PERJALANAN selama 10 jam 15 minit dari Kuala Lumpur ke Auckland, New Zealand memang menjemukan. Tambahan pula tidak boleh tidur dan berehat dalam penerbangan kerana ada beberapa anak kecil asyik menangis. Akhirnya, penulis habiskan masa menonton segala video yang ada.
Jam 11.30 pagi (waktu Auckland), penulis bersama tiga lagi rakan termasuk dua daripada media iaitu akhbar Nanyang dan majalah Health serta pegawai perhubungan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland.
Terpegun sejenak melihat keindahan bandar Auckland, terutama bangunan tinggi. Wakil duta Zespri, Julie Smith menunggu kami bersama pemandu bas pesiaran, Paul Waiariki.
Rombongan dari Malaysia menunggu pula rombongan Indonesia seramai enam orang untuk menghadiri majlis makan tengah hari di Cafe Miko, Auckland Botanic Gardens di Manurewa, Auckland.
Ketika itu cuaca sungguh panas dan ketika tiba di Cafe Miko, penulis terpegun melihat keindahan kafe berkenaan kerana dikelilingi rimbunan pokok menarik dan mendamaikan.
Selesai menjamu selera, kami tidak sabar-sabar lagi untuk melihat dan mengambil gambar di Auckland Botanic Gardens.
Sungguh cantik dan rasa mengantuk terus lenyap melihat pemandangan yang sungguh mendamaikan. Kawasannya sungguh bersih dan dijaga dengan sempurna.
Tidak hairan mengapa ada keluarga membawa anak mereka untuk berehat dan berkelah serta menikmati keindahan hijau di situ.Sebenarnya, pelbagai jenis tanaman dan pokok bunga ditanam untuk menarik perhatian pelancong. Bila berada di situ, tak terasa mahu pulang dan jika boleh, ingin mengambil gambar semua tempat berkenaan.
Kami akhirnya meneruskan perjalanan ke Tauranga selama tiga jam lagi dengan naiki bas pesiaran disediakan. Sepanjang perjalanan, penulis juga tidak boleh tidur kerana ingin melihat keindahan. Walaupun rumah di sepanjang perjalanan itu tidak besar, ia tetap dikelilingi pokok dan kawasannya sungguh bersih.
Ini bermakna, pihak pengurusan mementingkan kebersihan dan berikutan itu banyak pokok besar dan rendang ditanam di sepanjang jalan.
Sepanjang perjalanan, dapat dilihat tanah lapang yang luas dan berbukit dan setiap kawasan itu dipagar dengan pokok.
Rupa-rupanya, itu adalah sempadan untuk ternakan lembu atau kambing bagi setiap pemilik. Walaupun kawasan itu dipagar, pokok besar masih ditanam supaya kawasan itu redup dan binatang peliharaan dapat berteduh.
Dalam keadaan panas terik, hujan pula turun. Tak sangka, macam di Malaysia pula cuacanya. Namun, hujan tidak lama. Sekejap hujan, sekejap panas dan pada masa sama boleh lihat pelangi. Indah sungguh pemandangan ketika itu.
Ketika di Auckland penulis jumpa bangunan tinggi, namun sepanjang perjalanan ke Tauranga pula, bangunannya setinggi dua tingkat saja.
Akhirnya, kami tiba di Oceanside Motor Lodge di Mount Maunganui. Terpegun ketika masuk ke rumah tumpangan ini. Ia sungguh besar dan siap dengan segala kelengkapan seperti mesin basuh dan dapur. Selepas mandi, kami terus keluar.
Kami tidak sabar-sabar lagi mahu melihat Tasik Maunganui. Hanya kami bertiga berjalan dan melihat keindahan tasik dan sempat bergambar di sana. Ya Allah, cantik sungguh pemandangan tasik. Sungguh mendamaikan mendengar deruan ombak dan melihat burung laut berlegar-legar di rumput. Tak hairan, ramai pelancong atau penduduk di Mount Maunganui mengambil peluang bermain ski atau mandi-manda di sana.
Jam 6 petang, pengunjung di tasik berkenaan mula beransur pulang dan kawasan tasik mula lengang. Hanya ada beberapa pelancong saja mengambil kesempatan berjoging atau bersiar melihat keindahan tasik.
Hari kedua di Mount Muanganui, bermulalah aktiviti kami yang sebenarnya di bawah kelolaan Zespri Kiwifruit International Limited. Kami diberi penerangan mengenai kiwi dan industri buah berkenaan di New Zealand.
Mungkin ramai tidak mengetahui sejarah kiwi yang sebenarnya. Sebenarnya, New Zealand terhutang budi kepada Isabel Fraser untuk industri buah kiwinya. Lebih satu kurun dulu pada 1904, guru dari Wanganui ini pulang dari perjalanan ke China dengan beberapa bijian hitam yang istimewa. Seorang ahli perkebunan (holtikultur), Alexander Allison mencambah bijian itu dan berhasil memulakan penanaman buah kiwi di New Zealand.
Orang yang bertanggungjawab memulakan Kiwi Zespri ialah Hayward Wright yang cekap bercucuk-tanam. Pada 1928, dibantu dengan kekayaan tanah gunung berapi dan iklim sederhana Bay of Plenty, pohonan pert Hayward ditanam dan dieksport ke merata dunia yang kemudian membentuk industri kiwi seperti yang dikenali kini.
Pada 1952, pekebun kiwi mula mengeksport ke England. Walaupun nama asalnya ialah Yang Tao atau Chinese Gooseberry, orang New Zealand mahu menamakan buah ini bersempena simbol kebangsaan New Zealand - burung berbulu-perang, sang Kiwi; maka terbitlah nama kiwi fruit (buah kiwi).
Pengurus Besar Global Supply Zespri, Simon Limmer berkata, kini ada lebih 2,700 penanam berkongsi matlamat seperti Lembaga Pengurusan dan Kakitangan Zespri untuk mempertingkatkan mutu Kiwi Zespri.
Pekebun diberi pendedahan termasuk penjagaan serta penanaman buah supaya dapat menghasilkan buah kiwi paling sihat, enak, lazat serta selamat.
Berikutan itu, menurut beliau, Zespri sentiasa berpegang teguh kepada tiga prinsip perniagaan yang menjadi motivasi untuk terus menghasilkan buah kiwi terunggul di dunia iaitu sentiasa memastikan tahap kejujuran, keadilan dan keterbukaan yang tinggi dalam semua bidang perniagaan, memberi fokus kepada pengguna iaitu keinginan dan keperluan serta mempertingkatkan mutu secara berterusan.
Beliau berkata, berbekalkan semangat untuk berinovasi, Zespri giat berusaha meningkatkan mutu buah kiwi. Kiwi memerlukan sinaran matahari dan tanah subur bagi memastikan ia menghasilkan buah berkualiti tinggi.
Berikutan itu, Zespri sedaya upaya melindungi alam sekitar bagi memastikan setiap kiwi dihasilkan dengan cara semula jadi.
Buah kiwi Zespri ditanam dan dipupuk sepanjang musim panas dan musim gugur New Zealand sebelum dihantar ke Malaysia dan negara lain pada awal Mei. New Zealand memiliki persekitaran tempat pengeluaran makanan yang bersih di dunia dengan iklimnya yang sederhana, udara bersih dan tanah sesuai untuk penanaman kiwi.
Kami dibawa ke 'pack house' di Hume Pack N Cool, Katikati untuk melihat bagaimana kiwi diasingkan mengikut saiz sebelum dibungkus untuk dieksport. Biasanya kiwi tidak berkualiti atau mengikut gred ditetapkan dijadikan minuman atau makanan ternakan.
Buah kiwi dibawa ke tempat penyejukan untuk disimpan sebelum dieksport ke luar negara. Disebabkan itu, kiwi boleh didapati di pasaran setiap tahun kerana buah berkenaan dipetik ketika matang. Kami juga sempat ke pelabuhan terbesar di New Zealand yang terletak di Tauranga.
Sebenarnya, setiap pekebun kiwi menjaga kebersihan kebun mereka di mana setiap pelawat diwajibkan memakai penutup kepala dan memakai sarung kaki plastik. Ketika memetik buah kiwi pula, pelawat perlu memakai sarung tangan. Jika diperhatikan, kebun kiwi ini sentiasa bersih dan dijaga kebersihannya.
Kami juga berpeluang melihat ladang kiwi menerusi udara dengan menaiki helikopter. Sungguh indah pemandangan ladang kiwi, termasuk Tasik Maunganui dari udara.
Patutlah pelancong yang pernah melawat Tauranga tidak mahu pulang berikutan keindahannya yang sungguh biasa. Jiwa akan berasa tenang melihat pemandangan berwarna hijau. Walaupun waktu malamnya, sunyi sepi, selepas jam 5 petang, semua kedai dan pejabat ditutup, ia tidak menjadi kerisauan atau mengganggu mereka.
Bagaimanapun, bagi yang biasa dengan keadaan hiruk-pikuk, suasana begitu menyeksakan. Tiada apa yang boleh dilihat, hanya kegelapan malam dan lepak menonton televisyen atau tidur.
Yang pasti, tiada kejadian jenayah dilaporkan di Tauranga. Semuanya hidup tenang dan damai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: