GAMBAR pengantin diraja bersama keluarga dan pengiring (barisan depan dari kiri ke kanan) Grace van Cutsem, Eliza Lopes, The Duke of Edinburgh, Ratu Elizabeth, Margarita Armstrong-Jones, Louise Windsor, William Lowther Pinkerton. (Barisan belakang dari kiri ke kanan) Tom Pettifer, Camilla, Charles, Harry, William dan Kate, Michael Middleton, Carole Middleton, James Middleton and Pippa Middleton
TRADISI Inggeris menetapkan tidak ada wanita yang boleh berpakaian putih pada majlis perkahwinan wanita lain.
Bagaimanapun, perkahwinan Kate Middleton dan Putera William Jumaat lalu bukan perkahwinan sembarangan. Dan Philippa Middleton, juga jelas, bukan pengapit sembarangan.
Philippa atau Pippa, 27, adik pengantin perempuan, begitu anggun ketika mengiringi kumpulan pengiring kanak-kanak memasuki Westminster Abbey hari itu.
Gaun yang dipakainya, hasil rekaan pereka syarikat Alexander McQueen, Sarah Burton, cukup sopan untuk majlis rasmi, tanpa mengenepikan gaya, atau mengatasi pakaian pengantin perempuan.
Baju putih dengan kain menggeleber di bahagian dada mempamerkan bentuk tubuhnya yang ramping sementara lengan singkat berender mengekalkan keremajaannya. Di belakang bajunya, yang dapat dilihat ketika dia mengangkat gaun Kate ketika memasuki gereja itu, dihiasi butang kecil dilitupi sutera.
Rambutnya, seperti kakak�nya, dibiarkan lepas, untuk membolehkannya kelihatan romantik. Hanya bahagian atas belakang diikat dengan cekak bunga teratai.
Pakaiannya cukup selari dengan gaun pengiring kanak-kanak, Grace van Cutsem, tiga, Eliza Lopes, tiga, Lady Louise Windsor, tujuh, dan Hon Margarita Armstrong-Jones, lapan.
Nicki Macfarlane yang mereka gaun kanak-kanak itu berkata, dia teruja apabila diminta mereka pakaian kanak-kanak itu.
“Saya berasa gembira kerana dapat memainkan peranan pada hari bersejarah ini,” katanya.
Pakaian itu dijahit tangan dengan kain renda Inggeris. Kanak-kanak itu juga memakai lingkaran bunga teratai, ilham daripada hiasan kepala yang dipakai oleh ibu Kate, Carole Middleton pada hari perkahwinannya pada 1981.
Stokin putih dan kasut jenama Mary Jane, juga berwarna putih, lengkap dengan gancu rekaan Rainbow Club yang berpusat di Devon, menyempurnakan penampilan klasik mereka.
Tumpuan orang ramai di majlis sebesar itu tidak mengganggu perhatian mereka, kecuali Eliza, cucu Duchess of Cornwall, yang dilihat sentiasa memegang lingkaran bunga teratai pada kepalanya, mungkin kerana bimbang ia terjatuh.
Yang lain kelihatan serius ketika memainkan peranan masing-masing, walaupun hanya sekali menjalani latihan.
Meskipun masih amat muda, keenam-enam kanak-kanak itu kelihatan tahu betapa pentingnya majlis berkenaan, mempamerkan wajah serius ketika mereka berhenti di belakang pengantin apabila Kate tiba di altar.
Budak kundang, yang berpakaian merah gaya pengawal diraja, selari dengan uniform Irish Guards yang dipakai William.
Fesyen pakaian itu yang mula dipakai sejak 1820-an, dilengkapi dengan lambang Irish Guards.
Uniform itu direka oleh pihak iIstana dan dihasilkan oleh Kashket and Partners, yang turut menjahit uniform William untuk hari perkahwinannya.
Pippa dilihat berjaya menjadi sumber ketenangan kanak-kanak itu, yang berkelakuan baik sepanjang perjalanan ke Westminster Abbey dan majlis berkenaan.
Budak kundang, Tom Pettifer, lapan dan William (Billy) Lowther-Pinkerton, 10, seperti budak perempuan yang menjadi dayang pada majlis itu, dilihat melambai ke arah orang ramai ketika berada dalam Rolls Royce yang membawa mereka ke Westminster Abbey.
Lebih menarik lagi, mereka tidak kelihatan gugup dengan tumpuan yang diberikan ketika memasuki gereja itu, mendahului pengantin perempuan dengan dua yang paling muda, dipimpin oleh Pippa.
Hanya ketika berada di balkoni istana, tempat William mengucup Kate, seorang daripada mereka dilihat terganggu.
Eliza menutup telinga dengan tangannya untuk menyekat bunyi sorakan orang ramai di bawah, tetapi yang lain melambai dan melemparkan senyuman.
Semua kanak-kanak itu mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat dengan keluarga di raja itu, khususnya William. Lady Louise ialah sepupu putera itu sementara Tom dan Grace adalah anak pembaptisannya.
Billy ialah anak Setiausaha Sulit William dan Harry sejak 2005, Jamie Lowther-Pinkerton, dan Margarita ialah dua pupu William.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: