![]() |
| Keadaan rumah Norlaili Lah yang usang dan reput dimakan anai-anai. |
SEMUA orang mengimpikan untuk tinggal di rumah besar bak mahligai. Namun tidak semua yang dilahirkan ke dunia ini bertuah untuk memiliki apa yang diidamkan. Malah ada pula yang terpaksa tinggal dalam rumah hampir roboh yang hanya layak dipanggil bangsal saja.
Bagi insan yang masih hidup dalam serba kemiskinan, hakikat itu terpaksa di terima. Mahu atau tidak terpaksa juga mendiami rumah seperti itu dengan penuh kesyukuran.
Itulah kehidupan yang sekian lama terpaksa ditempuh oleh dua beradik yang terpaksa berteduh dari hujan dan panas dalam rumah yang usang dan begitu daif.
Bagaimanapun keduanya, Norlaili Lah, 49, dan abangnya, Ismail Lah, 55, yang tinggal di No. 60, Jalan Arau, Kampung Alor Arau, Perlis, dianggap masih bernasib baik kerana memiliki tapak rumah atas tanah milik keluarga.
Norlaili memberitahu, rumah kayu peninggalan ayahnya yang didirikan sejak dia dilahirkan itu dihuni bersama dengan suami, Ahmad Omar, 51, anak perempuannya, Rosliza Yahya, 21, menantu (suami Rosliza) dan dua cucunya.
''Rumah kayu ini semakin dimamah usia dan kebanyakan tiang dan lantai semakin reput dimakan anai-anai.
''Tengoklah sendiri, bahagian atas rumah sudah tidak boleh diduduki langsung. Hanya tinggal bahagian bawah sahaja. Itupun bahagian dinding semakin mereput,'' tambahnya.
Norlaili memberitahu, pendapatan isi rumah itu hanya berharapkan kepada suaminya yang berkerja mencari kotak dan bahan terbuang untuk dijual. Manakala menantunya pula mengambil upah membuat rumah.
''Dengan mata pencarian yang ada sekarang ia cuma cukup untuk menyara keperluan makanan kami sekeluarga yang diibaratkan kais pagi makan pagi kais petang makan petang,'' katanya.
Berikutan itu katanya, memang jauh sekali dapat peluang untuk mengumpul wang bagi memperbaiki rumah apatah lagi untuk membina yang baru.
Katanya, mujurlah ada ruang dapur sekarang yang dibina dengan bantuan kerajaan beberapa tahun lalu.
Ia dapat dijadikan tempat berlindung untuk mereka sekeluarga khususnya pada musim hujan.
''Di ruang dapur yang sempit inilah tempat kami enam beranak menyelamatkan diri daripada kesejukan ditimpa hujan,'' katanya.
Malah katanya, dia dan keluarga juga sentiasa dalam bimbang diancam bahaya jika berlaku kejadian ribut di mana boleh merobohkan rumah itu pada bila-bila masa.
Kata Norlaili, dia sudah pun berusaha meminta bantuan rumah untuk rakyat miskin kepada pihak yang berkenaan.
Namun apa yang dikesalkan perkara itu sudah pun berlalu sejak 10 tahun dan pihak berkenaan seolah-olah tidak memperdulikan nasib mereka sekeluarga.
''Saya pun tidak tahu di mana silapnya kerana yang saya tahu semakin hari keadaan rumah ini semakin uzur dan bila-bila masa sahaja boleh tumbang ke bumi,'' katanya.
Sementara itu abangnya, Ismail juga sudah lama tinggal dalam rumah yang layak dipanggil bangsal sahaja.
Ismail yang masih bujang memberitahu, pada mulanya bangsal itu telah didirikan oleh arwah ayahnya untuk mereka sekeluarga berehat.
''Disebabkan saya tidak ada rumah maka bangsal itu sudah lama bertukar menjadi rumah untuk saya menumpang teduh dari hujan dan panas,'' katanya sambil menyapu air mata yang menitis.
Katanya, dia juga tidak mempunyai pekerjaan tetap hanya bekerja kampung seperti mengambil upah bekerja di sawah dan sebagainya.
Bagaimanapun Ismail tetap bersyukur kerana mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
''Tapi sebenarnya sudah beberapa bulan saya tidak pergi mengambilnya memandangkan menghadapi masalah untuk ke bandar,'' katanya yang cuma menggunakan basikal lama untuk bergerak dalam jarak yang dekat.
Apa yang pasti dengan kedudukan rumah kedua adik beradik ini yang jauh terperosok ke dalam kampung serta laluan jalan tidak berturap telah menyebabkan kehidupan susah mereka tidak disedari oleh pihak berkenaan.
Bagaimanapun bantuan boleh diberikan dengan menghubungi suami Norlaili iaitu Ahmad menerusi talian 017-5982056.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: