LAWATAN...Jurutera TNB Energy Services Sdn Bhd, Khirul Nizam Shamsudin (kiri) memberi penerangan dan taklimat mengenai Stesen Janakuasa Mini Hidro di Pulau Tioman, Pahang.
TENAGA Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, TNB Repair & Maintenance Sdn Bhd (TNB Remaco) akan meluaskan perkhidmatan penyelenggaraan jana kuasanya ke luar negara dengan sasaran segmen perniagaan itu mampu menyumbang sebanyak 30 peratus kepada pendapatan syarikat menjelang 2015.
Ketua Pegawai Operasi TNB Ramaco, Anuar Yusoff berkata, sasaran itu disandarkan kepada pertambahan stesen jana kuasa di serata dunia, sekali gus memerlukan perkhidmatan berterusan daripada segi teknikal yang dimiliki syarikat itu menerusi pengalaman sebagai penyelenggara stesen jana kuasa milik TNB.
Beliau berkata, pendapatan keseluruhan syarikat diunjurkan berjumlah RM600 hingga RM700 juta menjelang 2015 dan ketika ini, operasi syarikat di luar negara hanya menyumbang kira-kira 10 peratus kepada pendapatan TNB Remaco.
“Syarikat kini bergerak aktif bagi mencari peluang di luar negara dan baru-baru ini, kami telah menyertai Pameran Perkhidmatan Malaysia 2011 diketuai oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Abu Dhabi bagi mempromosi kepakaran kami khusus ke rantau Timur Tengah.
“Beberapa wakil dari Arab Saudi, Iraq dan Abu Dhabi berminat dengan perkhidmatan TNB Remaco dan ingin menjalinkan kerjasama dengan kami,” katanya pada sidang media ketika program bersama media anjuran TNB mengenai mini hidro Sungai Mentawak, di Pulau Tioman, Pahang baru-baru ini. Beliau berkata, syarikat kini sedang meneliti beberapa tawaran kerjasama termasuk dalam peringkat akhir untuk menandatangani kontrak penyelenggaraan stesen jana kuasa hidro berkuasa 84 megawatt (MW) di Pakistan yang bakal dimeterai dalam masa terdekat. Selain TNB, syarikat turut memberikan perkhidmatan kepada mana-mana penjana kuasa bebas (IPP) yang menawarkan kontrak penyelenggaraan stesen jana kuasa yang dibuat secara tender terbuka.
Katanya, kos penyelenggaraan bagi seunit turbin di stesen jana kuasa mampu mencecah sehingga RM50 juta dan bergantung kepada saiz stesen jana kuasa. “Perluasan operasi sedikit sebanyak meningkatkan pendapatan syarikat daripada hanya mengharapkan kenaikan tarif elektrik semata-mata,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: