Sunday, May 15, 2011

Rahman Saif martabatkan batik


Rahman saif hadir dengan rekaan kasual moden untuk koleksi musim ini.


RAHMAN Saif pernah popular dengan rekaan pakaian lelaki. Penyanyi Awie menjadi antara penggemar rekaan beliau yang kebanyakannya menjurus kepada potongan Nehru.

Koleksi uniknya turut pernah mengindahkan gaya para artis popular tempatan seperti Erra Fazira, Arni Nazira, Eja, Riezman dan Redzuan Hashim selain menjadi pilihan Datin Rebecca, isteri kepada tukang kasut terkenal dunia, Datuk Jimmy Choo.

Lulusan Turino School of Fashion di Itali itu juga pernah bekerja dengan beberapa nama besar dan terkenal di luar negara antaranya Mark and Spencer di London dan menjalani latihan di kilang fesyen Facis oleh Giorgio Armani.

Menumpukan perhatiannya dalam pembuatan batik sejak 1995, rekaannya sering kali diilhamkan daripada keindahan semula jadi dan bentuk-bentuk geometri dan motif yang diterjemahkan ke lakaran batik.

Menempa nama sebagai pereka, tukang jahit dan artis, Rahman Saif turut menyatukan rekaannya dalam himpunan pakaian kerja dan kasual serta gaun malam dan pakaian pengantin tradisional dan kontemporari.

Menariknya tentang tentang anak kelahiran Simpang Lima, Batu Pahat, Johor yang telah memulakan kerjaya fesyennya sejak tahun 90-an ini adalah kepakarannya mengilham dan melakar sendiri motif kegemarannya seperti bunga, corak binatang, garisan, tie and dye, segi empat dan bulat.

Motif batik

Tetap bertunjangkan motif batik yang begitu sinonim dengan nama Rahman Saif, rekaannya menjurus pakaian moden dengan sentuhan kontemporari buat wanita dan lelaki.

Mencanting motif atau elemen batik sentiasa menjadi minat Rahman Saif untuk dipersembahkan bersama rekaan pakaiannya sepanjang 15 tahun dalam industri fesyen tempatan.

Ini kerana bagi Rahman Saif, batik tidak sahaja punya misteri tersendiri tetapi dia turut mendapat kepuasan melakarkan keindahan motif untuk digayakan penggemarnya.

Kehadirannya kali ini, tampil dengan rekaan moden untuk gaya kasual, perkahwinan dan gaun malam.

Warna pilihan asasnya pasti sahaja didominasi warna hitam dan putih dengan mainan nada-nada terang kuning, ungu, jingga dan pastel.

Menggunakan material daripada sutera, sifon, linen dan crepe, sentuhan rekaannya penuh elegan dan sesuai digayakan pada acara-acara rumah terbuka selain majlis eksklusif di malam hari.

Rahman Saif lebih berani dengan potongan sederhana yang mudah digayakan sewaktu bersantai, bercuti atau riadah.

Corak Paisley yang diterapkan pada fabrik sutera sifon berwarna terang sesuai gaya santai dan sutera crepe warna lebih gelap untuk pakaian formal, membentuk satu garisan jelas pada karya santai dan semi-formal pereka itu.

Tidak terhad dengan rekaan wanita, Rahman Saif turut terkenal dengan rekaan pakaian lelaki termasuk membuat eksperimen pada sut dengan mainan warna terang dan garang.

Beliau antara terawal menghasilkan idea batik dalam himpunan pakaian kerja lelaki.

Rahman Saif telah membuka butik di di 5442, Jalan J9, Fasa 6, Taman Melawati, Kuala Lumpur sejak enam tahun lalu dan boleh dihubungi di talian 019-345 8346 atau melayari laman sosial beliau, www.fb.com/rahmansaifboutique.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: