ORKID disahkan menghidap ketumbuhan hormon tidak stabil.
SECEBIS doa agar kesihatan Datin Orkid Abdullah bertambah baik lebih adalah amat bermakna buat keluarga penyanyi era 60 an itu yang kini terlantar sakit, berbanding sumbangan wang ringgit.
Itulah yang dipohon oleh anak bongsu penyanyi ini, Nur Syafinaz Mokhtar, 31 terhadap peminat ibunya berikutan kesihatan yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.
Tambah Mohd Noor lagi, ketika itu ibunya hanya sempat menyarungkan cincin di jari tunangnya dan selepas itu bergegas balik ke Kuala Lumpur kerana mengadu dirinya tidak selesa selain badannya mula berasa panas.
“Selain berasa panas badan, petanda lain ialah berpeluh, sakit ulu hati dan sakit belakang. Sekarang ibu hanya berbaring, jika hendak duduk, dia memerlukan bantuan untuk menyokong bahagian belakang badannya. Jika tidak, tubuhnya menggelungsur. Saya dan adik bongsu menetap bersama ibu, jadi kami bergilir-gilir menjaga ibu. Mujur saya menjalankan perusahaan katering dan memasak tempahan makanan di rumah. Jadi boleh dikatakan setiap masa saya berada di rumah.
“Jika ibu inginkan sesuatu, dia buat ‘missed call’ ke telefon bimbit kami. Itu isyaratnya ibu mahukan sesuatu dan kami adik beradik akan bergegas ke bilik ibu. Sebelum ini, keadaan ibu boleh dikatakan baik juga. Cuma hari ini keadaannya nampak teruk,” kata Mohd Noor.
Berikutan penyakitnya yang bertambah teruk, Orkid enggan lagi berulang alik ke hospital.
Menurut Mohd Noor lagi, mereka pernah berhabis sekitar RM21,000 untuk seminggu rawatan di sebuah hospital swasta tetapi keadaan ibunya yang disahkan menghidapi penyakit itu pada 2008 semakin teruk.
Orkid kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Putrajaya dan menjalani pembedahan pertama pada 2008 tetapi dimaklumkan doktor bahawa ketumbuhan itu boleh berulang, dan pada awal 2010, sekali lagi pembedahan membuang ketumbuhan itu dijalankan.
“Doktor mencadangkan supaya ibu menjalani rawatan di sebuah hospital di Amerika Syarikat dan Belanda. Rawatan di sana percuma, cuma kos penginapan perlu ditanggung sendiri. Namun dengan keadaan ibu yang tidak mampu duduk, tentulah sukar kami ke sana apatah lagi perlu menempuh penerbangan berbelas jam. Jadi hasrat itu kami batalkan saja,” kata Mohd Noor.
Orkid dikenali pada 1965 selepas membuat persembahan pertama di peringkat kebangsaan pada majlis sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia. Selain menyanyi, Orkid juga guru. Beliau berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun iaitu dari 1968 hingga 1985.
Album pertamanya dirakamkan pada 1966. Sepanjang pembabitannya dalam bidang nyanyian, Orchid sering membuat persembahan dengan diiringi kumpulan The Les Coaters.
Kunjungan rakan ringankan derita
SELAIN beruntung dijaga dengan sempurna oleh anak-anaknya, Orkid beruntung kerana tidak menanggung penderitaan itu sendirian, tetapi turut mendapat perhatian rakan seperjuangan. Menurut Mohd Noor, rakan-rakan ibunya kerap berkunjung dan ia sedikit sebanyak memberi semangat kepada ibunya.
Pada Rabu lalu, Orkid diziarahi oleh ahli Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) diketuai presidennya Datuk Freddie Fernandez serta beberapa teman lamanya, iaitu Datuk Sarimah Ibrahim, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Aspalela Abdullah, MY Shamsuddin dan Shamsuddin Lamin.
Mereka meluangkan masa kira-kira satu jam bertanya khabar dan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga itu.
Suasana petang itu di kediaman Orkid sedikit bungkam apabila teman yang berkunjung turut merasai penderitaan yang ditanggung keluarga Orkid. Julie Sudiro dan Sarimah nyata tidak dapat menahan kesedihan dan sebak melihat keadaan Orkid. Apakan tidak, tubuhnya yang satu ketika dulu berisi, kini susut dek penyakit luar biasa itu.
Tiupan kata semangat dan doa yang dibacakan Julie Sudiro serta diaminkan tetamu lain, sedikit sebanyak memberikan semangat kepada wanita campuran Arab - Inggeris itu.
Pada kunjungan itu, Freddie dan teman-teman artis turut mengambil peluang menghulurkan derma buat keluarga Orkid yang dikumpul hasil sumbangan ehsan teman-teman, bukan daripada tabung KARYAWAN.
“Ini bukanlah kunjungan pertama kami. Sebelum ini pun KARYAWAN pernah melawat Datin Orkid ketika beliau dirawat di hospital tahun lalu,” katanya yang enggan mendedahkan jumlah wang yang didermakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: