Tuesday, June 14, 2011

Akses untuk aktif di Facebook

Pengguna Facebook memberi komen di laman sosial itu menerusi aplikasi sms.

WALAUPUN tidak seperti telefon pintar yang dilengkapi dengan aplikasi canggih namun ini tidak menjadi penghalang buat pengguna telefon mudah alih untuk aktif di laman sosial.

Dengan hanya menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), mereka boleh memberikan status kepada profil sendiri dan mengeluarkan komen di profil pengguna lain.

Begitulah pendekatan SMS Rangkaian Sosial yang diperkenalkan oleh syarikat tempatan bagi aplikasi dan penyelesaian Iridea (M) Sdn Bhd sejak tahun 2009.

Pegawai Eksekutif Pemasarannya, Mohd Azhar Ahmad berkata, sasaran awal aplikasi tersebut adalah di kalangan pengguna Facebook yang tidak mempunyai telefon pintar.

“Perkhidmatan ini mula diperkenalkan untuk mengemaskini status sebelum boleh memuat naik gambar di profil dan khidmat sembang (chat).

“Setakat ini, kira-kira 200,000 pelanggan pengguna telefon pintar dan pengguna telefon mudah alih melanggan aplikasi ini,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Mohd Azhar Ahmad

Kerjasama Iridea dengan salah sebuah syarikat telekomunikasi tempatan telah memudahkan sebahagian pengguna di negara ini menerusi SMS Rangkaian Sosial.

Pengguna perlu mengaktifkan nombor telefon mereka di laman sosial terlebih dahulu dengan menghantar SMS ke nombor yang ditetapkan.

Caj yang dikenakan bagi mengemaskini status sendiri atau memberi komen pada status rakan-rakan lain adalah sebanyak RM1 seminggu bagi penggunaan tanpa had.

Bagaimanapun Mohd Azhar berkata, caj untuk perkhidmatan sembang berbeza iaitu sebanyak 20 sen sehari juga melibatkan penggunaan tanpa had.

“Bagi perkhidmatan memuat naik gambar di Facebook menerusi khidmat pesanan multimedia (MMS) pula dikenakan 50 sen bagi setiap penghantaran,” katanya.

Ikut peredaran masa

Kecenderungan segelintir pengguna suka menerima peringatan menerusi SMS menyebabkan aplikasi itu turut menarik perhatian pengguna telefon pintar.

Menurut Mohd Azhar, kaji selidik mendapati seramai enam daripada 10 orang yang mempunyai telefon pintar memilih untuk menggunakan perkhidmatan itu.

Justeru katanya, terdapat rancangan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi memenuhi keperluan dan kesesuaian aplikasi tersebut dengan pengguna telefon pintar.

Ahmad Azhari Pawan Teh

“Kami perlu mengikut peredaran masa. Jika tidak, kami akan ketinggalan berikutan telefon mudah alih dan teknologi maklumat begitu pantas berubah.

“Facebook pun ada masa (jangka hayat). Akan datang pasti wujud lebih banyak laman sosial dan aplikasi baru diperkenalkan sebagai sokongan,” katanya.

Jika Malaysia melibatkan pasaran telefon pintar dan telefon mudah alih, negara lain pula mempunyai faktor berbeza yang menggalakkan penggunaan SMS Rangkaian Sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania International (Bangladesh) Ltd, Mazlan Merican berkata, pasaran aplikasi itu amat memberangsangkan di Bangladesh.

“Ini kerana kebanyakan penduduk negara itu tidak menggunakan telefon pintar dan 98 peratus daripada mereka hanya menggunakan pelan pra-bayar.

“Mereka juga seperti kebanyakan penduduk di negara lain seperti Malaysia apabila sebahagian besarnya juga adalah pengguna Facebook,” katanya.

Namun sebagai antara negara miskin di dunia, Mazlan berkata, rakyat Bangladesh lebih mampu untuk menggunakan telefon mudah alih dengan perkhidmatan pra-bayar.

“Justeru, Bangladesh mendapat sambutan lebih 40,000 pelanggan selepas seminggu ia diperkenalkan pada Mac lalu dan jumlahnya kini mencecah 200,000 orang,” katanya.

Mazlan Merican

Akses lebih baik

Iridea turut meninjau peluangnya bagi aplikasi itu di Asia Barat berikutan kos pelan data bagi penggunaan telefon pintar di pasaran berkenaan adalah tinggi.

Ketua Pegawai Operasi Idottv Sdn Bhd, Ahmad Azahari Pawan Teh berkata, SMS Rangkaian Sosial memudahkan pengguna Facebook aktif dengan kos lebih murah.

“Tujuan kami di mana-mana pasaran adalah menggalakkan orang ramai untuk menggunakannya dengan cara lebih mudah, bila-bila masa di mana sahaja,” katanya.

Azhari berkata, begitu juga dengan pengguna Malaysia yang melayari Facebook sekiranya melanggan pelan data atau perkhidmatan Internet.

Katanya, jika tidak mereka terpaksa ke kafe siber, menggunakan kemudahan di pusat Internet atau menghabiskan masa di kafe atau restoran menerusi perkhidmatan Wifi.

“Bayangkan pula dengan penduduk di luar bandar yang terhad dengan kemudahan Internet dan perkhidmatan Wifi yang bukan dilanggan oleh mereka.

“Facebook sudah sedia ada namun akses dan sokongan lebih baik seperti SMS Rangkaian Sosial masih diperlukan oleh pengguna laman sosial itu di negara ini,” katanya.

Iridea (M) Sdn Bhd merupakan syarikat bersekutu manakala Sedania International (Bangladesh) Ltd dan Idottv Sdn Bhd anak syarikat, masing-masing di bawah syarikat pembekal dan penyelesaian media, Sedania Media Group.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: