Tuesday, June 14, 2011

‘Pegawai Imigresen palsu’ ditahan

Pendedahan eksklusif Mingguan mStar minggu lalu.

KEKECEWAAN Fatimah (bukan nama sebenar), 46, kerana gagal untuk berjumpa dengan Pegawai Imigresen palsu bernama Yana, antara yang menipunya sebanyak RM14,000 sedikit terubat apabila pihak polis berjaya menahan suspek bersama dua individu lain di tiga lokasi berasingan.

Kisah mangsa telah dilaporkan secara eksklusif dalam cerita muka depan Mingguan mStar minggu lalu berhubung dengan sindiket penipuan melibatkan penahanan warga asing yang sebenarnya tidak wujud oleh Pegawai Imigresen palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Wartawan Mingguan mStar menemui mangsa dan membawanya untuk berjumpa dengan Timbalan Pengarah Imigresen KLIA, Mohammad Azlan Jawawi dan Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Asisten Komisioner, Rohaimi Md Isa pada hari dia sepatutnya berjumpa dengan Yana.

Suspek yang dipercayai menyamar sebagai Pegawai Imigresen ditahan dalam satu operasi selepas tiga hari mangsa membuat laporan polis di ibu pejabat JSJK, Kuala Lumpur.

Rohaimi berkata, operasi yang terdiri daripada dua kumpulan masing-masing diketuai oleh Cif Inspektor Noor Afiszan Mohd Noor dan Inspektor Muhammad Joel Teo.

“Operasi pertama diketuai oleh Noor Afiszan pada 30 Mei lalu yang menahan suspek pertama seorang lelaki berusia 25 tahun di hadapan bangunan kedai di Bandar Sunway kira-kira pukul 3.30 petang.

“Suspek kedua pula seorang wanita berusia 25 tahun ditahan dalam operasi berikutnya pada hari yang sama di sebuah rumah di Puchong sekitar pukul 5 petang.

“Kedua-duanya adalah rakyat tempatan dan pasangan suami isteri. Suspek wanita itu dipercayai menyamar sebagai Pegawai Imigresen sehingga mangsa terpedaya membayar RM14,000 kononnya sebagai bayaran untuk membebaskan kenalannya yang ditahan di KLIA,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Rohaimi Md Isa

Rohaimi berkata, operasi ketiga pula dijalankan pada 1 Jun lalu di sebuah lokasi di Damansara yang diketuai oleh Muhammad Joel.

Menurut beliau, suspek yang ditahan merupakan warga Nigeria berumur 32 tahun dan polis merampas tiga kad ATM, satu kad pelajar dan dua telefon bimbit.

“Polis turut merampas tiga telefon bimbit dan sebuah komputer riba milik suspek pasangan suami isteri terbabit di dua lokasi berasingan,” katanya.

Siasatan diteruskan

Rohaimi berkata, dua suspek pasangan suami isteri yang disyaki bersubahat dalam sindiket penipuan itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas merakamkan keterangan mereka namun siasatan terus dijalankan.

“Suspek warga Nigeria pula ditahan reman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya lagi.

Fatimah mula mengenali ‘Harry’ seorang warga United Kingdom menerusi laman sosial Facebook dua minggu sebelum kenalannya itu yang sebenarnya tidak wujud dikatakan mahu ke Kuala Lumpur untuk membuat pelaburan besar.

Pada hari Harry sepatutnya tiba di Kuala Lumpur, Fatimah menerima panggilan daripada Yana kononnya mendakwa sebagai Pegawai Imigresen bagi memaklumkan mengenai kenalannya itu telah ditahan di KLIA kerana membawa masuk sejumlah wang dan emas yang tidak diisytiharkan.

Bayaran pertama bagi membebaskan Harry adalah sebanyak RM10,000 dan bayaran kedua pula RM4,000 selepas kenalannya itu masih tidak dibebaskan yang kemudiannya diserahkan kepada Michael didakwa sebagai pegawai ‘British Ways’.

Fatimah bagaimanapun menyedari dirinya tertipu apabila Michael terus mendesaknya dengan caj baru yang melampau iaitu AS$5,000 (RM15,092) untuk membebaskan Harry.

Dia yang merupakan seorang guru dan menetap di Kedah sanggup menaiki bas selama enam jam ke Kuala Lumpur semata-mata untuk berjumpa Yana (Pegawai Imigresen palsu) namun hasrat itu gagal apabila perjumpaan terpaksa dibatalkan.

Yana yang hanya memaklumkan mangsa mengenai pembatalan itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran ke dalam satu akaun terlebih dahulu sebelum mengadakan perjumpaan dengannya.

Kagum polis pantas tahan suspek

PENAHANAN tiga suspek termasuk Pegawai Imigresen palsu yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan dalam tempoh singkat membuatkan mangsa berasa kagum dengan kecekapan pihak polis melakukan siasatan.

Fatimah berkata, pada awalnya dia agak keberatan untuk membuat laporan polis kerana malu dengan kejadian yang berlaku.

Cerita 'Fatimah' yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam Mingguan mStar minggu lalu.

“Saya memang malu kerana hanya menyedari ditipu selepas kerugian sebanyak RM14,000. Namun tindakan untuk melaporkan kepada pihak polis ternyata berhasil.

“Saya belajar daripada kesilapan ini. Saya kini lebih berwaspada dan tidak mudah bersimpati pada orang lain terutama dengan yang tidak dikenali,” katanya.

Menurut Fatimah, dia bersedia untuk terus memberikan kerjasama dalam membantu polis untuk meneruskan siasatan bagi mengesan suspek-suspek lain terutama ‘Harry’.

Bagaimanapun katanya, Harry yang didakwa sudah dihantar pulang ke United Kingdom kerana tidak dibenarkan masuk ke negara ini masih lagi berhubung dengan Fatimah bagi menebus bagasi (tidak wujud) kononnya masih ditahan di KLIA.

“Harry menelefon saya dan mengirimkan SMS setiap hari dan saya berpura-pura melayannya seperti tidak tahu tentang penahanan suspek oleh pihak polis.

“Dia bagaimanapun menghubungi saya menggunakan nombor antarabangsa tetapi saya percaya dia di sini (Malaysia). Saya semakin berani dan tidak mahu ditipu lagi.

“Siapa Harry sebenarnya? Saya berharap dia akan ditahan,” katanya yang kini muncul pula ‘Hassan’ yang mendakwa pegawai di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan memintanya supaya membayar AS$5,000 bagi membolehkan Harry menuntut bagasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: