Tuesday, May 24, 2011

Pesona spa air panas Tambun

APA yang anda idamkan setelah melalui satu perjalanan yang memenatkan dan penuh tekanan?

Sudah tentu satu terapi yang merehatkan seperti urutan dan mandian yang sekali gus mengembalikan kesejahteraan pada tubuh dan minda.

Air adalah elemen terbaik untuk memberi kesegaran, membasahkan sendi, melancarkan perjalanan darah dan mengembalikan hidrat tubuh.

Tambahan lagi air yang digunakan untuk terapi tersebut begitu semula jadi, kaya dengan garam galian, mineral yang berasal dari gunung-ganang berhampiran.

Itulah anugerah Tuhan yang bermakna kepada hamba-Nya di Hotspring Spa yang terletak di Lost World of Tambun, Perak.

Ia turut diakui oleh pengarah urusannya, Calvin Ho, yang berkata, "Kami 'mentadbir' kurniaan Tuhan untuk dimanfaatkan oleh manusia demi kesejahteraan manusia itu sendiri."

Dengan keluasan 80,000 kaki persegi spa ini boleh menampung sehingga 300 orang dalam satu masa.

Terdapat beberapa jenis kolam terapi seperti Infinity Pool, Lost World Steam Cave, Foot Spa, Top of the World Pool, The Geyser of Tambun, Crystal Pool, Saphira's Lair, Baby Pool dan Crystal Spa.

Menurut Calvin, perkataan 'spa' ialah kata singkatan dari frasa Latin Solus Per Aqua yang membawa maksud rawatan dengan air.

Justeru, konsep Hotspring Spa ini memang menepati matlamat spa itu sendiri.

"Ada beberapa kebaikan atau manfaat yang berkaitan dengan merendamkan diri dalam spa panas. Air panas atau suam mengembangkan saluran darah dan meningkatkan aliran darah memberi oksigen dan nutrien untuk membantu proses pemulihan dan menyegarkan tubuh.

"Malah ramai doktor dan fisioterapi mengesyorkan spa panas untuk terapi pemulihan intensif. Spa juga membantu melembutkan otot sekali gus menghilangkan sakit dan sengal," katanya.

Malah lebih menarik lagi katanya, air dari spa ini dialirkan secara terus dari Sungai Kopisan dan wap panas dari perut bumi secara terus dari kawasan Tambun itu sendiri.

Istimewanya spa air panas

Menurut Calvin, untuk menikmati 'keajaiban' belaian spa air panas ada cara tersendiri dengan terlebih dahulu melakukan rawatan kaki iaitu berjalan di dalam kolam yang di dasarnya ada batuan refleksologi.

Kemudian pengunjung akan masuk ke dalam gua stim yang sangat baik untuk melancarkan peredaran darah dan memecahkan lemak.

Seterusnya berendam di dalam jakuzi dan merasai nikmat urutan tradisional Melayu yang memang melegakan minda dan tubuh.

"Hotspring Spa ini memang amat berbaloi bagi tetamu yang datang ke Perak. Selain untuk urusan kerja, seminar atau apa saja, kunjungan ke hotel dan spa pasti menjanjikan anda satu kepuasan yang tiada bandingannya," jelas Calvin.

Dalam pada itu katanya, penghuni di Hotel Lost World berpeluang mendapat dua pas percuma untuk masuk ke spa air panas .

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut boleh melayari laman web www.sunwaylostworldoftambun.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: