jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Monday, July 18, 2011

Astro Kasih bantu pelajar pedalaman


PROJEK Asrama Astro bakal memberi sinar baru dalam rutin kehidupan pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Magandai ini.


SEAWAL pukul 3.30 pagi lagi pelajar-pelajar ini perlu bangun dan bersiap sebelum memulakan langkah berjalan kaki menuju ke sekolah.

Perjalanan selama lebih kurang tiga jam memerlukan mereka menyelusuri kawasan denai dan tanah merah ditemani pokok-pokok hutan.

Untuk mengelakkan rasa takut berjalan di dalam gelap, mereka akan bergerak secara berkumpulan bersama rakan-rakan atau adik-beradik dengan bantuan cahaya lampu suluh.

Kebiasaannya, pelajar-pelajar ini akan tiba di perkarangan sekolah sekitar pukul 7 pagi.

Disebabkan keadaan badan terlalu berpeluh, ada di kalangan mereka perlu menukar pakaian dengan pakaian ganti yang di bawa bersama sebelum memulakan sesi pembelajaran.

Bayangkan, itulah rutin setiap hari yang perlu dilalui oleh lebih kurang 150 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Magandai di Sabah.

Kebanyakan mereka tinggal di kawasan kampung berhampiran seperti daerah Sonsogon Paliu, Makatol Darat, Binontungan Suyad, Sonsogon Magandai, Sonsogon Suyad dan Mini Sulang.

Untuk sampai ke Kampung Mangandai pula, ia memerlukan kira-kira tujuh jam perjalanan darat menaiki kenderaan pacuan empat roda dari pekan Kota Marudu yang terletak dalam kawasan Kudat di Sabah.

Melihat kepayahan dan kesukaran yang dihadapi kanak-kanak ini, Astro melalui cabang tanggungjawab korporat sosialnya, Astro Kasih telah membina tiga buah bangunan asrama baru untuk meringankan beban mereka.

Ia dilengkapi kemudahan seperti bilik asrama untuk 40 pelajar lelaki dan 40 pelajar perempuan, ruang dapur, bilik istirehat serta bilik stor selain infrastruktur asas bekalan elektrik dan juga air.

Pembinaan asrama yang bernilai RM1 juta itu mengambil masa enam bulan.

Disebabkan keadaan muka bumi yang berbukit-bukau, helikopter terpaksa digunakan sebagai pengangkutan untuk membawa bahan pembinaan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan, projek tersebut merupakan kesinambungan daripada inisiatif tanggungjawab korporat sosial Astro dalam membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.

“Projek Asrama Astro ini tidak hanya tertumpu kepada pembinaan bangunan asrama dan kemudahan asas, tetapi turut memberi penekanan dalam meningkatkan mutu pendidikan.

“Kita amat berbesar hati dapat mendekati penduduk-penduduk Kampung Mangandai dan berharap agar kemudahan asrama ini dapat memberi pengalaman baru dalam rutin pembelajaran kanak-kanak di sini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran bangunan asrama baru Sekolah Kebangsaan Magandai di Sabah baru-baru ini.

Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.

Menurut Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, langkah Astro itu secara tidak langsung menyokong inisiatif perkongsian bijak antara pihak kerajaan dan juga swasta.

“Kita memang menggalakkan kerjasama seumpama ini yang bermatlamat membantu komuniti untuk mendapat perkhidmatan yang bersesuaian.

“Menerusi Projek Asrama Astro dan penyediaan kemudahan-kemudahan lain, ia diharap dapat membantu mempertingkatkan pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Magandai ini,’’ jelasnya.

Bagi memperbaiki perkhidmatan asrama itu pula, pihak Astro bersama Kementerian Pelajaran kini sedang dalam proses perbincangan membekalkan tenaga elektrik berteknologi solar hibrid secara berterusan supaya para pelajar boleh mengulangkaji pelajaran pada waktu malam.

Ketika ini, penjanaan kuasa di sekolah berkenaan dipacu menggunakan generator.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: