Monday, July 18, 2011

Adrian Tan Mampu Buang Rasa Malu

Adrian Tan

BIARPUN nama Adrian Tan masih lagi hijau dalam industri hiburan tanah air, namun pemuda berusia 22 tahun ini sudah memasang impian yang besar untuk melebarkan sayap ke luar negara.

Walaupun begitu, dia sedar ia bukan sesuatu yang mudah untuk direalisasikan tanpa usaha yang gigih dan ilmu yang luas.

Kata Tan, dia kini sedang memasang strategi untuk mencapai matlamat tersebut biarpun terpaksa berusaha keras dan mengorbankan usia remajanya.

"Saya memilih untuk berada dalam industri ini, jadi kalau boleh saya mahu mencapai matlamat utama iaitu ke luar negara seperti Hong Kong atau Taiwan.

"Tapi saya tahu ia bukan senang kerana memerlukan kerja keras dan mengukuhkan nama saya dalam Malaysia terlebih dahulu sebelum ke tempat orang.

"Saya yakin di usia yang masih muda ini saya akan mengambil seberapa banyak peluang yang ada dan tidak mensia-siakannya," kata pelakon utama drama bersiri Time FM ini.

Tambah Tan, bukan dia mahu meninggalkan Malaysia apabila sudah berjaya tetapi dia mahu membawa nama Malaysia ke luar negara.

"Saya mahu mengharumkan nama negara di luar, tapi bukan bermaksud saya ingin meninggalkan Malaysia dan bekerja di sana.

"Kalau boleh saya mahu menimba seberapa banyak ilmu di sana dan bawa balik ke Malaysia," ujarnya yang sedang melakukan penggambaran untuk drama Forget Me Not.

Masih menyanyi

Bermula dengan menyertai sebuah program realiti nyanyian Projek Superstar pada tahun 2008, Tan masih lagi aktif dalam bidang nyanyian walaupun rezekinya banyak berpihak kepada bidang lakonan.

"Kalau diikutkan saya memang lebih berminat dalam bidang nyanyian tetapi rezeki pula banyak di bidang lakonan.

"Tapi saya tidak melupakan terus nyanyian, saya baru sahaja keluar dengan sebuah album, satu daripada lagu tersebut ialah lagu Rimas dari kumpulan The Fabulous Cats yang telah ditukar kepada versi bahasa Cina," katanya.

Dalam pada itu, bercerita tentang kali pertama berlakon, Tan akui ia sesuatu yang sangat sukar terutamanya untuk membuang sifat malunya.

"Saya seorang yang pemalu, jika berada di pentas untuk menyanyi perasaan malu itu tidak sama seperti berlakon.

"Ketika kali pertama berlakon saya memang banyak buat silap sehingga terpaksa diulang beberapa kali. Kadang-kadang dimarahi oleh pengarah. Masa itu juga saya rasa sangat tertekan sehingga ada perasaan tidak mahu berlakon.

"Tapi lama kelamaan perkara itu seperti sudah biasa, sekarang saya hanya fikirkan bahawa itu adalah kerja dan perasaan malu perlu dibuang jauh-jauh," ujarnya yang sudah semakin yakin dengan lakonannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: