Wednesday, May 11, 2011

Untuk disewa

  • Foto

    KERATAN akhbar Berita Harian semalam.

  • Foto

    KEADAAN dalam rumah guru di KIP Sungai Pasir, Kedah yang terbiar dan rosak teruk.

Kementerian tawar kuarters guru kosong

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran mengakui banyak Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) terbiar kerana tidak diduduki di seluruh negara, khususnya di luar bandar sehingga kediaman itu usang dan mengalami kerosakan yang teruk.Berikutan itu, kementerian akan menyewakan unit yang kosong kepada agensi kerajaan lain. Setakat ini lima unit di Pekan, Pahang disewakan kepada MARA dan Jabatan Latihan Khidmat Negara.
Sebanyak 40 unit di Kuantan pula disewakan kepada sebuah kolej swasta, 100 unit disewa oleh Universiti Malaysia Perlis dan 120 unit di Temerloh kepada Institut Pendidikan Guru Ampuan Afzan, manakala 958 unit lagi dirancang disewakan kepada agensi lain.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, juga berkata kajian mendapati sejumlah RM477,000 setahun diperlukan bagi menyediakan perkhidmatan keselamatan dan penyelenggaraan bagi dua blok KIP yang setiap satu mengandungi 20 unit, tetapi kementerian dikekang isu kos sama ada memperbaikinya atau mendahulukan pembinaan serta menaik taraf sekolah.

Akhbar ini, semalam melaporkan kira-kira 3,000 unit KIP, khususnya di luar bandar terbiar begitu saja kerana tidak didiami oleh guru kerana pelbagai faktor, termasuk lokasinya yang tidak sesuai dan tidak diselenggara dengan sempurna.

Ada sesetengahnya semakin usang dan kelihatan umpama ‘rumah berhantu’. Ramai guru dikatakan enggan mendiami kuarters berkenaan kerana lokasinya yang terletak di luar bandar, jauh dari kemudahan awam dan sunyi.
Mohd Fuad juga menjelaskan sebuah pasukan petugas yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian ditubuhkan Januari lalu bagi mengkaji isu kuarters terbiar dan sudah mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada kemampuan kewangan kementerian kerana keutamaan kita pada masa ini ialah membina atau menaik taraf sekolah di seluruh negara khususnya di luar bandar,” katanya.

Namun, beliau berkata, faktor utama KIP kosong ialah kerana guru lebih berminat menyewa rumah bukan apartmen di luar bandar yang sewanya lebih rendah dan tidak mahu Elaun Tetap Perumahan (ETP) dan Elaun Sara Hidup (COLA) dipotong jika tinggal di kuarters.

“Sebagai contoh, bagi guru gred DG41 yang menduduki kuarters di luar bandar, ETP mereka akan dipotong sebanyak RM250 dan COLA RM150. Dengan jumlah RM400 itu, mereka boleh menyewa rumah bukan apartmen yang sewanya lebih rendah dan masih ada baki,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Selain itu, beliau mengakui beberapa faktor, seperti lokasi KIP yang jauh dari sekolah dan kegagalan penyelenggaraan, terutama aspek kebersihan menyebabkan guru enggan tinggal di kuarters.

Mengulas lanjut, beliau berkata masalah lokasi KIP yang jauh dari sekolah berlaku kerana kuarters dibina menggunakan tanah kementerian sedia ada di sesuatu kawasan.

Mohd Puad juga berkata, pasukan petugas membuat beberapa cadangan kepada kementerian berhubung jumlah unit sebenar yang kosong dan kos membaik pulih.

Bagi unit yang rosak teruk, pasukan petugas melaporkan memerlukan RM57,000 untuk diperbaiki bagi seunit, kerosakan sederhana RM30,000 dan kerosakan minimum RM15,000 seunit.

“Ketika ini, pasukan petugas sedang menyelaras dengan semua Jabatan Pelajaran Negeri untuk membuat penilaian berkenaan termasuk mengenal pasti jumlah sebenar unit yang kosong," katanya.

INFO

  • 2,000 pemohon dalam senarai menunggu untuk mendiami kuarters di Kuala Lumpur
    330 daripada 991 unit di Pulau Pinang diduduki dengan semua yang kosong terletak di Seberang Perai

  • 10,000 unit unit dibina lewat 1990-an berdasarkan keperluan perumahan guru pada waktu itu

  • Dibina oleh swasta atas tanah kementerian yang kemudian membuat pembayaran ansuran kepada syarikat berkenaan.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: