Tuesday, May 17, 2011

Tujuh kawasan dikenal pasti

BERPOTENSI...Ahmad Husni (tengah) melihat pelan projek di bawah SPNB sambil diiringi Pengarah Urusan SPNB, Prof Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh (kanan) dan Idris, semalam.
BERPOTENSI...Ahmad Husni (tengah) melihat pelan projek di bawah SPNB sambil diiringi Pengarah Urusan SPNB, Prof Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh (kanan) dan Idris, semalam.

SYARIKAT Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membangunkan rumah berkualiti dan mampu milik di bawah Skim Rumah Pertamaku (SRP) membabitkan tujuh kawasan sekitar Lembah Klang iaitu Putrajaya, Cyberjaya, Rawang, Damansara, Shah Alam, Klang dan Puchong.

Pengerusinya, Datuk Idris Haron berkata, projek di kawasan berpotensi itu masih pada tahap perbincangan dengan pemilik tanah dan akan diumumkan dalam masa terdekat.


“Harga bagi setiap unit yang akan dibina secara berperingkat sehingga 2020 adalah di bawah RM220,000 dan sejak skim ini dilaksanakan pada 8 hingga 30 April lalu, jumlah permohonan SRP yang diterima berjumlah 772, namun hanya 143 pemohon yang layak dengan nilai purata pinjaman bagi setiap peminjam ialah RM149,369.

“SPNB komited menarik lebih ramai pemaju daripada sektor swasta bekerjasama dengan syarikat untuk membangunkan projek perumahan di bawah penyeliaan kerajaan,” katanya pada majlis perasmian Ibu Pejabat baru SPNB dan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan 19 pihak bank yang disaksikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di Kuala Lumpur, semalam.


Beliau berkata, lima pemaju swasta sudah bekerjasama dengan SPNB bagi projek perumahan di Johor, Pulau Pinang serta Sabah dan ketika ini jumlah rumah yang siap dibina dengan sijil layak diduduki ialah 4,516 unit daripada jumlah keseluruhan iaitu 13,507 unit.


SRP ialah skim diperkenalkan kerajaan di bawah Bajet 2011 yang membolehkan pembeli berpendapatan bawah RM3,000 untuk mendapat pembiayaan rumah 100 peratus daripada bank tanpa perlu membuat bayaran muka 10 peratus bagi membuat pembelian rumah dan Cagamas Sdn Bhd adalah pihak bertanggungjawab menjamin 10 peratus daripada pembiayaan berkenaan.

Katanya, pada peringkat awal skim itu dilancarkan Perdana Menteri, hanya 19 bank menawarkan pinjaman dan jumlah itu kini terus meningkat kepada 25 bank yang berminat untuk menyertai skim berkenaan.


Sementara itu, Ahmad Husni berkata, skim itu membantu golongan muda berusia 18 hingga 36 tahun untuk memiliki rumah dan pelbagai perancangan berkaitan pembangunan projek rumah rakyat sudah dirancang serta dibangunkan oleh SPNB.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: