Thursday, May 12, 2011

Selesa dengan muzik 60-an

BITTERSWEET menyimpan impian untuk meneroka pasaran United Kingdom.
BITTERSWEET menyimpan impian untuk meneroka pasaran United Kingdom.
Suka duka Bittersweet diabadikan dalam album terbaru, Empire;s Transition

LIMA tahun lalu Bittersweet dikenali sebagai band underground yang membawakan muzik aliran muzik indie, tetapi kini kumpulan yang dianggotai lima anak muda itu mahu lebih dikenali dengan lebih kukuh dalam arus perdana menerusi kemunculan album kedua mereka berjudul Empire’s Transition.Sempena dengan kemunculan album itu, band yang menerima jolokan The Beatles Malaysia turut menampilkan kelainan dari segi muzik serta vokalis dan pemain bass baru menggantikan anggota lama yang mengundur diri.
Kini kumpulan ‘pahit manis’ itu yang dianggotai oleh Ahmad Munzir Noor Azmi, 24 (gitar), Fadhilul Iqmal Ishak, 25 (keyboard), Hazairi Abd Hamid, 29 (gitar), Muhammad Afiq Mohd Aminuddin, 23 (bass) dan Mohammad Hafizun Mohamed Razali, 23 (vokalis) ini mengenengahkan muzik indie rock era 60-an.

Muzik yang ditampilkan mereka mirip band The Beatles dengan susunan muzik dan lirik yang santai serta menarik untuk didengari.

Album pertama mereka, Perfect Match dilancarkan pada tahun 2006 mendapat sambutan membanggakan namun kerana pengunduran vokalis asal dan pemain bass menyebabkan perancangan untuk menghasilkan album kedua tertangguh hampir empat tahun.

“Kami mengambil masa setahun melatih anggota baru bagi mencari keserasian, sebelum dapat menghasilkan album kedua ini. Konsep 60-an dipilih kerana sekarang ini kita melihat ada band yang mengenengahkan muzik sebegini.
“Kami tak kisah kalau dikatakan mirip The Beatles. Malahan kami ingin menjadi terkenal seperti mereka,” kata Fadhilul.

Album kedua yang menampilkan 12 lagu terbaru, antaranya Untitled, Four Years, Ceritera, 1234, Older Than Before dan satu lagu bonus Getaran Jiwa yang diberi nafas baru.

Kumpulan yang menampilkan kaca mata hitam sebagai trademark mereka ini tetap mendapat undangan mengadakan persembahan meskipun mereka kurang dikenali.

“Kelainan kami adalah dari segi muzik era 60-an hingga 70-an yang kita anggap bagus jika diketengahkan kerana dapat mengembalikan genre muzik lama dengan rentak dan lagu baru.

“Malah klip video kami, 1234 turut menampilkan kelainan supaya menarik minat penonton dan memberi perspektif berbeza. Klip video itu tak ada jalan cerita dan dibuat hanya sekadar suka-suka untuk menghiburkan penonton serta memberikan gambaran tentang Bittersweet,” katanya.

Fokus kepada album ketiga

Baru melancarkan album kedua awal bulan ini, tetapi Bittersweet sudah membuat persiapan menerbitkan album ketiga yang akan dimulakan awal tahun depan.
Album ketiga itu akan menampilkan lagu baru yang segar dan muda.

“Kami mula rakaman pada tahun 2008 untuk album kedua dan kini sudah ada material yang sedia untuk dimuatkan dalam album ketiga nanti. Produk baru dengan lagu baru yang segar dan berharap lagu kami dapat membuka mata pendengar Malaysia,” katanya.

Lebih menarik lagi, lagu Getaran Jiwa turut menampilkan penyanyi wanita iaitu Datin Seri Dr. Aishah Salleh, isteri kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Pemilihan Dr. Aishah dibuat berdasarkan vokal dan keupayaannya dalam membawakan lagu-lagu lama yang diberikan nafas baru.

“Lagipun Datin Seri seorang penyanyi kebudayaan selain kemampuannya mendendangkan lagu lama membuatkan kami tertarik untuk berduet dengannya,” jelasnya.

Bittersweet turut menyimpan impian untuk mengembangkan sayap ke United Kingdom dengan lagu mereka supaya diterima peminat, bukan saja pelajar Malaysia di sana tetapi turut diterima rakyat Britain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: