Monday, May 2, 2011

Sulaman kasih Shera, Zahiril

TANDA...Zailan (kiri) menyarungkan cincin pertunangan ke jari  Nur Syahirah.
TANDA...Zailan (kiri) menyarungkan cincin pertunangan ke jari Nur Syahirah.

IPOH: Perantara rancangan Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, Nur Syahirah Aiyob, 25, atau Shera bakal menamatkan zaman bujang pada 20 November ini dengan pelakon meningkat naik, Mohd Zahiril Adzim Mohd Mukhtar, 27.

Perkara itu dimaklumkan pasangan berkenaan selepas melangsungkan pertunangan di rumah keluarga Shera di Taman Tasik Indra, Tasek, dekat sini, pagi semalam.


Shera yang anggun menggayakan persalinan merah jambu rekaan Hatta Dolmat sedondon dengan Zahiril yang segak berbaju Melayu berkata, majlis pernikahan mereka akan diadakan di sini, manakala majlis resepsi perkahwinan berlangsung serentak, 17 Disember di Kuala Lumpur.

Pada majlis pertunangan semalam, Zahiril yang tiba bersama rombongan ahli keluarga dan saudara-maranya jam 11 pagi, memberi tujuh dulang hantaran dibalas 11 dulang hantaran oleh Shera.


Zailan Yussof, 54, ibu kepada Zahiril yang membintangi drama Juvana sedang ditayangkan di TV3, menyarungkan cincin pertunangan disaksikan ibu bapa Shera, Ayob Shaharuddin, 53, dan Noor Azmah Mohd Ali, 50.


“Saya bersyukur majlis berjalan lancar. Saya lega ia sudah berakhir kerana begitu berdebar menanti hari ini.

“Saya bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum membuat keputusan melangkah fasa baru dalam hidup.


“Kami belum memutuskan di mana lokasi melangsungkan majlis resepsi di Kuala Lumpur dan soal jumlah wang hantaran serta mas kahwin juga dalam perbincangan,” kata Shera.

Sementara Zahiril, anak kedua daripada lima beradik, berharap tiada dugaan melanda sepanjang pertunangan.


Pada majlis itu, Shera memakai pakaian rekaan Hatta Dolmat dan dirias Ezan Omar (Arts of Beauty) dengan pelamin dan dulang hantaran disediakan Zaid Sulaiman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment