![]() |
| Suzana turut turun padang menyediakan tempahan gubahan untuk perkahwinan. |
BAGI pasangan yang ingin bergelar raja sehari, tidak lengkap sekiranya tidak menyarungkan busana indah, aksesori pilihan serta muka didandan indah oleh mak andam profesional.
Keperluan tersebut dilihat mampu menaikkan seri pasangan pengantin apatah lagi ketika disandingkan bersama.
Jika dahulu, perkhidmatan tersebut hanya diberikan oleh orang perseorangan di mana mereka hanya menyediakan satu-satu perkhidmatan sahaja.
Keadaan ini dilihat menyusahkan pasangan pengantin itu sendiri untuk mencari keperluan yang dikehendaki.
Atas faktor tersebut, Suzana Abdullah, 30, tidak teragak-agak untuk menceburi bidang tersebut dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik di samping segala-galanya berada di bawah satu bumbung.
Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, perniagaannya telah dijalankan sejak tahun 2004 tetapi di awal pembabitannya, dia hanya mengusahakan dari rumah di Kota Bahru, Kelantan.
Memandangkan ketika itu pelanggan hanya terhad di sekitar Kelantan sahaja, akhirnya dia membuat keputusan untuk memindahkan perniagaanya ke Kuala Lumpur setahun kemudian.
Bagaimanapun, percaturannya sedikit tersasar kerana setelah tiga tahun mencuba nasib, perniagaannya tidak berkembang malah Suzana bersama suami terpaksa menanggung kerugian.
Begitupun, ia tidak mematahkan semangat anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini apabila mereka berpindah ke Taman Segambut, Kuala Lumpur.
''Alhamdulillah, mungkin sudah rezeki saya di dalam bidang perniagaan. Walaupun pada mulanya apa yang diusahakan tidak mendapat permintaan dan keuntungan tetapi berkat kesabaran saya dan suami akhirnya apa yang diusahakan selama ini berbaloi.
''Hari ini setelah dua tahun berpindah ke premis baru kami mampu menggaji pekerja malah produk kami makin dikenali.
''Untuk kemudahan bakal pasangan pengantin Rins Suzana menyediakan semuanya di bawah satu bumbung. Ini termasuk solekan, busana, pelamin, fotografi, makanan dan sebagainya,'' ujar Suzana ketika ditemui di premisnya di Taman Permata, Ulu Klang, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya lagi, senario majlis perkahwinan hanya diadakan sekitar cuti sekolah tidak lagi dipraktikkan malah hari ini 'pantang' ada sahaja cuti, pasti akan diadakan majlis kahwin.
Untuk itu, menurut Suzana, diarinya sentiasa penuh setiap kali tibanya hujung minggu untuk hari-hari biasa manakala bagi musim cuti sekolah, tempahan sentiasa ada setiap hari.
Apa yang menarik mengenai pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, segala-galanya didorong oleh minat yang mendalam dalam bidang fesyen dan dekorasi.
Hari ini Butik Rins Suzana mampu membuatkan Suzana bersama suami tersayang, Rudie Iswadie Ismail, 30, tersenyum bangga.
''Apa yang ditawarkan di Rins Suzana adalah untuk kemudahan semua pihak. Jika bercakap mengenai busana pengantin, kesemua fesyen yang ditampilkan mengikut peredaran zaman dan terkini.
Bagi bakal raja sehari yang ingin mendapatkan perkhidmatan Butik Rins Suzana, anda bolehlah layari laman web www.rinssuzana.com atau rinssuzana.fotopages.com atau hubungi talian 03-41471980.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: