Saturday, July 16, 2011

Pertembungan benua di Istanbul


ISTANBUL yang dipenuhi keindahan seni bina dari zaman-berzaman.


Kehebatan tamadunnya bermula lebih awal berbanding kerajaan yang ada di dunia. Tanahnya menjadi saksi jatuh dan bangun empayar-empayar terhebat seperti Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah.

Namun anda tidak akan sampai ke Turki jika terus membelek ketebalan sejarahnya. Cara terbaik untuk menyaksikan kehebatan itu adalah dengan terbang ke sana dan menyaksikannya sendiri.

Bagi yang mengagumi sejarah, Turki adalah destinasi terbaik untuk dilawati. Bahkan sehingga kini, khazanah yang tersimpan di perut buminya masih belum habis digali dengan purata 150 ekskavasi baru setiap tahun.

Turki yang mempunyai 10 bandar utama menawarkan seribu satu kepuasan khususnya keindahan seni bina lama, kehalusan budaya dan tarikan alam semula jadi.

Salah satu daripada kota yang paling dikunjungi di negara republik itu adalah Istanbul. Bandar di tepi Selat Bosphorus yang terletak di antara Laut Hitam dan Laut Marmara, bersempadan dengan Bulgaria dan Greece.

Istanbul yang dahulunya dikenali sebagai Konstantinopel dengan populasi 20 juta penduduk merupakan salah satu daripada bandar utama di Eropah. Bukan itu sahaja, ia juga satu daripada destinasi paling dikunjungi di dunia.

Tahun lalu, Kesatuan Eropah menobatkan 'jambatan' yang menghubungkan Eropah dan Asia Barat itu sebagai Pusat Kebudayaan Eropah sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan Turki.

Namun melawat Istanbul bukan semata-mata kerana tinggalan sejarahnya. Selain keindahan seni bina, ia juga dikunjungi kerana kehalusan budaya dan beraneka sajian makanan.

Salah satu daripada tarikan paling dikunjungi di Istanbul adalah Masjid Biru atau namanya Masjid Sultan Ahmed yang pernah menjadi pusat pentadbiran Khalifah Uthmaniyyah.

Dibina antara tahun 1609 hingga 1619, kehebatan seni bina Islam yang masih utuh berdiri itu adalah ikon pelancongan yang menghiasi poskad dan barang-barang cenderahati. Ia boleh dibezakan melalui enam batang menara berbentuk pensil dan kubah gergasi berwarna kelabu kebiruan.

Selain struktur yang gah, melawat Masjid Biru juga memberi peluang kepada pelancong menyaksikan keindahan hiasan dalaman yang dipenuhi kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran.

Masjid yang pernah menjadi simbol penyatuan rakyat itu merangkumi pelbagai kemudahan sosial termasuk hospital, kolej, perpustakaan, pasar, dapur dan makam keluarga.

Selain Masjid Biru, Istanbul juga dipenuhi dengan seni bina yang melambangkan kegemilangan Islam pada masa lampau. Antara tarikan lain di Istanbul termasuk Masjid Suleyman, Masjid Fethiye dan Muzium Aya Sofia yang pernah berfungsi sebagai masjid dan gereja.

Untuk melihat susunan kota Istanbul dan keindahan bandar yang melata disekelilingnya, pelancong boleh melawat Menara Galata yang terletak tidak jauh dari muka muara Golden Horn.

Menara setinggi 70 meter yang mempunyai bumbung berbentuk kon itu merupakan menara batu tertua di dunia yang juga antara tarikan utama di Istanbul.

Dibina menggunakan kayu pada ketinggian 35 meter dari paras laut pada zaman Byzantine, ia diperkukuh semula dengan binaan batu pada 1348. Selepas penaklukan kerajaan Uthmaniyyah, Menara Galata dijadikan penjara sebelum berfungsi sebagai menara peninjauan bandar.

Dari puncak menara itu, pelawat boleh menyaksikan sebahagian besar daripada kota Istanbul yang mengadap muara Golden Horn antaranya Istana Topkapi, Masjid Biru, Masjid Suleyman, Aya Sopia, Masjid Yeni, Jambatan Galata dan Menara Beyazit.

Menara Galata beroperasi dengan dua lif yang membawa pelawat dari pintu masuk ke puncak menara yang turut dilengkapi restoran dan ruang tinjau.

Istanbul sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan keagungan zaman pemerintahan Uthamaniyyah dan seni binanya. Salah satu daripada kehebatan itu adalah Istana Topkapi yang terletak tidak jauh dari tebingan Sungai Bophorus, sempadan antara dua benua.

Selain menjadi bekas kediaman para pemerintah Khalifah Uthmaniyyah selama hampir 400 tahun (1465-1856), istana yang ditukar menjadi muzium oleh Presiden pertama Turki, Mustafa Kamal Attaturk itu turut menyimpan khazanah Islam yang tidak ternilai termasuk pedang dan kain mantel Nabi Muhammad.

Pada masa kini, tarikan utama di situ dimeriahkan dengan penganjuran majlis kerajaan, keraian dan hiburan.

Istana berkeluasan 700,000 meter persegi yang dilindungi oleh tembok sepanjang lima kilometer mempunyai empat laman dan bangunan-bangunan kecil. Pada zamannya, Istana Topkapi memuatkan kira-kira 4,000 penghuni pada satu-satu masa.

Satu lagi cara terbaik untuk kembali ke zaman kegemilangan kota itu adalah dengan menaiki bot persiaran di sepanjang Sungai Bosphorus.

Menyusuri perairan tersebut menyajikan keindahan bandar yang dipenuhi struktur bersejarah seperti Istana Dolmabahce, Kubu Rumeli, Besiktas, Sariyer dan Kanlica.

Persiaran yang bermula seawal pukul 10.30 pagi itu akan singgah di Kubu Anadolu untuk sesi kunjungan dan makan tengah hari sebelum ia berakhir di Eminonu.

Selain keindahan kota, Istanbul juga dikenali dengan produk dan barangan tempatan seperti karpet, perhiasan, barang kemas dan rempah-ratus. Bazar Utama Kapali Carsi merupakan satu lagi tarikan wajib di Istanbul.

Bazar yang menempatkan kira-kira 4,000 gerai di kawasan meliputi 50 lorong itu menerima kira-kira suku hingga setengah juta pelawat setiap hari, menjadikannya antara yang terbesar di dunia.

Bazar Kapali Carsi dibuka oleh Sultan Mehmed II pada 1461. Keluasan bazar berkenaan boleh dibayangkan melalui penyediaan dua buah masjid di dalam kawasan itu, barisan restoran dan air pancut yang disediakan untuk istirehat.

Bagi yang tidak kisah mengembara lebih jauh ke bahagian tengah Turki, keunikan kawasan pergunungan Cappadocia juga antara pilihan yang menyajikan pelancong seribu kejutan.

Cappadocia merupakan penempatan masyarakat Persia kuno di lereng bukit yang dibina dengan cara menebuk batu untuk dijadikan kediaman.

Penempatan sejak dari Zaman Gangsa yang dikelilingi formasi batu berbentuk kon itu merupakan tarikan pelancongan paling popular di Anatolia, bahagian tengah Turki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: