tertutup Wembley, London akan bermula hari ini.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti kelibat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) yang kini dalam misi memburu kejuaraan dunia pertama sepanjang kariernya.

Melihatkan kepada persiapan pemain No. 1 dunia ini bagi menghadapi kejohanan di bumi London itu, Chong Wei sememangnya sudah bersedia baik daripada aspek fizikal dan mental.

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, tidak seperti edisi-edisi terdahulu, Chong Wei dilihat lebih tenang bagi memulakan saingan kali ini.

“Jika kejohanan-kejohanan sebelum ini, dia (Chong Wei) terlalu memikirkan untuk bergelar juara, tetapi kali ini tidak lagi. Dia lebih tenang tanpa memikirkan sangat mengenai gelaran juara.

“Malah, saya lihat semangat Chong Wei untuk turun beraksi juga tinggi. Itu pasti akan membantunya untuk menewaskan pemain-pemain yang bakal menjadi lawannya nanti,” kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! di London semalam.

Tambah Seu Bock, program latihan intensif yang diadakan di University of Bath selama seminggu bermula 28 Julai lalu, turut menjadi elemen penting dalam usaha menghilangkan rasa tekanan yang dipikul Chong Wei.

“Sepanjang menjalani latihan di University of Bath, Chong Wei dilihat lebih fokus. Di sana, tidak ada apa yang mengganggunya dan itu membuatkan dia boleh fokus terhadap latihannya.

“Ketika di University of Bath juga saya banyak memberi kebebasan buat Chong Wei. Semua aktiviti kami berjalan dengan amat santai termasuklah ketika kami membincangkan hal-hal perlawanan,” tambah Seu Bock.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik yang pernah dilakar Chong Wei pada Kejohanan Dunia adalah melangkah ke peringkat separuh akhir dalam penampilan sulung di Aneiheim, Amerika Syarikat pada 2005.

Chong Wei bakal membuka tirai saingan pada kejohanan dunia kali ini berdepan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk pada aksi pusingan pertama hari ini.

Turut akan beraksi pada aksi pusingan pertama hari ini ialah dua pasangan beregu lelaki negara, Mohd. Zakry Abdul Latiff-Hoon Thien How dan Chan Peng Soon-Lim Khim Wah yang masing-masing bakal membuka tirai saingan berdepan pasangan Amerika Syarikat, Howard Bach-Tony Gunawan serta Adam Cwalina-Michal Logosz dari Poland.

Dalam saingan beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Ee Hui bakal berdepan pasangan England, Jenny Wallwork-Gabrielle White, manakala Ng Hui Ern-Ng Hui Lin turun menentang Anna Kobceva-Elena Prus dari Ukraine.

Pasangan beregu campuran negara, Peng Soon-Goh Lui Ying akan turun menentang Xu Chen-Ma Jin dari China.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: