Tuesday, May 17, 2011

Saingan seimbang

  • Foto

    PERSEMBAHAN ala kabaret Salma dan Erra.

  • Foto

    Kitalah Bintang, laung Edry dan Iqa.

  • Foto

    Shiha dan Sharifah Aini mempamerkan persembahan membanggakan.

  • Foto

    AKSI Ratnah ketika mempersembahkan lagu Seksis.

  • Foto

    Marcell dan Ramli bertindak sebagai juri.

Marcell puji suara Shiha, juri awam suka Salma

KETIKA diminta pandangannya, juri profesional Mentor musim lima (Mentor), Datuk Ramli MS, menegaskan keempat-empat protege yang mara ke Separuh Akhir layak bertarung pada peringkat akhir nanti, sekali pun dikhabarkan hanya dua finalis akan mara ke konsert akhir musim ini.Namun entah di mana silapnya, sama ada tersalah memilih lagu atau barangkali terlalu memberi tumpuan terhadap jalinan persembahan membuatkan mutu vokal masing-masing agak merosot berbanding persembahan minggu terdahulu.
Daripada komen Ramli yang menilai vokal, Iqa yang juga anak didik Edry Abdul Halim dikatakan punya tahap IQ yang bagus, malah Datuk Sharifah Aini yang juga mentor Shiha juga meraih pujian, cuma perlu lebih menitikberatkan perkara halus.

Erra Fazira selaku mentor Salma yang sebelum ini sentiasa meraih pungutan markah menakjubkan turut ditegur supaya berhati-hati memilih dendangan, manakala Ratnah pula dikatakan kurang sesuai menyanyi lagu rancak walaupun moodnya bagus.

“Pada tahap ini baik Shiha, Salma, Ratnah dan Iqa sudah tahu di mana kekuatan mereka. Walaupun persembahan bagus, saya melihat dari arah berlainan kerana kadang kala kita tidak sedar wujudnya kesilapan remeh yang boleh mencacatkan nyanyian.

“Mereka memang bagus. Contohnya seperti Salma, dia punya semua kualiti dalam nyanyian, tetapi lagu itu kurang mesra dengannya. Malah, usahanya kosong. Ada banyak lagi lagu yang mampu mencabar vokal,” katanya pada sesi sidang media selepas Pusingan Separuh Akhir Pertama di Auditorium MBSA, kelmarin.

Pada pusingan berkenaan, setiap protege menyampaikan sebuah lagu solo selain berpadu suara dengan mentor masing-masing, dengan segmen nyanyian solo Shiha bersama Memori Tercipta dendangan asal Shila OIAM menyerlahkan tona vokalnya.

Bagai dijangka anak didik Kak Pah itu penuh dengan penghayatan namun sesekali tampak tergelincir seperti diluahkan Ramli, tetapi momentum persembahannya mendadak naik apabila berduet bersama mentornya membawa lagu Hapuslah Air Mata Mu dan Sabar Menanti.

Tidak hairan juri jemputan dari seberang, Marcell, memujinya dengan menyatakan bulu romanya meremang sebaik saja gadis itu membuka mulut, malah menyifatkan secara simbolik kostum yang dibawakan mampu dimanifestasikan sebaik mungkin dalam memantapkan persembahan.

Perlu lebih menonjol pada separuh akhir kedua

SALMA yang tidak pernah mengecewakan pula memilih dendangan Safura, Sedalam Mana Cintamu, yang tentu saja mencabar kemampuan vokalnya, tetapi sesekali nadanya kedengaran sedikit sumbang, manakala segmen bersama mentor menyaksikan mereka menyampaikan lagu Penipu bersama konsep ala kabaret.

Sekali pun meraih mata tertinggi, dengan 20 markah daripada juri awam, Ramli melihat Salma seakan menjadi penyanyi pengiring Erra sekali gus meminta mentor anak jati Sabah itu lebih teliti membuat pemilihan lagu yang seharusnya mampu menyerlahkan lagi kelantangan vokalnya.

Bukan hanya juri, penonton juga boleh nampak kejanggalan Iqa tatkala menyampaikan Khatimah Cinta lagu asal 6ixth Sense yang diberi sentuhan nusantara apabila dilihat terlalu mahu mencuba. Namun kekurangan itu dilindungi segmen kolaborasi bersama Edry, ketika menyampaikan lagu Kitalah Bintang (Ella) yang mengundang sorakan ramai.

Edry turut mengakui sudah menjumpai arah paling jitu untuk protegenya, bahkan Ramli juga berpuashati dengan persembahannya namun meminta gadis itu dapat menonjolkan peningkatan lebih baik pada pusingan kedua nanti.

Apa pun berbanding peserta lain, Ratnah dilihat kurang meyakinkan kali ini sekali pun persembahan berkonsepkan drama rompakan bank ‘menjadi’, terutama ketika membawakan lagu yang dipopularkan Anita Sarawak, Seksis, disusuli Bukannya Aku Takut (Mulan Jameela) yang kedengaran tenggelam timbul.

Jika melihat keseluruhan persembahan, sudah pasti penonton juga mengakui barisan empat protege itu punya kekuatan tersendiri.

Begitupun, pungutan jumlah mata kali ini tidak diumumkan manakala juri awam memberikan 20 markah untuk Salma, 19 mata buat Shiha, 17 markah untuk Iqa dan 18 mata buat Ratnah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: