Sunday, July 17, 2011

Eksport durian sejuk beku ke China


DURIAN sejuk beku mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa.


SEGAMAT memang terkenal dengan durian kampungnya hingga mampu menggamit ramai pelancong asing berkunjung ke daerah di Johor itu. "Selain memenuhi permintaan pasaran tempatan, kami juga pernah menerima kunjungan pelancong dari Korea dan Singapura, yang ingin menikmati keenakan buah durian dalam suasana kampung," kata Ketua Kampung Gelang Chin-chin, Salleh Mohammad. Selain dijadikan produk pelancongan agro, durian tempatan turut dieksport ke luar negara seperti ke Australia, China dan Korea.

Dengan menggunakan kaedah sejuk beku, eksport buah durian ke China bermula bulan ini dijangka bernilai hampir RM4 juta merangkumi penghantaran empat kontena seminggu yang akan diuruskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Menurut Ketua Pengarahnya, Ahmad Ishak, buah tersebut akan dieksport pada bulan Julai hingga September kerana ketika itu pengeluaran buah durian memuncak dan sesuai untuk dieksport.

"Setakat ini, Malaysia mengeluarkan sejumlah 300,000 tan metrik buah durian dengan nilai kasar RM1.3 bilion setahun, namun masih tidak mencukupi untuk tujuan eksport. "Durian tempatan juga diakui lebih sedap berbanding durian dari negara lain oleh pegawai tertinggi republik itu termasuk Perdana Menterinya, Wen Jiabao. "Mereka memberi surat rasmi pada 11 Mei lalu membenarkan kita mengeksport durian ke China," kata Ahmad kepada Jurnal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: