Friday, May 20, 2011

UNIC luaskan empayar

UNIC mula ditubuhkan sejak tahun 2002 dan bernaung di bawah Hijjaz Records. Muncul ketika zaman kegemilangan nasyid, UNIC mudah menempa nama, malah tuah menyebelahi mereka apabila lagu pertama, ‘Tuhan Pun Tahu’ menjadi hits. Bermula dengan empat ahli, UNIC kini dianggotai tiga ahli iaitu, Bazli Hazwan, Ahmad Fadzli Dan Mohd Fakhrulradhi. Setelah tamat kontrak bersama Hijazz Record, mereka mengambil keputusan untuk bergerak sendiri.

Atas semangat dan tujuan yang sama, mereka bertekad untuk membina empayar UNIC agar terus bersinar di hati peminat. Bagi ketua kumpulan, Ahmad Fadzli, sokongan dan dorongan berterusan daripada peminat membuatkan mereka masih bertahan sehingga kini.

“Kami rasa sudah tiba masanya kami bergerak sendiri supaya kami dapat belajar lagi selok-belok pemasaran. Kami pun sudah matang, jadi tidak salah rasanya kami mencuba. Selepas kontrak tamat, kami duduk berbincang bersama. Kemudian, kami bersetuju menghasilkan album selawat kerana ia mudah untuk diketengahkan.

“Syukur Alhamdulillah berkat doa dan sokongan semua pihak, album terbaru kami, Hijrah, yang dilancarkan pada Februari lalu mendapat sambutan sangat menggalakkan. Malah, album ini dalam proses untuk cetakan kali ketiga. Ia melonjakkan lagi semangat kami untuk terus berjuang dalam industri ini,” katanya.

Tidak terhenti setakat itu, UNIC merancang untuk muncul dengan album seterusnya. Malah inilah tujuan dan misi UNIC yang mahu terus berjuang menyampai dakwah melalui hiburan mendidik jiwa pada golongan remaja di seluruh dunia.

“Untuk tampil kelainan, kami bekerjasama dengan penyanyi tempatan seperti Cat Farish, Amer Ruffedge dan terbaru, Aizat. Percubaan ini membawa satu perubahan yang positif kepada kami.

“Lebih mengejutkan penyanyi nasyid popular dari Perancis, Munir, turut menyatakan rasa minat untuk bekerjasama dengan kami menerusi laman Facebook,” katanya yang turut memecah tradisi dengan menembusi pasaran Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Mesir dan yang terbaru di Perancis.



Agenda Tiga Syarikat

Berbekalkan pengalaman yang ada, UNIC kini mampu tersenyum dengan penubuhan UNIC Records. Malah dua lagi anak syarikat baru, UNIC Nasyeed and Training Consultants dan UNIC Biotrade.

Bazli Hazwan berkata, mereka bukan sahaja mahu menerokai bidang nyanyian tetapi juga memenuhi kehendak pasaran dalam bidang penerbitan buku dan bahan-bahan yang berbentuk pendidikan untuk segenap lapisan masyarakat.

“Misi UNIC Records adalah untuk meneroka, berkembang dan menjalankan usaha dakwah menerusi bidang yang diceburi selaras dengan kemajuan dan perkembangan negara.

“Menerusi dua syarikat baru, kami memiliki modul sendiri dengan memperkenalkan motivasi berbentuk muzikal kepada pelajar sekolah, penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan individu yang memerlukan latihan, bimbingan dan khidmat nasihat untuk merencana kehidupan ke arah yang lebih baik,” katanya.

Selain itu, Bazli berkata, syarikat mereka turut mengeluarkan produk berunsurkan kesihatan seperti minyak aroma terapi dan makanan penambah tenaga.

Bagi tempoh jangka masa panjang, UNIC juga bercadang untuk mewujudkan institut pendidikan sendiri. Berdasarkan kepada pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki mereka yakin dapat membangunkan institusi ini ke satu tahap yang membanggakan.

“Sebolehnya kami mahu teroka lebih banyak bidang perniagaan setara kehendak masyarakat di luar sana.

“Buat masa ini kami mulakan dengan kelas tuisyen terlebih dahulu dengan mengajar kelas bahasa Arab. Pengalaman mengajar ini akan dipraktikkan apabila impian untuk membina institut pendidikan terlaksana,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: