Saturday, May 14, 2011

Seksi Hyuna bawa padah

  • Foto

  • Foto

Penyanyi remaja Korea terus dihimpit kontroversi

DIRINYA bagaikan terus terjerat dalam kemelut yang tidak berkesudahan hinggakan setiap pergerakan dan tindak tanduk sering mencetuskan topik perdebatan hangat.Ternyata populariti itu menuntut harga yang terlalu tinggi daripada gadis yang mengukir nama bersama kumpulan 4minute, Hyuna.
Pemilik nama lengkap, Kim Hyun Ah berusia 19 tahun itu akur menerima kenyataan, populariti datang bersama rentetan gosip dan barangkali, turut mengundang kebencian umum.

“Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Setiap kali berdepan kontroversi, saya menerimanya dengan tenang tanpa perlu melatah,” kata gadis kelahiran Korea Selatan yang memulakan karier nyanyian bersama kumpulan popular, Wonder Girls.

Awal tahun lalu, Hyuna dibalut kontroversi ekoran tarian provokatifnya dalam muzik video lagu solo perdananya, Change.

Bagaimanapun, label naungannya, Cube Entertainment pantas bertindak dengan menyunting semula muzik video itu untuk siaran televisyen.
Namun, stesen berpengaruh, SBS menyiarkan muzik video itu untuk tontonan penonton berusia 15 tahun ke atas, manakala MBC menayangkannya kepada umum.

Malangnya, kontroversi yang dicetuskan tidak hanya terhenti di situ. Seakan terus sinonim dengan perkataan itu, Hyuna sekali lagi diheret dalam polemik gara-gara penampilan beraninya.

Hyuna dikecam kerana tampil seksi ketika menghadiri sebuah konsert terbuka di Seoul, lantas memuncakkan kemarahan masyarakat Korea yang masih menyanjung adab Timur.

Mempertahankan dirinya, Hyuana berkata, penyanyi sewajarnya diberikan kebebasan untuk memilih rekaan pakaian bersesuaian di pentas.

“Malangnya kebebasan itu tidak diperoleh di Korea kerana terikat dengan kekangan budaya konservatif. Sering pilihan pakaian saya dikaitkan dengan kontroversi dan itu sangat mengecewakan.

“Saya cuma mahu menjadi diri sendiri. Lainlah jika di pentas kerana saya perlu cuba menyatukan kostum untuk disesuaikan dengan bentuk persembahan,” katanya.

Nyata laluan Hyuna untuk membersihkan nama dan imej seksinya tidak semudah yang diimpikan. April lalu, gadis ini bersama kumpulannya itu kembali menjadi bualan gara-gara aksi keterlaluan ketika pembikinan klip video, Mirror Mirror.

Rutin tarian mereka dalam muzik video itu dipertikai penonton mengundang kontroversi, meskipun 4minute mempertahankan perlakuan itu bukan untuk menggoda sesiapa.

“Perkara itu tidak pernah terlintas di fikiran ketika kami menjalani latihan tarian selama beberapa bulan. Ia menyedihkan kerana pertikaian itu timbul selepas latihan yang panjang. Tidak dinafikan kami sendiri malu dengan kontroversi itu, malah mengejutkan apabila khalayak lebih teruja berbincang mengenai rutin tarian berbanding perkara lain.

“Biarpun didesak untuk menukar koreografi supaya tidak menyinggung sensitiviti sesetengah pihak, kami sentiasa terbuka menerima cabaran baru,” katanya.

Semua kontroversi itu bagaimanapun, tidak memudarkan minat gadis yang sedang menyambung pelajaran dalam bidang seni kebudayaan di Universiti Konkuk untuk meneruskan cintanya kepada muzik.

Hyuna turut memberitahu, dia memilih karier seni kerana minat menari dan menyanyi tetapi belum pernah ada satu detik yang membuat dia berasa selamat.

“Mungkin kerana setiap hari saya diberi peluang untuk mempelajari pelbagai perkara baru. Saya sendiri teruja melalui proses latihan berpanjangan. Proses yang sama saya lalu setiap kali diundang menjayakan persembahan di luar negara. Banyak pengalaman dan perkara baru dikutip sekali gus mendewasakan saya,” katanya.

Usai mempromosikan album terbaru yang memuatkan lagu popular, Heart To Heart dan Mirror Mirror yang membuka mata pencinta muzik terhadap kekuatan bakat mereka, Hyuna akan meneruskan aktiviti solonya. Ketika ini, Cube Entertainment menanti masa yang sesuai untuk melancarkan album mini Hyuna yang dijadualkan berlangsung Jun ini.

INFO: Perjalanan karier Hyuna

  • 2007: Hyuna muncul buat pertama kali bersama Wonder Girls, di bawah naungan JYP Entertainment menerusi single, Irony. Bagaimanapun, Hyuna tidak bertahan lama apabila terpaksa meninggalkan kumpulan itu pada 30 Jun 2007 atas sebab kesihatan.

  • 2008: Hyuna dipindahkan JYP Entertainment ke anak syarikatnya, Cube Entertainment dan diserapkan menyertai kumpulan baru, 4minute. Kumpulan itu muncul buat pertama kali bersama single, Hot Issue pada 15 Jun 2009.

  • 2010: Pada 4 Januari 2010, Hyuna melancarkan single, Change yang mencatat sebagai lagu paling dicari di laman sesawang.

  • Bagaimanapun, kontroversi melanda apabila muzik video lagu itu mula dimainkan 14 Januari 2010. Cube Entertainment pantas bertindak dengan menyunting semula rakaman video muzik itu untuk siaran umum.

  • Pada Ogos, muzik video itu boleh ditonton menerusi Virgin Media untuk permintaan perkhidmatan muzik di seluruh United Kingdom. Hyuna mewakili Faddy Robot Foundation di mana setiap keuntungan lagu itu disalurkan kepada masyarakat.

  • Pada 14 Oktober 2010, Hyuna berlakon watak kameo untuk filem thriller, Late Night FM bersama rakan kumpulannya, Ji Hyun.

  • Kolaborasinya bersama GNa menerusi lagu Say You Love Me di mana Hyuna menyumbang kepada penulisan lagu dan lirik menjadi topik perbualan hangat di laman sesawang.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: