jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Sunday, July 17, 2011

Animasi anak Malaysia di pentas dunia


Rentetan daripada itu, animasi Re-Entry telah pun mendapat pengiktirafan oleh Naib Presiden STS, Samuel Coniglio sebagai muzik video pelancongan angkasa pertama dunia melalui runut bunyi Ticket to the Moon yang dinyanyikan oleh kumpulan Subculture.


MUNGKIN ramai yang masih belum mengenali pemilik nama Norul Rafidi Zakaria ini. Di sebalik senyum yang tak putus-putus terukir di wajahnya itu, dia menyimpan cerita yang cukup menarik untuk membuatkan sesiapa sahaja buka mata.

Siapa sangka apa yang dikecapi oleh Rafidi cukup besar kesannya. Berpeluang mempersembahkan animasi filem Re-Entry Animated yang bakal ditayangkan di perjumpaan Persatuan Antarabangsa untuk Kemajuan Keselamatan Angkasa Lepas (IAASS) Kelima pada bulan Oktober ini, impiannya kini hanya tinggal selangkah sahaja lagi.

Dalam persidangan yang akan diadakan antara 17 hingga 19 Oktober di Paris itu, Rafidi bakal mempersembahkan filem animasi tiga minit (trailer) berkaitan dengan filem animasi pelancongan angkasa pertama dunia kepada pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Agensi Angkasa Eropah (ESA), Agensi Penerokaan Aero-Angkasa Jepun (JAXA) serta para penerbit dan pengarah dari Hollywood.

Lantas peluang yang ada telah menjadikan Rafidi sebagai anak Malaysia pertama yang diberi peluang mempamerkan animasi sedemikian berdasarkan kandungan komik anime Jepun bertajuk Re-Entry.

Komik tersebut merupakan hasil ciptaan Profesor Dr. Patrick Collin yang juga merupakan pensyarah ekonomi dan sumber tenaga angkasa lepas di Universiti Azabu, Jepun di samping perunding untuk JAXA.

Apa yang terkandung dalam komik tersebut merupakan kisah pelancongan angkasa .

“Berpandukan komik Re-Entry tersebut, saya ambil dan jadikan dia animasi. Pada mulanya, animasi ini dibuat di dalam bentuk dua dimensi atau 2D (untuk watak) dan tiga dimensi atau 3D (untuk objek) selama tiga minit untuk Persatuan Pelancongan Angkasa Lepas - Bahagian Malaysia (STS-MC) untuk dibentangkan di IAASS Keempat di Hunville, Amerika Syarikat pada 19 Mei 2010.

“Banyak perkara yang perlu saya perbaiki melalui trailer pertama itu. Ramai nama-nama besar dunia yang berpendapat ada penambahbaikan dan perician yang boleh saya laksanakan untuk memperbaikinya.

“Rentetan daripada itu, animasi Re-Entry telah pun mendapat pengiktirafan oleh Naib Presiden STS, Samuel Coniglio sebagai muzik video pelancongan angkasa pertama dunia melalui runut bunyi Ticket to the Moon yang dinyanyikan oleh kumpulan Subculture.

“Sehingga hari ini, pasukan saya telah siap membangunkan lebih 70 peratus versi baru animasi Re-Entry untuk dipersembahkan pada bulan Oktober nanti, sepenuhnya dalam bentuk 3D,” kata lelaki asal Taiping, Perak ini lagi.

Animasi ini berkonsepkan aksi dan adventure bertemakan masa akan datang di Malaysia di mana pelancongan angkasa telah berkembang pesat dan menjadi salah satu penyumbang ekonomi negara.

Animasi ini mempamerkan bagaimana takjubnya kehidupan pelancong yang datang melawat angkasa seterusnya dapat menginap di hotel angkasa. Pelbagai paparan turut diperlihatkan bagaimana pentingnya bidang industri ini termasuklah mencipta pekerjaan yang baru untuk mereka teroka.

Ini bukan satu angan-angan kosong memandangkan segala-galanya yang penuh dengan pendidikan sains angkasa seterusnya menunjukkan pelbagai ruang yang boleh dicipta dengan konsep dunia pembangunan angkasa lepas tanpa sempadan.

Bercerita mengenai isi kandungan pula, Rafidi menjelaskan animasi tersebut bukan direka secara suka-suka sebaliknya idea tersebut turut datang daripada Presiden STS-MC, Norul Ridzuan yang juga merupakan bekas pengarah Planetarium Negara.

Animasi ini turut diiktiraf sebagai penggerak atau perintis animasi yang berkonsepkan Pelancongan Angkasa pertama dunia oleh Pengasas dan Presiden STS sendiri, John Spencer yang juga adalah Arkitek Angkasa NASA.

Tidak melihat animasi ini sebagai kejayaan peribadi semata-mata, Rafidi cukup mengharapkan agar apa yang diimpikan oleh jutaan penduduk dunia yang mahu menjadi pelancong angkasa akan terlaksana tak lama lagi.

Selaku pengarah dan pemegang hak harta intelek (IP) untuk animasi ini, Rafidi juga telah membuka peluang kepada sekumpulan anak Melayu yang berbakat menyumbang idea ilustrasi untuk Re-Entry Animated.

Dengan kerjasama kelab pengumpul figura CShot, sebuah buku idea dan ilustrasi untuk animasi tersebut bakal dikemukakan pada persidangan IAASS di Paris.Animasi ini juga boleh dijadikan rujukan para pelajar kerana isi kandungnya adalah berdasarkan sains angkasa sebenar yang direalisasikan melalui animasi.

“Persidangan itu juga turut akan dihadiri oleh pelbagai pakar bidang sains angkasa daripada NASA, ESA, JAXA, cerdik pandai daripada universiti seluruh dunia dan juga penggiat serta pembuat filem-filem antarabangsa.

“Banyak perancangan yang telah kita lakukan untuk projek ini. Untuk animasi berkenaan, kita masih menggunakan lagu kumpulan Subculture dan tiga lagi lagu nyanyian Xtrotoyz. Kalau tak ada masalah, projek filem animasi penuh album runut bunyi Re-Entry Animated akan kita lancarkan di Paris selepas persidangan tersebut,” kata Rafidi yang cukup berterima kasih apabila akhbar Kumpulan Utusan menjadi media rasmi bagi projek ini.

Animasi Re-Entry merupakan produk Triangle O Sdn. Bhd. yang kini membuka pintu untuk penaja dan pelabur tempatan turut serta dalam projek berkenaan yang dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Bagi mereka yang berminat turut serta boleh melayari www.re-entry.com.my atau Facebook/Re Entry Animated.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Salam. TQ kerana turun add on info mengenai animation saya ni di blog tuan.

    sila lawati FB: http://www.facebook.com/pages/Re-Entry-Animated/120569627961773

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: