![]() |
| Kenangan manis ketika menerima sijil penghargaan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah pada majlis perhimpunan bulanan IPKKL baru-baru ini. |
MENERIMA sijil penghargaan atas penat lelah kerja yang dilakukan merupakan satu kenangan manis bagi setiap individu.
Malah, jika kerja yang dilakukan itu memerlukan ketahanan mental dan fizikal, ia lebih dianggap bonus selain perasaan puas hati.
Sarjan Santor Singh a/l Boota Singh masih ingat kenangan manis tatkala menerima sijil penghargaan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Masakan tidak, segala penat lelah selaku penolong pegawai penyiasat (AIO) Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields akhirnya berbalas.
Ketikaa ditemu bual baru-baru ini, Santor Singh pada mulanya seakan-akan takut untuk membuka cerita dan hanya meminta penulis untuk membaca ringkas sijil yang diterimanya itu.
Ia tertera Berjaya mengendalikan 551 kertas siasatan daripada 556 kertas siasatan sejak 2009 hingga Mac 2011 selain berjaya mendakwa 48 kes ke muka pengadilan'.
Merupakan seorang yang merendah diri, Santor Singh memberitahu, sijil penghargaan itu adalah pembakar semangat bagi dirinya untuk bekerja lebih keras membanteras jenayah.
Katanya, sejak menjadi Penolong Pegawai Penyiasat di Balai Polis Brickfields, secara purata beliau akan menyiasat 15 ke 20 kertas siasatan dalam masa sehari.
"Namun ia bergantung kepada kes pada hari tersebut. Ada masa tak banyak kes, ada masa setiap pegawai penyiasat dan penolong akan bersengkang mata meneliti kes serta membuat siasatan.
"Namun, semua itu seperti alah bisa tegal biasa bagi seorang anggota polis dalam menjalankan kerja," katanya yang ditemui di pejabatnya di Balai Polis Brickfields di sini baru-baru ini.
Bapa kepada empat anak itu memberitahu, walaupun hanya sebagai penolong, beliau mempunyai prinsip tegas ketika menjalankan tugas.
Jelasnya, tidak melengah-lengahkan sesuatu kerja adalah prinsip yang diterapkan sejak menyertai pasukan beruniform itu.
"Setiap hari banyak kes-kes baru yang akan dilaporkan dan perlu disiasat. Oleh itu, jika kertas siasatan tidak diselesaikan segera, sudah tentu ia bertambah dan akhirnya membebankan kita sendiri.
"Selain itu, siasatan yang dijalankan perlu mengambil kira kedua-dua pihak iaitu tidak berat sebelah.
"Dalam siasatan saya, individu yang bersalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan," katanya yang telah berjaya membawa 48 kes yang disiasat ke muka pengadilan sejak menjawat jawatan itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: