MELIHAT pada gaya dan ketrampilan dirinya, siapa sangka dia sebenarnya ibu kepada lima anak berusia 12 hingga 18 tahun yang sudah meniti usia remaja. Kemampuannya menjaga aura sebagai artis nyata semakin menyerlah pada usia 39 tahun ketika ini.
Artis yang dimaksudkan - Didie Alias ternyata sedang melalui fasa terbaik dalam hidupnya sekarang kerana semakin laris di kaca TV mahupun pentas hiburan. Dia juga semakin prihatin bergaya dan mula membuka mata ramai pihak.
Sejak muncul dalam drama seram Kum Kum The Series, lakonan Didie kembali menjadi perhatian. Bukan saja siri itu, aksinya dalam drama seperti Diva-Diva Pencen dan Pontianak Kampung Batu juga mendapat pujian penonton.
Selain itu, Didie meraih perhatian sebagai pengacara program hiburan Tiada Lama Tiada Baru (TLTB) terbitan RTM, baru-baru ini. Paling membanggakan, Didie akhirnya terpilih menjadi hos Anugerah Planet Muzik (APM) 2011 yang berlangsung di Singapura malam ini.
Di sebalik kesibukan Didie membina nama yang kian teguh, tanggung jawab beliau sebagai seorang ibu tidak pernah diabaikan.
Hakikatnya, Didie atau nama sebenar, Fadzilah Mohd @ Ali adalah wanita gigih yang sentiasa bertungkus lumus mencari rezeki bagi membesar lima zuriatnya hasil perkahwinan terdahulu.
Dia akui bahagia ditemani anak-anak iaitu Dhaniyah, 18; Dhanial, 17; Dinie, 15; Danie, 13, dan Diyana, 12. Malah mereka juga turut menyokong kerjaya seninya dari belakang dan memberi semangat tatkala dia dalam kesusahan.
Andai diimbau kembali saat awal Didie berpisah kira-kira 10 tahun lalu, dia akui terpaksa mencatur langkahnya dari bawah dengan susah.
Betullah kata arwah ibunya, jika perjalanan hidup manusia berkiblatkan keikhlasan dan sentiasa bersyukur, pasti akan ada jalan terang menanti di depan. Berpegang pada kata-kata itu, Didie akhirnya berjaya mendaki puncak kegemilangan semula.
“Saya enggan lagi mengenang semula kisah sedih dulu kerana semuanya satu pengalaman atau pengajaran yang begitu mematangkan diri saya. Biar apa yang pernah berlaku, semua itu satu sejarah dan kenangan yang tidak seharusnya melemahkan semangat kita.
“Apa yang penting, perancangan kita untuk hari ini dan masa depan. Saya mahu anak-anak saya membesar dalam cukup makan, pakai dan pelajaran,” katanya kepada Rap, baru-baru ini.
Kata Didie yang anggun bergaya, dia tidak henti bersyukur atas rezeki dan segala peluang yang selalu ada dalam bidang seni. Dia yang mencetus fenomena menerusi filem Kanta Serigala dan Boss pada 1980-an, pernah berehat seketika selepas berkahwin dengan Ridzuan kerana mahu memfokus kepada keluarga.
Selepas sekian lama menjanda, Didie mendirikan rumah �tangga lagi dengan jejaka bujang juga pemain bola sepak Negeri Sembilan, Norisham Ismail yang lebih muda daripadanya. Mereka pernah beraksi dalam program Sehati Berdansa.
“Saya sangat gembira dengan kehidupan saya sekarang. Saya akan gunakan setiap peluang untuk memajukan kerjaya dengan baik.
“Syukurlah lakonan saya diingat peminat kerana itulah yang menjadi matlamat saya setiap kali berlakon. Saya cuba imbangi lakonan bercorak serius, komedi dan seram agar menjadi seorang pelakon serba boleh, insya-Allah.
“Kepercayaan yang diletakkan ke bahu saya akan digalas �dengan sebaik mungkin. Saya juga gembira melihat perkembangan dunia seni hari ini,” katanya.
Mengulas mengenai APM 2011 yang akan dijayakannya hari ini, Didie sudah bersedia dengan busana yang menarik. Dia akan bergandingan dengan pengacara Singapura, Fiza dan Adi Rahman di Max Pavilion, Singapore Expo.
Acara gemilang bagi mengiktiraf artis dan karyawan seni dari Malaysia, Singapura dan Indonesia itu akan ke udara secara langsung, mulai 9 malam di Astro Ria (saluran 104).
“Inilah hadiah terindah buat saya dan mungkin menjadi titik permulaan kepada fasa seni saya seterusnya. Dua dekad saya berjuang dalam seni dan sekarang saya mendapat penghargaan yang sebegini besar.
“Saya anggap ini semua rezeki anak-anak juga. Sememangnya terpilih mewakili Malaysia bagi majlis anugerah yang sebesar ini sesuatu yang tidak pernah saya impikan. Sampai saat ini, saya masih belum percaya yang saya diberi peluang menjadi hos APM 2011.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada pihak yang memerhati dan menghargai �kemampuan bakat saya,” katanya.
PROFIL:
NAMA PENUH: Fadzilah Mohd @ Ali
TARIKH LAHIR: 11 Januari 1972
TEMPAT LAHIR: Melaka
SUAMI: Norisham Ismail
ANAK: Dhaniyah, 18, Dhanial, 17, Dinie, 15, Danie, 13, Diyana, 12
FILEM: Boss, Kanta Serigala, Pesona Cinta, Ghazal Untuk Rabiah
DRAMA: Masih Ada Harapan, MoU, Labuna Labuni, Ta’in, Aku Anak Artis, Diva-diva Pencen, Dalil Cinta, Zamara Tamara, Pontianak Kampung Batu
PENGACARAAN: Tiada Lama Tiada Baru, 1 vs 0, APM 2011.
PENCAPAIAN: Finalis Aktres Pembantu Terbaik Anugerah Skrin 1995, finalis Aktres Pembantu Terbaik Anugerah Skrin 1997, tempat ketiga Sehati Berdansa 3, dan finalis Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 & 2010.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: