MENGENALI keperibadian diri bintang baru yang semakin menyerlah namanya, Tasha Shilla secara lebih dekat, tidaklah menggambarkan yang dirinya seperti karektor Cikgu Ruhana dalam drama bersiri Gemilang mahupun Tina menerusi drama Sahara, kedua-duanya disiarkan TV3.Jika dalam drama terbabit dirinya digambarkan sebagai wanita jahat, di luar lokasi, Tasha pada hakikatnya seperti kebanyakan wanita muda lain. Dia cepat mesra dan mudah didekati. Malah sesi fotografi ini turut berlangsung dalam suasana cukup menyenangkan dek sikapnya yang cukup positif.
“Saya sering mendapat watak antagonis sejak akhir-akhir ini, mungkin kerana impak daripada drama Gemilang dan Sahara yang pernah disiarkan tidak lama dulu. Pengarah atau produser juga mengenali saya mungkin kerana dua watak itu.
“Ada yang beranggapan, wajah saya persis watak antagonis selepas melakonkan peranan sedemikian buat kali pertama dalam Gemilang. Sebelum ini saya pernah membawa watak gadis bertudung yang baik di dalam Mencari Jannah dan Penggali, namun ia masih terlalu baru sehingga ramai yang tidak menyedarinya.
“Saya pernah berhadapan dengan situasi agak kelakar apabila ada mak cik yang cukup membenci saya kerana drama Gemilang dan Sahara. Dia memberitahu kepada seorang kru yang dia cukup benci dengan saya, lalu saya terus berjumpa dengannya.
“Pada mulanya dia malas untuk memandang saya, lalu saya bertanya kepadanya secara baik apa yang membuatkan dia tidak suka dengan saya. Rupa-rupanya karektor saya yang membuatkan dia berasa begitu, lalu saya menerangkan ia hanyalah sekadar lakonan dan keperibadian saya tidak begitu,” katanya yang turut dilemparkan perkataan yang kurang manis menerusi laman maya peribadi di internet.
Begitupun, Tasha mengaku dia mendapat kepuasan yang dicari menerusi watak itu, sejak mula membabitkan diri secara aktif dua tahun lalu di dalam dunia lakonan.
Gadis cantik yang sebelum pekerja sepenuh masa di butik terkemuka di ibu negara tidak menyangka kepuasan hidup yang dicari sebenarnya lahir di dalam dunia seni.
“Kepuasan hidup saya adalah bekerja dan menerima maklum balas daripada masyarakat daripada hasil kerja saya. Puas apabila sesuatu yang kita lakukan itu meninggalkan kesan buat penonton. Bukan mahu membanggakan diri, namun alhamdulillah kini penonton semakin mengenali saya dan ada yang memuji lakonan saya sekiranya saya menjalani penggambaran di luar.
“Dulu saya ingat, berlakon ini sekadar menghafal skrip dan melakonkan watak yang diberikan pengarah. Begitupun kini saya lebih memahami bahawa lakonan itu lebih daripada itu. Kita harus ada jiwa. Walaupun kita seorang pelakon, namun sebaiknya jangan anggap diri kita sedang berlakon, malah jadikan ia seperti benar-benar berlaku kepada kita.
“Saya mahu kekal lama di dalam bidang ini dan lebih baik lagi andai impian saya untuk merangkul satu anugerah tercapai. Setidak-tidaknya ia sebagai ukuran sejauh mana bakat saya. Biarlah anugerah itu diukur daripada bakat saya dan bukan sekadar populariti,” katanya yang tidak mahu memilih watak dan tidak kisah dengan apa saja watak, asalkan ia bukan dirinya yang sebenar.
Walaupun Tasha memulakan kariernya sejak berusia 17 tahun bermula dengan watak sampingan dalam KL Menjerit 1, namun dia kini semakin dikenali kerana drama yang dilakonkan.
Selain filem itu, Tasha juga membintangi Ratu The Movie dan kini rezekinya bertambah apabila ditawarkan berlakon watak utama menerusi filem Tyickoouns yang akan menjalani penggambaran pada pertengahan Jun.
Bercerita mengenai hala tujunya dalam lakonan, Tasha mengharapkan pengarah dan produser tidak memandangnya kerana watak antagonis yang menaikkan namanya di dalam bidang ini, malah dirinya bersedia untuk melakonkan pelbagai karektor, atas tanggungjawabnya sebagai anak seni.
“Saya suka melakonkan sesuatu karektor yang bukan diri saya yang sebenar, itulah kepuasannya. Jika kita melakonkan watak diri kita, bagi saya ia lebih susah kerana bukan mudah bagi seseorang untuk mengenali diri sendiri,” katanya yang lebih gemar melakukan aktiviti lasak pada waktu senggang.
Tidak perlu orang kaya
SELEPAS bergerak secara aktif dalam bidang lakonan, Tasha mengakui hidupnya kini dilimpahi kebahagiaan kerana kerjayanya itu, malah menolak ketepi perihal cinta yang pernah mengecewakan dirinya suatu masa lalu.
“Dulu, saya pernah berasakan alam percintaan, walaupun perkenalan itu boleh dikatakan baru pada peringkat mengenali hati budi masing-masing. Namun nampaknya jodoh kami tidak panjang.
“Keperibadian saya ini lain, mungkin orang susah mengenali saya, berkawan dan bercinta juga berlainan tanggapannya. Jadi, kebahagiaan dan kepuasan yang dapat menceriakan hidup saya kini adalah kerjaya lakonan saya,” katanya.
Meskipun begitu, Tasha akan tetap akur dengan kehendak Tuhan sekiranya sudah tiba masanya dipertemukan jodoh dalam masa terdekat.
“Saya reda sekiranya jodoh itu sudah sampai awal, malah tidak akan menolaknya. Tetapi, jika boleh biarlah saya mencari pasangan yang bukan dari dunia seni seperti saya.
“Ramai yang beranggapan artis akan mencari orang yang kaya sebagai teman hidup. Saya sendiri mengakui memang semua orang mahukan kesenangan, namun apa yang penting adalah keserasian di dalam perhubungan.
“Saya tidak memerlukan orang yang kaya untuk membahagiakan saya. Alasannya, saya memang suka bekerja. Mungkin sudah tertulis, sebagai anak sulung, saya memiliki sifat bertanggungjawab terhadap keluarga dan diri sendiri. Malah keluarga saya juga dari dulu cukup mengenali yang saya tidak boleh duduk diam di rumah tanpa membuat apa-apa,” katanya.
Sejauh mana dia cuba menghindari, kecantikan wanita muda kelahiran Kuala Lumpur ini tidak terlepas daripada menjadi perhatian, seterusnya didekati kenalan daripada golongan VIP.
“Dulu ketika saya bekerja di butik, memang saya ramai kenalan di kalangan VIP, namun saya melayan mereka tidak lebih sebagai pelanggan saja. Sudah tugas saya mendekati pelanggan dan melayan mereka sebaiknya. Bukan saja golongan VIP, malah semua orang saya perlu layan.
“Walaupun kini saya sudah bergelar artis, saya juga tidak terlepas didekati golongan ini yang mahu mengenali saya lebih dekat lagi. Perkara seperti ini tidak membimbangkan saya kerana saya tahu apa yang saya buat dan keluarga tahu siapa saya.
“Saya cukup tidak setuju apabila ada yang beranggapan artis baru sering kali dikaitkan dengan isu memburu golongan VIP untuk cepat naik. Bagi saya kedua-duanya tidak ada kena mengena,” katanya.
INFO
Natashasheila Abdul Razak
Panggilan: Tasha Shilla
Asal: Kuala Lumpur
Tarikh Lahir: 25 Januari 1987
Umur:24 tahun
Drama/Telefilem: Mila Kejar Cinta (RTM), Sahara (TV3), Panggilan Arwah (Astro Citra), Gemilang (TV3), Penggali (TV3), Mencari Jannah (Astro Oasis), Ku Yakin Berlaku (Astro Oasis), Dottie (Astro Ria),
Filem: Ratu the Movie (2011), Spanar Jaya (Sitkom), KL Menjerit 1 (2004)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: