BANTU...barisan pengamal perubatan menyokong kempen Hari Kesedaran Kemurungan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai penyakit ini.
WARDINA...pernah mengalami kemurungan selepas melahirkan anak kedua.
“PERASAAN saya tiba-tiba tidak menentu. Bagaikan terlalu banyak bebanan yang perlu saya pikul dan fikiran seakan-akan tidak mampu lagi untuk berfikir secara rasional.
“Keadaan sekeliling seperti menekan jiwa dan fikiran hing�ga ke satu tahap saya hampir memecahkan pintu kaca lalu serpihannya digunakan untuk mencederakan diri.
“Ia menjadi lebih buruk apabila ibu tiada di sini untuk membantu dan suami pula tidak faham dengan apa yang saya lalui,” ujar pengacara serta pelakon popular, Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot mengenai kisah pergelutannya berdepan masalah kemurungan selepas bersalin.
Biasanya, meroyan, masuk angin, terkena buatan orang atau diganggu makhluk halus kerana melanggar pantang sering menjadi mainan mulut dalam kalangan masyarakat kita apabila seseorang wanita yang baru melahirkan anak secara tiba-tiba berubah tingkah laku.
Kata Wardina, persepsi umum seakan-akan tidak mahu menjadikan penyakit kemuru�ngan selepas bersalin itu sebagai satu perkara normal yang dialami majoriti wanita yang baru melahirkan cahaya mata susulan perubahan kepada gaya hidup dan persekitaran.
Lalu, si ibu yang dipersalahkan kerana dikatakan mengada-ngada atau sengaja mencari perhatian.
“Saya pasti ramai wanita pernah atau sedang melaluinya dan tidak salah seseorang ibu baru untuk mengalami fasa itu.
“Tidak salah untuk mereka merasa sedih atau kecewa secara tiba-tiba kerana kita berhak mengalami perasaan itu selepas berdepan pelbagai cabaran ketika hamil dan sejurus melahirkan anak.
“Saya mula berdepan masalah ini selepas kelahiran kedua dan ketika itu saya keseorangan kerana ibu baru berhijrah ke Australia sementara suami bekerja di luar negara.
“Jadi saya berasakan diri bagaikan terasing hingga menyebab�kan perasaan tidak tenang dan mudah marah,” ujarnya.
Sedar dengan perubahan itu dan bimbang penyakitnya akan memberi kesan kepada anak terutama bayi yang baru dilahirkan, Wardina segera meminta bantuan perubatan di samping menyertai kumpulan sokongan golongan ibu dari Amerika Syarikat menerusi laman sembang di Internet.
“Apa yang penting bagi saya adalah sokongan berterusan daripada orang sekeliling. Ketika kita sibuk dengan kehadiran orang baru dalam keluarga, jangan sesekali diabaikan si ibu kerana mereka juga perlukan perhatian dan dorongan untuk mengharungi perubahan dalam hidup mereka.
“Kini setiap kali keluarga atau teman bergelar ibu baru, saya pasti segera bertemu mereka untuk berbual-bual dan bertanyakan khabar supaya mereka berasakan diri mereka juga dihargai serta diberi perhatian,” katanya.
Sememangnya setiap ibu baru pasti sedikit sebanyak mengalami perasaan yang bercampur-baur antara gembira, sedih, bingung dan teruja kerana ia disebabkan perubahan serta penurunan hormon yang mendadak selepas bersalin.
Seperti kata Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakar, ketika kempen Hari Kesedaran Kemurungan Selepas Bersalin, minggu lalu, perubahan kepada rutin hidup membuatkan ibu baru hilang punca, tidak keruan, pola tidur yang terjejas menjadi salah satu punca kepada penyakit kemurungan selepas bersalin ini.
“Majoriti dalam kalangan mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan emosi serta tindakan luar biasa ketika hamil dan pe�nyakit ini biasanya berlaku dalam tiga bulan pertama selepas bersalin.
“Perasaan bimbang, tertekan dan kepenatan adalah perkara yang berlaku pada ibu baru dalam tempoh dua minggu selepas bersalin. Perasaan ini biasanya dipanggil ‘blues’ dan simptom ini akan hilang selepas beberapa minggu, tanpa perlu menjalani rawatan.
“Tetapi kemurungan selepas bersalin diklasifikasikan apabila ‘blues’ itu masih dialami golongan ibu atau ketika tanda kemurungan mula kelihatan sebulan selepas kelahiran,” katanya.
Jelasnya, selain penurunan hormon, wujud banyak faktor menyebabkan penyakit ini berlaku antaranya perubahan pada tubuh dan hubungan sosial, kebimbangan sama ada mampu menjadi ibu yang baik atau sebaliknya serta masa terhad untuk diri sendiri.
“Selain faktor yang dinyatakan, kami pernah menjalankan kajian kecil di beberapa negeri membabitkan sekumpulan ibu baru apabila kami memantau otak mereka seawal dua minggu hingga dua tahun selepas bersalin.
“Wujud perubahan kecil pada otak mereka, jadi kami berasakan ada kemungkinan perubahan itu turut menyumbang kepada penyakit kemuru�ngan di kalangan wanita yang baru melahirkan anak.
“Saya juga ingin menegaskan kemurungan ini adalah penyakit yang boleh disahkan menerusi diagnosis meskipun ramai yang tidak bersetuju dan melihat pe�nyakit ini sebagai satu masalah.
“Amat menyedihkan apabila mereka yang mengalami kemurungan ini dinafikan haknya untuk berasa sedih hanya semata-mata orang lain berasakan si ibu perlu gembira atas kelahiran anaknya.
“Masyarakat di sekeliling mereka juga menjangkakan wanita hamil tidak sabar untuk menimang cahaya mata dan memulakan fasa baru dalam kehidupan mereka sedangkan hakikatnya ramai bakal ibu belum bersedia secara mental dan fizikal untuk berdepan hari menggembirakan itu,” tegasnya.
Sementara itu, Profesor Dr Nor Zuraida Zainal daripada Bahagian Perubatan Psikologikal, Universiti Malaya menjelaskan penyusuan susu ibu kepada bayi dapat membantu dalam proses pemulihan, sekali gus mengurangkan simptom penyakit itu.
“Jangan bimbang jika ibu belum dapat menyusukan bayi mereka selepas bersalin. Jangan cepat putus asa kerana doktor dan jururawat bersedia mengajar mereka cara untuk menyusukan bayi.
“Apa yang penting ialah hubungan erat antara ibu dan anak, jadi secara tidak langsung ia membuatkan si ibu kurang tekanan dan lebih sihat.
“Selain itu pastikan ibu baru ini tidak ditinggalkan sendirian terutama apabila bersama bayi kerana dikhuatiri boleh membahayakan diri dan bayi jika ada tanda kemurungan.
“Temankan mereka kerana saat itulah mereka amat memerlukan sokongan berterusan daripada orang sekeliling. Andai simptom masih ada, jangan bimbang untuk mendapatkan bantuan atau rawatan perubatan.
“Bagi kes biasa, sesi kaunseling dan kumpulan sokongan banyak membantu mereka untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
INFO
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: