Monday, May 2, 2011

Resah gelisah

pix_gal0
Tiz Zaqyah bimbang penampilan sebagai Nur Amina versi filem tidak sama dengan drama di TV

DUA tahun ‘meninggalkan’ Nur Amina yang begitu kuat mencengkam setiap rongga sanubari. Apabila diminta membawakan watak itu semula dalam skala lebih besar, Nur Kasih The Movie, jauh di sudut hati terselit rasa bimbang kalau Nur Amina kali ini berbeza daripada sebelumnya.

Mainan emosi serta perjalanan hidup seorang gadis yang dikahwinkan pada usia 18 tahun seterusnya memendam perasaan dek menyimpan rahsia ditinggalkan suami antara karektor yang harus dipersembahkan lagi dengan plot yang lebih mencabar.
Memang impak terlalu kuat yang dicetuskan Nur Kasih versi drama bersiri hingga meraih lebih 4.5 juta penonton turut mencetuskan perasaan berbeza terhadap Tiz Zaqyah sendiri, selaku pendukung watak utama kerana selain pujian, sudah pasti harapan lebih besar dinantikan untuk produksi kali ini.
Tragedi dalam Nur Kasih The Movie

“Nur Kasih adalah permulaan segala-galanya. Daripada individu yang mula-mula sekadar mahu mencuba berlakon, Khabir Bhatia mempercayai bakat saya. Peluang pertama seterusnya maklum balas khalayak membolehkan saya yakin berada di landasan betul.

“Selepas dua tahun berlalu, kami meneruskan pula NKTM yang lebih dramatik dan sarat air mata. Awalnya saya takut tidak mampu menjiwai Nur Amina yang dulu apabila jarak masa memisahkan kami, syukur sebaik di lokasi saya dapat menzahirkannya sepenuh hati,” katanya mengenai filem yang bakal menemui khalayak pada 19 Mei nanti.

Ditanya kelainan selepas diangkat ke skrin lebar, perkembangan watak dan perwatakan selain plot dipertajamkan apatah lagi latar masa kisah ini menjurus terhadap kehidupan mereka kira-kira selepas lapan tahun Adam dan Nur Amina disatukan.
Sekali gus, skrip garapan Mira Mustaffa yang disuntik dengan pelbagai elemen dramatik termasuk kejadian kemalangan di Jordan memadatkan lagi kronologi kisah termasuk soal hubungan antaranya dengan abang Adam, Aidil.

“Secara jujur jika penonton merasa terkesan menonton Nur Kasih, apatah lagi saya yang begitu kagum dengan kesabaran, kesetiaan serta pengorbanan gadis ini. Rasa kagum yang membuatkan saya sedaya upaya menyelami jiwa Nur Amina dalam melalui liku harian.

“Dalam proses kehidupan, kali ini semua watak lebih matang tidak terkecuali Nur Amina yang melewati lebih lapan tahun kehidupan bersama semangat baru namun semestinya kronologi kisah Adam dan Nur Amina lebih melankolik dan terus meninggalkan ‘bekas’ kepada khalayak,” kata aktres yang baru menjengah 23 tahun itu.

Masih berteka-teki terutama berkaitan penamat cerita, hanya beberapa babak atau kisah tertentu sedia dikongsi malah sesekali tawa empunya nama penuh Siti Zaqyah Abdul Razak itu apabila diminta membuka rahsia Nur Kasih The Movie namun dikhabarkan wujud babak kemalangan kereta api sekali gus memberikan petanda unsur tragedi.

“Biarlah penonton berteka-teki kerana filem ini sungguh di luar jangkaan. Saya sendiri teruja menanti reaksi ramai. Bagi saya mereka yang tidak mengikuti drama bersiri Nur Kasih juga dapat menghayati keseluruhan kisah ini kerana paling nyata ceritanya berdiri dengan sendiri.

“Kalau ikutkan memang Nur Amina masih kerap menitiskan air mata. Namun menangis bukan bermakna dirinya lemah, cuma situasi sebegitu mampu melegakan tatkala diri dilanda gundah. Saya sendiri seakan menempuh pengalaman baru tatkala menjejak kaki ke lokasi NKTM,” katanya yang turut menyertai rombongan ke Jordan untuk babak terakhir.

Tak mungkin jadi penyanyi

SELAIN Tiz, filem yang mengambil masa hampir 45 hari untuk disiapkan bermula pada pertengahan Jun 2010 dengan memilih Jordan antara lokasi pilihan turut membabitkan Fizz Fairuz, Remy Ishak, Liza Othman, Mia Sara, Ayu Raudhah, Munif Isa dan Sara Ali.

Mengimbas semula memori di lokasi yang sudah dua kali disinggahi, anak jati Kuala Lumpur itu mengakui kali ini lebih situasi lebih mencabar apabila berlaku ribut pasir hampir tiga jam di kawasan lokasi namun krew penggambaran sempat merakam kejadian itu.

“Waktu itu kami sudah diberi amaran supaya menghentikan kerja penggambaran. Daripada laporan cuaca, keadaan agak membahayakan. Jadi saya hanya duduk dalam kereta manakala sebahagian krew meneruskan tugas mereka. Cukup menakutkan kerana jarak penglihatan ketika itu sangat terhad.

“Dari segi cuaca memang panas, syukur saya tidak berdepan masalah kesihatan. Cuma ada antara krew deman selain mengalami keracunan makanan. Dalam tempoh sembilan hari, penggambaran dapat disempurnakan,” cerita pelakon genit itu lagi yang juga punya hobi melukis.

Ditanya mengenai duet bersama komposer berpengalaman, Yasin mendendangkan lagu tema Nur Kasih The Movie yang mengambil judul Nur Kasih, katanya ia sekadar percubaan malah awalnya berbelah bagi untuk menerima pelawaan yang dirasakan cukup berat.

“Sebaik masuk studio rakaman buat kali pertama saya sudah gementar apatah lagi menyampaikan lagu yang didendangkan Yasin yang juga penyanyi asal. Dia punya gaya tersendiri terutama dari segi tona vokal. Saya takut tidak mampu memenuhi kehendaknya kerana ketika itu masih tercari-cari lenggok sendiri.

“Apa pun bekerja dengannya memberikan pengalaman baru buat saya. Namun untuk bergelar penyanyi selepas ini mungkin, tidak, kerana tumpuan masih ke arah lakonan. Banyak lagi yang harus dipertajamkan terutama daripada sudut lakonan,” katanya malu-malu.

Mengakui agak gementar menanti maklum balas pendengar terutama pengikut tegar Nur Kasih sebaik lagu tema itu diputarkan di radio, setakat ini, katanya peminat memberikan sokongan malah ada yang menyatakan tidak sabar ke pawagam sebaik mendengar lagu itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: