
SAYA perlu mengaku dengan jujur bahawa saya memang penggemar drama bersiri Nur Kasih yang pernah ditayangkan di TV3 sekitar dua tahun lalu.
Kekuatan Nur Kasih terletak kepada jalan ceritanya yang begitu menyentuh jiwa dan meruntun kalbu membabitkan tiga watak utamanya iaitu Aidil, Adam dan Nur Amina.
Ternyata, gandingan Kabir Bhatia dan isterinya, Mira Mustaffa masih lagi berbisa. Mereka juga telah membuktikan sekali lagi gabungan kreativiti pengarah dan penulis skrip telah meletakkan Nur Kasih di tahap paling tinggi.
Tiada siapa juga yang menyangka Nur Kasih telah mencetus fenomena luar biasa sehingga meletakkan satu tanda aras baru dalam penerbitan drama tempatan.
Malah, tidak pernah juga berlaku dalam sejarah apabila sebuah drama bersiri sebanyak 26 episod telah mencatatkan penontonan seramai 19 juta orang.
Benar, Nur Kasih telah membawa gelombang baru dalam industri hiburan sekali gus melonjakkan populariti tiga pelakon utamanya iaitu Fizz Fairuz, Remy Ishak dan Tiz Zaqyah sehingga sebaris dengan pelakon ternama sedia ada.
Berbekalkan trek rekod yang cukup cemerlang itu, Kabir dan Mira tidak mahu membiarkan penonton dan pengikut setia Nur Kasih tertanya-tanya apakah kesudahan kisah Aidil, Adam dan Nur Amina.
Menyedari populariti Nur Kasih masih belum kebah dan permintaan yang cukup tinggi daripada peminat yang mahukan siri itu disambung, ia telah mendorong Kabir dan Mira untuk menamatkan segala-galanya dalam versi filem.
Saya akui begitu teruja untuk melihat hasil karya mereka kali ini sama ada ia mampu mencengkam jiwa dan naluri saya seperti mana impak daripada drama bersiri Nur Kasih.
Barangkali semua peminat Nur Kasih juga mempunyai perasaan dan keinginan yang sama seperti saya.
Kesilapan saya mungkin kerana telah meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat filem Nur Kasih the Movie (NKTM) menjadi sebuah filem terbaik tahun ini.
Semuanya kerana saya percaya dan yakin bahawa Kabir dan Mira mampu memberikan magis kerana mereka tidak pernah gagal membuat saya kecewa dengan karya mereka.
Namun, selepas menonton NKTM, perasaan saya bercampur-baur. Sukar untuk menetapkan keputusan sama ada saya suka atau tidak dengan karya Kabir dan Mira kali ini.
Saya mengharapkan sesuatu yang dramatik dalam filem ini, namun saya tidak merasainya seperti mana sewaktu menonton drama bersiri Nur Kasih setiap minggu.
Jalan ceritanya telah 'disumbat' dengan pelbagai plot sehingga ia menjadi kelam-kabut dan keliru. Mungkin ada yang tidak sependapat dengan saya, tetapi bagi mereka yang tidak menonton drama bersirinya, barangkali akan berasa sedikit ketinggalan.
Seperti mana yang saya katakan tadi, kesilapan saya mungkin terletak kepada pengharapan yang begitu tinggi terhadap hasil karya Kabir dan Mira kali ini.
Secara keseluruhannya, NKTM tidak berupaya merobek dan meruntun jiwa saya sepanjang satu setengah jam menontonnya kecuali untuk beberapa babak.
Salah satu yang memberikan impak kepada saya sehingga membuatkan air mata saya bergenang sewaktu Khadijah (lakonan Liza Othman) menziarahi Adam (Remy Ishak) di hospital dengan kata-kata azimat seorang ibu yang cukup luhur.
Namun, saya puji idea Mira yang mengambil pendekatan di luar kotak bagi menamatkan kisah Nur Kasih dengan begitu metaforikal.
Dari segi lakonan, setiap pelakon berjaya menghidupkan watak masing-masing termasuk dua pelakon cilik, Mohd. Ilyas Suhaimi dan Mia Sara Nasuha.
Begitu juga dengan aspek sinematografi yang masih mengekalkan identiti Kabir walaupun kali ini, NKTM tidak menggunakan khidmat Mohd. Nor Kassim yang sudah sinonim dengan karya Kabir.
Saya pasti tulisan ini akan mengguris hati beberapa pihak dan mungkin ada peminat fanatik Nur Kasih yang tidak akan sependapat saya.
Tetapi, ingin saya tegaskan ini adalah dari pandangan saya sebagai seorang penonton dan penggemar siri Nur Kasih.
Usah sesekali terpengaruh dengan tulisan ini kerana adalah menjadi tugas anda untuk menontonnya sendiri dan membuat penilaian sendiri.
Pendapat saya dan orang lain memang tidak sama kerana setiap daripada kita mempunyai persepsi serta pandangan yang berbeza-beza.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: