Saturday, July 16, 2011

Debaran lapan peserta final


CHEF LIZA (kanan) memberi penerangan kepada peserta yang menyertai Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011.


TINGGAL sehari saja lagi debaran lapan peserta yang akan mempamerkan kebolehan masing-masing dalam peringkat akhir Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011.

Pertandingan final yang bakal berlangsung esok di pusat beli-belah Plaza Shah Alam, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor itu akan menyaksikan kehebatan peserta kategori kek dan biskut menghasilkan hasil masakan mengikut daya kreativiti tersendiri.

Kumpulan peserta yang layak ke final merupakan pemenang kategori kek dan biskut pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 yang telah diadakan di peringkat Zon Timur, Zon Tengah, Zon Utara dan Zon Selatan.

Zurinah Sahari, 39, salah seorang pemenang kategori biskut menyifatkan dia tidak menyangka sama sekali biskut Kerisik Badam Daisy yang dicipta dalam tempoh seminggu berjaya menambat hati juri.

Jelas ibu kepada lima cahaya mata itu, bersesuaian dengan tema Hari Raya Aidilfitri, pada acara kemuncak maka dia berpendapat kerisik antara bahan utama yang paling ideal digunakan.

"Lazimnya, tiba saja hari raya kerisik sentiasa mendapat permintaan tinggi untuk digunakan dalam masakan. Dari situ saya mendapat idea untuk menghasilkan biskut berasaskan kerisik, selain menggunakan minyak jagung Daisy yang membantu membuatkan biskut rangup dan wangi.

"Justeru, pada cabaran final saya masih mempertaruhkan jenis biskut yang sama cuma mempelbagaikan bentuk biskut seperti bentuk bulat, hati, empat segi dan bulan sabit. Lagipun Chef Liza berkali-kali menasihatkan agar biskut yang dipamerkan mengikut tema yang ditetapkan," ujar Zurinah yang turut menggunakan ketupat, juadah rendang dan lemang sebagai penghias utama pada dekorasi biskutnya.

Ikut tema Aidilfitri

Bagi juara kek Cabaran Daisy Sehebat Chef-Kosmo! 2011, Zon Tengah, Norazaliza Awang, 35, dia gembira kerana berpeluang mara ke peringkat akhir. Jelasnya, yang berasal dari Bentong, Pahang, meskipun resah menanti hari pertandingan tetapi, dia sudah bersedia dan membuat persiapan sebaik mungkin.

"Tidak dinafikan para peserta yang layak ke peringkat final berbakat dari segi kreativiti dekorasi dan resipi tetapi, saya yakin peluang buat diri saya tetap ada.

"Namun, secara keseluruhan saya masih belum mendapat idea hiasan yang sesuai untuk pertandingan itu nanti," jelas Norazaliza yang akan bersaing dengan tiga peserta yang mewakili Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Timur.

Daya kreatif Norazaliza menyediakan kek berbentuk boneka dan konsep tiga dimensi (3D) sebelum ini bagaimanapun tidak akan dipraktikkan semula pada pertandingan akhir nanti.

Meskipun masih mencongak idea dekorasi kek yang bakal dipersembahkan tetapi, Norazaliza telah menyediakan bahan-bahan untuk menghias meja perhiasan.

Sesuai dengan tema Aidilfitri yang ditetapkan, dekorasi Norazaliza turut diserikan dengan sajian rendang, ketupat dan kuih raya.

"Saya juga banyak bermain dengan warna hijau kerana ia sinonim dengan hari raya," katanya yang memilih aising sebagai bahan utama.

Tuah resipi peribadi

Sementara itu, juara kategori biskut peringkat Zon Selatan, Norulsakinah Mohammad Hanan, mengharapkan resipi Biskut Kerang Mutiara Daisy ciptaannya membawa tuah pada pertandingan akhir.

Dia yang merupakan suri rumah sepenuh masa memberitahu, walaupun yakin mempunyai peluang untuk meraih tempat terbaik, namun dia tidak mahu terlalu meletakkan harapan yang tinggi kerana percaya peserta lain turut memberi persaingan sengit pada pertandingan tersebut.

Untuk itu katanya, dia masih meluangkan masa untuk membuat beberapa perubahan terutama dari segi hiasan bagi memberikan daya penarik terhadap biskut ciptaannya itu.

"Saya masih mengekalkan resipi yang sama cuma melakukan sedikit penambahan dari segi bahan utama. Ini termasuklah menampilkan dekorasi berbeza pada biskut," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Kerap berlatih mengadun kek

Dalam pada itu, Mohd. Nawawi Alias, 24, juara kategori kek peringkat Zon Timur, menyatakan selain mahu membuktikan kemampuan se bagai chef berbakat, dia juga sebenarnya turut membawa amanah besar sebagai duta kepada syarikat pembuat kek dan roti, Ziq Bakery & Cake.

Justeru anak kelahiran Kampung Serada, Kuala Terengganu itu, telah melakukan persiapan rapi seperti merujuk pada pelbagai buku masakan dan melayari Internet bagi mendapatkan tip terbaru.

"Semakin hampir hari pertandingan semakin banyak tekanan dan debaran yang saya dihadapi terutamanya menghasilkan resipi kek mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak penganjur," katanya yang sudah tiga tahun melibatkan diri dalam bidang masakan kek.

Jelas anak kelima daripada enam beradik ini, dia juga meng gunakan segala kreativiti dan pengetahuan yang ada untuk diterjemahkan pada penghasilan kek yang bukan saja menarik dan lazat tetapi berkhasiat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: