Saturday, May 14, 2011

Rentap Superstar tarikan terbaru


PASUKAN yang mendaftar bagi kategori Lelaki Terbuka dan Larut Malam layak menyertai kategori Rentap Superstar pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Kategori Rentap Superstar menjadi kejutan terbaharu yang diperkenalkan pada kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011.

Kategori baharu itu menawarkan hadiah yang paling hebat dalam kejohanan tersebut.

Rentap Superstar terbuka kepada pasukan yang sudah mendaftar serta membuat pembayaran untuk kategori Lelaki Terbuka dan Larut Malam sebelum 19 Mei ini.

Pihak penganjur akan menghantar jemputan kepada semua pengurus pasukan yang telah mendaftar dalam kategori Lelaki Terbuka dan Larut Malam untuk beraksi dalam kategori baru ini.

Yuran penyertaan untuk Rentap Superstar adalah RM150 dan pengurus pasukan yang telah menerima jemputan untuk beraksi dalam kategori itu hendaklah mendaftar pasukan masing-masing dalam tempoh 24 jam selepas menerima jemputan.

Maklumat lanjut mengenai kategori baru itu akan diumumkan pada 19 Mei ini.




Ketika mengumumkan kategori baru itu semalam, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Borhan Dolah (gambar) berkata, Rentap Superstar akan menampilkan pasukan-pasukan terbaik yang telah mendaftar dalam kategori lelaki Terbuka dan Larut Malam.

“Mereka yang mahu menyertai kategori ini perlu mendaftar dalam kategori Terbuka Lelaki dan Larut Malam dahulu, kemudian barulah boleh mendaftar dalam kategori istimewa ini dengan yuran pendaftaran sebanyak RM150.

“Lebih menarik, syarat-syarat juga dilonggarkan dengan setiap pasukan boleh menampilkan dua pemain kebangsaan, dua pemain asing dan tiada had bagi pemain negeri dan Liga Futsal Felda dalam kategori ini.

“Saya jamin kategori ini akan menampilkan saingan yang lebih menarik dan mendebarkan serta disajikan dengan pelbagai kemahiran dan kualiti tersendiri daripada pemain-pemain bintang. Sebab itulah kami namakan kategori ini Superstar,” jelasnya.

Menurutnya, KBS mahu menjanjikan satu lagi saingan futsal yang kompetitif dan berkualiti kepada pemain serta pengunjung sekali gus menghangatkan debaran Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang akan berlangsung di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya pada 26 hingga 29 Mei ini.

Perlawanan untuk Rentap Superstar akan bermula pada hari Khamis 26 Mei bermula pukul 9 pagi hingga 11.45 malam.




Final akan berlangsung pada pukul 1 pagi hari Ahad 29 Mei, iaitu sejam sebelum aksi final Liga Juara-Juara Eropah di antara Manchester United dengan Barcelona.

Apa yang menarik ialah aksi final kategori Superstar itu juga dijangka dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan menyampaikan sendiri hadiah kemenangan kepada juara.

Selepas itu, Perdana Menteri akan turut menonton aksi final Liga Juara-Juara tersebut bersama-sama pemain dan pengunjung Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya pada pukul 2.45 pagi hari berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: