Wednesday, May 11, 2011

UTP menang 2 emas, 4 perak


Barisan depan dari kiri, Nursyarizal Mohd. Nor, Azween Abdullah, Suzana Yusup, Hanita Daud dan Low Tan Jung di ipoh, semalam.


IPOH 10 Mei - Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh mengharumkan nama negara apabila memenangi dua pingat emas dan empat perak pada pertandingan hasil penemuan antarabangsa,The Geneva 39th Salon International Inventions di Geneva, Switzerland dari 6 hingga 10 April lalu.

Pada pertandingan itu, Profesor Madya Dr. Suzana Yusup dan Hanita Daud berjaya mendapat pingat emas bagi kajian masing-masing.

Suzana turut menerima The Saudi Arabia Award iaitu anugerah dari Yayasan Raja Abdul Aziz kerana kreativiti dan usahanya menguruskan sisa buangan dan menukarkannya kepada sesuatu yang memberikan hasil.

Suzana mempertaruhkan projek kajian bertajuk Proses penukaran katalitik untuk menghasilkan kekayaan dari buangan pertanian Malaysia manakala Hanita Daud menerusi projek bertajuk Sistem pemantauan suhu badan menggunakan pengenalan radio-frekuensi (RFID).

Profesor Madya Dr. Azween Abdullah pula memenangi dua pingat perak menerusi dua projeknya berkaitan sistem diagnostik perubatan dan sistem pemantauan pembinaan bersepadu (i-CMS).

Turut mendapat pingat perak, Low Tan Jung menerusi projek sistem pengurusan air dan Dr. Nursyarizal Mohd. Nor dengan projek menggunakan tenaga haba untuk menghidupkan peralatan elektrik.

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini, Eksekutif Perhubungan Media UTP, Aslinda Jamaludin berkata, projek-projek kajian yang dipilih terdiri daripada hasil kerja graduan, pameran kejuruteraan dan rekaan (EDX) serta dari projek pelajar tahun akhir.

''Pencapaian semua pencipta dari UTP itu sangat membanggakan. Mereka juga telah ditemuramah oleh stesen televisyen Bulgaria bagi rancangan produk inovatif di sana.

''Pencipta dari UTP mengenal pasti potensi untuk mengkomersialkan hasil penemuan mereka dengan kerjasama Universiti Teknologi Taiwan, Yayasan Raja Abdul Aziz, Iranian Al-Chemist Industrial Company, MediGlobal Sdn. Bhd, Kang Chien Co. Ltd. Taiwan, Universiti Kebangsaan Moscow dan Vienna Trading House," katanya.

Menurut Aslinda, terdapat lebih 1,000 pencipta dari 45 negara menyertai The Geneva 39th Salon International Inventions yang dianjurkan oleh Persekutuan Swiss, bandar Geneva dan Pertubuhan Hak Harta Intelek Dunia (WIPO).

''Pertandingan itu menawarkan anugerah pingat, sijil penghargaan dan hadiah kepada pemenang. Ia merupakan satu program yang menyediakan maklumat menyeluruh kepada pencipta di seluruh dunia mengenai pengkomersialan ciptaan, paten dan pemindahan teknologi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: