Wednesday, July 6, 2011

Kek lemon pelangi jadi taruhan


ROHAYATI menyiapkan tempahan kek di rumahnya di Setia Tropika, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Pemilik pusat jagaan kanak-kanak, Rohayati Separanan akan mempertaruhkan Kek Lemon Pelangi Di Hatiku pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 bagi Zon Selatan yang akan berlangsung di pasar raya besar Giant, Tampoi Ahad ini.

Rohayati yang turut menjalankan perniagaan kek secara dalam talian menjelaskan, kek pelangi memang sinonim dengan dirinya.

“Rakan-rakan dan pelanggan saya memang tahu kek pelangi merupakan keistimewaan perniagaan saya dan tidak salah jika saya cuba mempertaruhkan kek ini pada cabaran Daisy nanti.

“Kek ini amat istimewa kerana selain menarik dengan warna-warna pelangi, ia juga tidak begitu muak jika dimakan kerana berperisa lemon,” katanya ketika ditemui di Setia Tropika di sini semalam.

Rohayati, 39, juga mengakui, dia agak bertuah kerana tema Dasar Laut yang ditetapkan untuk cabaran Daisy Zon Selatan bukanlah sesuatu yang asing bagi dirinya.

Katanya, dia pernah menyediakan kek untuk sebuah pesta dengan tema yang sama sebelum ini.

“Namun kali ini, mungkin saya akan buat sesuatu yang baharu bagi memperbaiki hiasan kek,” katanya.

Rohayati bagaimanapun tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada hari pertandingan kerana niat utamanya hanyalah untuk menimba pengalaman selain menjadikannya batu loncatan untuk meluaskan perniagaan.

“Ini merupakan pertandingan pertama saya sertai dan jika menang, ia merupakan satu bonus. Namun jika tewas, saya tetap gembira kerana dapat mencuba sesuatu yang baharu,” katanya yang kini sibuk memperkenal kek dalam botol untuk pasaran di sekitar Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Norizan berlatih setiap hari


NORIZAN sedang menyiapkan Kek Oren Coklat Berpisang ketika ditemui di Gelang Patah, Johor semalam.


GELANG PATAH – Demi memastikan kesempurnaan kek yang bakal dipertaruhkan pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 bagi Zon Selatan pada Ahad ini, seorang suri rumah, Norizan Sairi sanggup berlatih hampir setiap hari sejak seminggu lalu.

Norizan, 33, akan membuat Kek Oren Coklat Berpisang setiap hari untuk diuji dan diberikan kepada jiran dan rakan-rakan anaknya.

Menurut ibu kepada empat orang anak itu, dia ingin memastikan kek yang bakal dipertaruhkan pada cabaran Daisy nanti sempurna daripada segi rasa dan hiasan.

“Setiap hari saya buat kek oren coklat berperisa pisang bagi memastikan tiada kekurangan.

“Saya juga sering berlatih untuk hiasan mengikut tema yang telah ditetapkan kerana peserta diberi masa terhad untuk membuat dekorasi pada hari pertandingan nanti,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulai di sini semalam.

Norizan yang mengambil tempahan membuat biskut dan kek sejak tiga tahun lepas memberitahu, sesuai dengan nama, keistimewaan Kek Oren Coklat Berpisang ciptaannya tertumpu pada kepelbagaian rasa.

“Anak-anak saya ada yang suka kek perisa oren dan ada yang suka perisa coklat. Tambahan pula, di kawasan rumah saya banyak pokok pisang dan sebab itulah, saya cuba gabungkan semuanya.

“Satu lagi resipi kek saya sudah tentu minyak Daisy yang menjadikan kek begitu enak,” katanya.

Dia bagaimanapun mengaku gemuruh menanti hari pertandingan kerana tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan membuat kek.

Ana Raffali meriahkan Cabaran Daisy Zon Selatan

KUALA LUMPUR – Penyanyi Ana Raffali atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku bakal memeriahkan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Selatan yang akan berlangsung di pasar raya besar Giant, Tampoi, Johor, Ahad ini.

Eksekutif Iklan Kosmo!, Nizam Baharuddin berkata, Ana Raffali akan menyampaikan beberapa lagu sebelum diikuti persembahan daripada artis, Altimat dan Adeeb.

“Ana Raffali dijangka membuat persembahan bermula pukul 2 petang diikuti oleh Altimat dan Adeeb,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Katanya, pertandingan akan bermula pada pukul 10.30 pagi dan akan berakhir pada pukul 6 petang.

Justeru, kata Nizam, orang ramai diminta tidak melepaskan peluang hadir pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Selatan kerana pelbagai aktiviti menarik turut diadakan.

Dalam pada itu, kata beliau, Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Selatan akan turut disertai beberapa peserta dari negeri lain yang tidak berpeluang menyertainya sebelum ini.

Menurutnya, Zon Selatan merupakan destinasi terakhir bagi peringkat zon sebelum peringkat akhir di Plaza Shah Alam, Selangor pada 17 Julai ini.

Pertandingan peringkat Zon Timur diadakan di Giant, Kuala Terengganu pada 18 Jun lalu diikuti Zon Tengah di pusat beli-belah AEON AU2 Setiawangsa (26 Jun) dan Zon Timur di Star Parade, Alor Setar pada 2 Julai lalu.

Daripada empat zon itu, lapan peserta akan dipilih ke peringkat akhir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: