Tuesday, May 24, 2011

Syamsul Mengganas Dalam KL Gangster

Jika sebelum ini penonton dihidangkan dengan filem-filem berunsurkan cinta di dalam setiap arahannya, filem kelima arahan pengarah muda, Syamsul Yusof ini memberi sedikit kelainan.

Sarat dengan aksi yang ganas dan kasar, filem KL Gangster ini langsung tidak meletakkan mana-mana pelakon wanita popular untuk dijadikan daya penarik.

Aaron dan Zizan menghidupkan KL Gangster

Mengakui ditegur beberapa kali oleh bapanya, yang juga pengarah popular Datuk Yusof Haslam, menurut Syamsul dia nekad untuk mempersembahkan sudut keganasan gangster semata-mata tanpa kehadiran eleman-eleman cinta dalam filem kelima arahannya ini.

"Bila Papa lihat filem ini dia tegur saya dua perkara, yang pertama dia suruh saya masukkan eleman cinta dalam KL Gangster ini, dan yang kedua banyakkan lagi unsur-unsur kekeluargaan, tapi saya tidak mahu.

"Saya tidak mahu terlalu banyak babak-babak yang meleret, dan sejak dari awal lagi saya sudah nekad untuk meletakkan eleman aksi sahaja dalam filem ini,"jelas Syamsul.

Melihat kejayaannya meraih kutipan melalui filem Khurafat, jelas Syamsul, dia sedikit tertekan jika memikirkan soal sambutan yang akan diterima menerusi filem KL Gangster ini.

syamsul semakin matang dalam bidang pengarahan

"Saya ada juga rasa tertekan, tapi sebenarnya bukan penjualan tiket yang menjadi kepuasan saya sekarang.

"Saya lebih puas jika review yang diberikan penonton memuaskan berbanding jika kutipan memberangsangkan tetapi review daripada penonton teruk.

"Dalam KL Gangster apa yang kami pamerkan adalah sekadar hiburan dan tidak bermaksud untuk memerli atau mengkaitkan mana-mana kongsi gelap atau gangster yang ada dalam Malaysia ini.

"Filem ini merupakan filem yang paling cepat sekali pemprosesannya kerana ia mengambil lebih kurang 35 hari sahaja. Biarpun dialog dalam filem ini agak kasar, tapi itu adalah realiti gangstar-gangstar diluar sana.

"Saya harap filem ini diterima baik oleh penonton nanti,"jelasnya lagi.

KL Gangster mengisahkan tentang dua beradik yang terjebak di dalam dunia gangster, seorang bernama Malek dan seorang lagi, Jai. Namun, kehebatan Malek di cemburui oleh Shark, iaitu anak tiri kepada ketua kongsi gelap yang paling berpengaruh, King.

Pelbagai aksi ganas dan menakutkan ditampilkan dalam filem ini, dan diolah dengan begitu baik sekali oleh Syamsul.

Filem ini bakal ditayangkan pada 9 Jun ini di 90 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: