Thursday, May 19, 2011

Zulkifli pantang menyerah


Zulkifli Hussain sentiasa menjadikan kesukaran hidup sebagai pemangkin semangat untuk dia meneruskan kelangsungan hidup sekeluarga.


DARAH perjuangan sentiasa mengalir dalam urat nadinya. Kembang-kempis dadanya mempertahankan kedaulatan negara tidak pernah terhenti. Dia pernah beberapa kali berperang dengan komunis. Hinggalah tiba hari yang tidak terduga, sebelah kakinya hancur terkena jerangkap samar angkara pengganas komunis pada tahun 1978.

Itulah gambaran betapa hebatnya semangat juang yang mengalir laju dalam tubuh lelaki sasa ini, Zulkifli Hussain, 54, yang bakal mengisi ruangan Jejak Asnaf pada kali ini.

Berasal dari Kedah, namun kini betah mendiami sebidang tanah subur milik isterinya, Raiza Abdullah, 43, di Sepang. Di situ Zulkifli berbudi kepada tanah dengan cekal. Berbekalkan semangat dan kesungguhan, dia bangkit mencorak masa hadapan demi keluarga. Kehadiran Lembaga Zakat Selangor (LZS) pula menambahkan keazaman dan menjadikan angan-angan sebuah kenyataan.

"Setelah kehilangan sebelah kaki angkara jerangkap samar komunis, saya telah dipindahkan untuk berkhidmat di pejabat. Saya kemudiannya bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1986 dengan pangkat yang rendah.

"Setelah bersara, saya tahu pencen yang saya peroleh tidak mampu untuk menampung keperluan anak-anak yang sedang membesar. Semuanya sudah pasti memerlukan biaya yang juga besar. Maka, saya mengambil keputusan mencari pekerjaan yang sesuai dengan keupayaan," katanya.

Menurut Zulkifli, pengalaman sebagai bekas anggota tentera membolehkannya menjadi pengawal keselamatan. Namun apabila majikannya mengetahui beliau adalah salah seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) akibat kehilangan sebelah kaki, maka dia terpaksa melepaskan jawatannya.

"Kerja sebagai pengawal keselamatan memang memerlukan orang yang bukan sahaja sihat, tetapi juga cukup sifatnya. Orang seperti saya memang tidak boleh diterima sebagai pengawal keselamatan di mana-mana pun," tambahnya.

Satu masa dahulu, dek kerana kemiskinan mereka pernah mendiami rumah yang begitu uzur. Makan-minum pun amat ala kadar.

Bukan sekali mereka anak-beranak terpaksa berbuka puasa dengan nasi goreng semata, tanpa ada jus buah-buahan yang enak dan segala kuih-muih pembuka selera. Pakaian pun jarang bertukar persalinannya, apatah lagi untuk bermewah-mewah.

Namun, semuanya mulai bertukar wajah mulai tahun 2008. Kala itu, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah berjaya mengesan kesusahan Zulkifli sekeluarga. Lalu mereka segera datang. Malah masalah Zulkifli segera dirujuk kepada LZS.

Seperti biasa, LZS segera menjalankan siasatan. Hasilnya, Zulkifli telah dimasukkan sebagai asnaf zakat yang melayakkan mereka sekeluarga menerima pelbagai jenis bantuan. Khususnya buat anak-anak Zulkifli yang jumlahnya enam orang. Peluang pendidikan mereka bertambah cerah dengan sokongan LZS.

"Sebenarnya saya malu untuk mengadu hal. Jika boleh, saya mahu masalah keluarga saya ini saya hadapi sendiri," dia cuba menjelaskan keadaan.

Hakikatnya, LZS benar-benar memberikan sentuhan mulus buat mereka sekeluarga. Sebagai contoh, anak-anak Zulkifli yang dahulu sering ke sekolah tanpa wang saku, kini mampu melangkah dengan sedikit wang belanja.

"Alhamdulillah, saya memang merasakan perbezaan selepas LZS memberikan bantuan," ujarnya.

Tahun 2009, satu lagi lembaran baru bermula dalam sejarah hidup Zulkifli. Hasil kesungguhannya untuk merubah kehidupan telah meyakinkan LZS untuk menyalurkan bantuan kepadanya dalam skala yang lebih besar. LZS telah menyalurkan bantuan berupa modal penternakan berjumlah RM20,000 yang diberikan dalam bentuk bekalan lima ekor induk kambing dan sebuah kandang.

"Alhamdulillah, pada tahun yang sama juga ada individu lain yang telah sudi menyerahkan tujuh ekor kambing, sehingga membolehkan saya memiliki 11 ekor kambing semuanya." Tambah Zulkifli lebih ceria.

Allah memberikan idea kepada Zulkifli demi memanjangkan punca rezekinya.

"Kemudiannya, saya menjual kambing-kambing saya yang telah cukup umur. Harga setiap ekor boleh mencecah lebih RM1,000 jika kambing gemuk dan sihat.

"Dengan wang jualan itulah, saya beli pula lima ekor lembu. Lembu-lembu itu saya ternak dan nanti bolehlah pula saya jual. Harganya pun mahal," cerita Zulkifli.

Kini, kehidupannya sekeluarga bertambah baik. Sebuah rumah tiga bilik tersergam indah juga hasil bantuan LZS berdiri kukuh di tanah milik isterinya.

Zulkifli juga tidak lagi mahu menerima bantuan pendidikan, kerana baginya dia sudah mampu memberikan biaya pendidikan buat anak-anaknya.

Dalam diam, Zulkifli juga merancang untuk keluar daripada asnaf zakat menjelang dua tahun akan datang. Itulah cita-citanya.

"Apa yang mampu saya ungkapkan, hanyalah ucapan alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pembayar zakat.

"Sesekali terfikir, amat besar manfaat zakat ini. Sukar dibayangkan, apakah nasib orang-orang seperti saya, jika tiada institusi zakat seperti LZS, yang sentiasa prihatin dan siap memberikan bantuan. Semoga Allah SWT sahajalah yang akan membalas segala-galanya," katanya mengakhiri bualan dengan nada penuh kesyukuran.

Nota: Bagi pembaca yang berminat untuk membeli kambing atau lembu, Zulkifli Hussain boleh dihubungi di talian 012-301 3950.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: