
PETALING JAYA – Pasukan 1Malaysia yang dianggotai pesilat pelbagai kaum adalah antara yang akan menyertai Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru di Universiti Teknologi Petronas, Seri Iskandar pada 11 Jun ini.
Penganjur kejohanan tersebut, Jak Othman berkata, meskipun pasukan 1Malaysia terdiri daripada pesilat berlainan kaum dan baru menjalani latihan kira-kira enam bulan lalu, namun mereka mampu memberi saingan hebat kepada pasukan lain.
“Ia terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan Jepun. Kewujudan pasukan ini membuktikan bahawa gagasan 1Malaysia boleh dilaksanakan dalam aktiviti persilatan,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.
Pesilat yang menganggotai pasukan itu ialah Khen Ham Ming, 30, Wahab Gous, 34, Nurul Ilmi, 34, Nor Shahnizam Nordin, 26, Puteri Nur Aqidah Abd. Razak, 15 dan Nik Tanaka, 41 tahun yang bernaung di bawah Pertubuhan Silat Harimau Berantai.
Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru disertai beberapa persatuan dan pertubuhan silat ternama tanah air termasuk Persatuan Seni Silat Serimau Hitam, Gayung Pattani, Silat Cekak Malaysia, Gayung Pusaka, Anggerik Desa, Gayung Malaysia dan Silat Lincah.
Sementara itu, Jak berkata, beberapa pesilat dari Australia, United Kingdom dan Hong Kong telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan tersebut.
Menurutnya, beberapa pesilat dari Syria, Kuwait dan Arab Saudi turut dijangka menyertai kejohanan tersebut dan pihaknya sedang menunggu pengesahan daripada peserta terbabit.
Kejohanan silat itu juga menjadi siri dokumentari berkonsep program realiti televisyen yang akan disiarkan di peringkat antarabangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: