SUDAH beberapa kali pelakon Scha Alyahya menjadikan laman Twitter sebagai tempat untuknya melancarkan serangan peribadi terhadap media. Sebelum ini dia pernah melabelkan wartawan sebagai monyet, tetapi kemudian disangkal pelakon itu. Kononnya ayat berkenaan ditujukan kepada sebuah produksi.
Baru-baru ini, dia sekali lagi menjadikan medium itu untuk meluahkan rasa amarahnya sehingga sebuah akhbar dikatakan enggan memberi sebarang publisiti kerana kecabulan ayat digunakan. Kekasihnya, Awal Ashaari, juga dikatakan sama naik menjadikan ruangan itu untuk membelasah sesiapa saja termasuk media.
Siapa dirinya, kata wanita jelita itu, kalau hendak dibandingkan dengan wartawan? Dia hanyalah seorang insan kerdil. Bagaimanapun sebagai insan biasa, dia mempunyai hati dan perasaan. Ada ketika, rasa amarah itu perlu diluahkan untuk melegakan hatinya sendiri.
"Saya mengaku ada ketika terlalu mengikut rasa. Bila semuanya sudah diluahkan di laman Twitter, barulah timbulnya penyesalan. Jangan salah anggap, saya dan Awal bukan tidak boleh ditegur, tetapi ada ketikanya kami rasa tidak adil jika kami saja yang dihentam walaupun perkara itu tidak betul. Jadi, hanya melalui Twitter saja kami dapat meluahkan perasaan kerana laman itu tidak mempunyai sebarang tapisan.
"Selalunya selepas meluahkan segala perasaan yang terbuku di hati, baru kami tersedar yang kami tidak seharusnya melakukan perkara itu. Tetapi menyesal pun tidak berguna kerana perkara itu sudah dilakukan. Antara saya dan Awal, kami memang saling ingat mengingati. Ada kala Awal akan menasihatkan saya supaya bersabar, tetapi hendak buat macam mana apabila saya sudah pun meluahkan perasaan di laman itu terlebih, begitu juga dengan Awal.
"Kami tidak pernah berniat untuk memusuhi wartawan, kami terlalu kerdil jika dibandingkan dengan media. Cuma kami juga perlu meluahkan isi hati kami, barangkali kerana terlalu mengikut emosi menyebabkan apa yang kami tulis berbaur kasar, tetapi jangan salah anggap dengan kami," kata Scha cuba membela dirinya.
Petang itu sepatutnya Awal turut serta kerana dia turut membintangi drama lapan episod yang menemui penonton jam 7.30 malam, namun pada saat akhir, jejaka berkenaan tidak dapat hadir kerana terpaksa terbang ke Jakarta, Indonesia, atas tuntutan tugas.
Drama terbabit bukanlah gandingan pertama Scha bersama kekasihnya kerana mereka pernah disatukan dalam telefilem Prebet Jamilah terbitan Box Lite Filem. Bagaimanapun, mereka akan mengelak daripada kerap digandingkan berdua kerana tidak mahu peminat meluat.
Berlakon disamping Awal dalam Dunia Kita memberi kelebihan kepada Scha kerana dapat menghayati watak sebagai Rania dengan lebih baik berikutan adanya rasa cinta antara dia dan Awal.
Namun Scha tidak suka menggunakan kesempatan itu untuk memadu cinta di lokasi kerana dia mempunyai prinsip sendiri.
"Memanglah lebih mudah untuk saya menghayati watak dalam drama ini kerana berlakon dengan kekasih sendiri. Tetapi apabila berada di set, saya seorang yang sangat serius hingga Awal sendiri agak terkejut pada mulanya. Saya memang begitu walau dengan sesiapa pun. Bagi saya apabila di set, saya perlu serius kerana ia membabitkan kerjaya saya.
"Bila tiba di lokasi, saya tak suka main-main. Saya akan terus baca skrip untuk melihat sekali lalu apa yang harus saya lakukan. Pada mulanya Awal agak terkejut dengan sikap saya tetapi lama kelamaan dia mula faham. Pernah selepas kami pulang dari penggambaran, Awal berkata, dia sudah dapat kembali diri saya yang sebenar," kata Scha yang berterima kasih kepada Michael kerana berjaya membawanya keluar dari kepompong Dania.
Dibayangi watak Dania
WATAK Dania dalam drama bersiri Awan Dania, akui Scha, cukup besar pengaruhnya terhadap dirinya. Bukan tiada keinginan untuk membawakan watak berbeza bagi mencabar kredibilitinya sebagai pelakon serba boleh, tetapi tawaran yang datang kepadanya kebanyakannya sama saja.
Wanita berusia 28 tahun ini melihat ada baik dan buruknya apabila ditawarkan watak yang hampir sama. Pertama, produser melihat dia mempunyai kelebihan dalam membawakan watak kasar dan agak gila-gila tetapi pada sudut lain pula, dia tidak melihat perkembangan dalam kerjayanya.
"Bukan saya tidak berani mencuba watak berbeza, malah saya teringin mencuba watak lain. Tetapi apabila tiga tahun membawakan watak Dania, secara tidak langsung produser lain melihat kekuatan saya adalah untuk watak sebegitu. Manakala penulis skrip pula biasanya akan tulis skrip dengan membayangkan siapa pelakonnya. Mungkin untuk cerita yang lebih serius, wajah saya tiada dalam bayangan mereka. Tetapi Michael pula berfikir di luar kotak.
"Saya sebenarnya seorang wanita yang dominan dan tegas. Memang timbulnya keinginan untuk membawakan watak yang sebegitu, tetapi nampaknya masih belum berpeluang. Cuma dalam Dunia Kita ini watak saya agak berbeza daripada Dania kerana saya memiliki lebih banyak sifat kewanitaan dan manja," kata Scha lagi.
Selain lakonan, Scha yang turut bergelar pengacara bakal muncul di dalam sebuah program baru Impian Bapa. Program khas sebanyak empat episod itu akan menemui penonton sempena hari bapa menerusi Astro Ceria, program itu akan menunaikan impian peserta yang tergolong dalam golongan bapa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: