Wednesday, June 15, 2011

Taman Seni Mushaf Aceh warisi penyalin al-Quran


Aidi syahputra dengan tugas yang sangat menarik, mewarna ragam hias al-Quran Mushaf baitur rahman.


Petikan di atas adalah yang sempat penulis catat ketika mengunjungi galeri Muzium Aceh di Banda Aceh, Aceh Darus Salam, Indonesia baru-baru ini.

Begitulah uniknya proses penulisan al-Quran yang dianggap tugas yang sangat mulia setaraf dengan ketinggian dan kemuliaan kitab suci itu sendiri.

Sementelah Aceh turut terkenal dengan panggilan Darul Quran, maka tidak menghairankan jika kitab suci adalah denyut nadi para penduduknya yang 99 peratus beragama Islam sejak berabad lamanya sehingga sekarang.

Sejarah pengumpulan dan penulisan mushaf al-Quran (Mushaf Uthmani) dimulai sejak abad ke-7 Masihi.

Kemudiannya dikirim salinan-salinan mushaf itu oleh Khalifah Uthman bin Affan ke seluruh wilayah Islam di serata dunia termasuk wilayah Nusantara.

Lalu Aceh dikatakan kerajaan pertama di Nusantara yang tidak sahaja mula-mula sekali menerima naskhah mushaf tersebut ekoran sebagai negara pertama yang menerima Islam, malah Aceh juga dikatakan kerajaan pertama yang berperanan membuat salinan mushaf-mushaf tersebut, iaitu di sekitar abad ke-13.

Namun, adalah sukar untuk kita menemui sebarang naskhah al-Quran Mushaf Uthmani versi nusantara yang disalin sekitar abad ke-13 atau 14. Ini kerana al-Quran tertua yang pernah ditemui adalah dari abad ke-16.

Namun apa yang ditekankan di sini adalah peri pentingnya kerajaan Islam Aceh ketika itu dengan peranannya menyalin dan menyebarkan naskhah-naskhah al-Quran tersebut ke seluruh alam Melayu.

Lalu hari ini, selepas beratus-ratus tahun berlalu, Aceh dan al-Quran masih tidak boleh dipisahkan.

Apatah lagi undang-undang yang mereka amalkan sehingga kini adalah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah melalui kitab suci itu.

Malah peristiwa malang, kejadian ombak besar - tsunami - pada tahun 2004 yang meragut ratusan ribu nyawa penduduknya juga bukan penghalang kepada Aceh untuk memartabatkan al-Quran.

Malah sebahagian besar makna Darul Quran yang amat sinonim dengan Aceh itu ialah untuk menyebarkan al-Quran itu sendiri.

Sebab itu, di Aceh akan lahir apa yang tunggu-tunggu oleh umat Islam di rantau ini iaitu al-Quran Mushaf Baitur Rahman.

Ia sedang giat dalam segala aspek penerbitannya dengan berciri atau beridentitikan 100 peratus Aceh.

Semua proses penerbitannya yang sangat unik itu dapat dilihat saat menjejakkan kaki di Taman Seni Mushaf Aceh.

Ia adalah studio ala galeri yang terletak di sudut belakang Masjid Baitur Rahman - masjid yang menjadi ikon sejarah dan kebudayaan Aceh yang masyhur itu.

Sebaik masuk, pandangan mata terus terpukau dengan replika Ummul Kitab (surah al-Fatihah) Mushaf Baitur Rahman yang dipamerkan di sudut galeri taman tersebut.

Keindahan terserlah terutama pada ragam hiasannya dan tidak mampu diungkapkan makna yang tersirat di sebalik pemilihan motif-motif di sebalik pemilihan tema warna yang sangat unik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: