Wednesday, June 15, 2011

Azam gigih majukan diri


Azam bersama sebahagian daripada koleksi batik yang terdapat di butiknya.


MELIHAT koleksi-koleksi yang terpamer di butiknya membuktikan bahawa kebolehan dalam rekaan batik tidak boleh disangkal lagi walaupun hakikatnya anak muda ini bukanlah seorang pelajar jurusan seni reka fesyen mahupun yang sealiran dengannya.

Tetapi ternyata, apa yang dilakukan adalah kerana minat yang mendalam di samping ingin mengembangkan lagi kemahiran serta bakat yang sedia ada di dalam dirinya.

Ini terbukti apabila anak muda ini dan rekaannya dinobatkan tempat kedua dalam pertandingan Piala Seri Iman 2008.

Azam Osman, 32, sememangnya bertuah kerana selain dilahirkan di dalam keluarga yang terlibat dalam dunia perniagaan, dia juga merupakan seorang anak muda yang gigih untuk memajukan diri.

Anak kelahiran Kuala Berang, Terangganu itu dilihat mampu memberi persaingan sihat di kalangan pereka-pereka batik tanah air masa kini.

Hanya mempelajari melalui pembelajaran di majalah-majalah luar negara, akhirnya Azam tampil dengan corak-corak yang berkonsepkan moden.

Bagaimanapun Azam tetap tampil dengan reka bentuk terkini dan mengikut trend semasa.

Pada masa yang sama, Azam turut menggemari warna-warna lembut kerana ia dilihat mampu menyerlahkan lagi gaya si pemakai.

"Sentuhan corak yang moden diberikan kepada setiap batik yang dihasilkan adalah kerana ingin memberi kelainan daripada batik Terengganu dan Kelantan.

"Lazimnya, batik terkenal di Terengganu dan Kelantan. Jika boleh, saya ingin lari daripada kedua-dua negeri tersebut dan cuba hasilkan sesuatu yang segar dan baru atau dalam erti kata lain corak yang lebih kepada luar negara.

"Ini kerana, hari ini batik dilihat satu corak yang lebih kepada fesyen dan bukan lagi corak yang khusus untuk warga emas," katanya ketika ditemui di premisnya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Di samping itu, anak ketiga daripada tujuh beradik itu gemar menggunakan teknik ikat dan perah di mana corak yang dihasilkan pasti memberikan dimensi baru kepada peminat-peminat batik.

Jelas Azam lagi, walaupun batik hari ini banyak persaingannya, dia tetap akan terus memberikan sentuhan yang terkini terutama sekali kepada golongan muda.

Katanya, apa yang dilakukan adalah usaha untuk menarik anak-anak muda hari ini gemar menggayakan batik sama ada menghadiri majlis-majlis formal ataupun untuk ke pejabat.

Menawarkan koleksi-koleksi terkini dan eksklusif (satu corak sahaja) untuk lelaki dan perempuan di butiknya yang terletak di No. 18, Jalan Plumbum P7/P, MixModa juga merupakan butik kedua Azam yang turut menawarkan pakaian yang sudah siap dijahit.

Harga yang ditawarkan juga berpatutan di samping fabrik-fabrik bermutu tinggi yang dihasilkan di dalam negara.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan hasil rekaan Azam, bolehlah mengunjungi butiknya ataupun hubungi talian 03-5511620 untuk keterangan lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: